Together we stop the pandemic #COVID-19
Together we stop the pandemic #COVID-19

HUSM sedia perkhidmatan Laser Refraktif kepada orang awam

  • Keratan Akhbar
  • Jumlah paparan: 376
 

KOTA BHARU: Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di sini, memperkenalkan perkhidmatan Laser Refraktif bagi membantu merawat penyakit rabun jauh, rabun dekat dan silau akibat faktor usia.

Naib Canselor USM, Profesor  Datuk Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan berkata, rawatan ini mampu membantu membaiki kedudukan titik fokus mata dengan mengubah bentuk lapisan kornea (lapisan struktur paling hadapan pada bola mata) pesakit.

Menurutnya, para pesakit tidak lagi memerlukan bantuan kaca mata atau kanta lekap untuk melihat selepas selesai menjalani rawatan.

“Ini adalah perkhidmatan Laser Refraktif yang julung kali digunakan oleh pihak HUSM bagi rawatan mata menerusi kerjasama dengan Pusat Pengajian Sains Perubatan.

“Alhamdulillah, kita telah membuat perolehan mesin Laser Refraktif yang menggunakan keadah TransPRK dengan teknologi terkini di pasaran yang juga dilengkapi sistem pemantauan Pergerakan bola mata 7D,” katanya semasa sidang media di sini hari ini.

Dr. Faisal Rafiq memberitahu, selain itu HUSM turut menyediakan ‘Suite Laser Refraktif’ yang merangkumi klinik, dewan bedah serta ruang rehat yang khusus di samping pakar dan kakitangan yang kompeten sertai fasiliti yang kondusif sebagai nilai tambah.

Katanya, perkhidmatan itu akan menjadi nilai tambah kepada universiti di samping menjadi salah satu elemen penting dalam pembangunan kesihatan di HUSM untuk jangka masa panjang.

“Setakat ini seramai 100 individu sudah mendapatkan rawatan yang kebanyakan usia antara 20 hingga 40 tahun termasuk pelajar, suri rumah dan mereka yang bekerja.

“Kos bayaran perkhidmatan laser itu adalah antara RM5,000 hingga RM8,000,” ujarnya. – UTUSAN

Cetak