Penyakit buah pinggang pembunuh dalam diam

d4004802 05c6 425b 93fd f01f4784cbbd

KOTA BHARU: Dianggarkan 15 peratus rakyat Malaysia menghidap penyakit buah pinggang kronik pelbagai peringkat.

Golongan berisiko tinggi untuk mendapat penyakit itu dikenal pasti dalam kalangan mereka yang menghidap diabetes, darah tinggi dan tahap kolestrol yang tinggi.

Pakar Patologi Kimia, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Nur Karyatee Kassim, berkata fungsi buah pinggang pesakit akan berkurangan secara beransur-ansur tanpa dapat dipulihkan kembali, sekali gus dianggap pembunuh dalam diam.

Beliau berkata pesakit biasanya tidak menunjukkan simptom atau tanda-tanda menghidap penyakit buah pinggang kronik sehinggalah berlaku kemerosotan sekitar 50 hingga 70 peratus fungsi tisu buah pinggang.

Katanya, pesakit akan merasa keletihan, mual, kekejangan otot pada waktu malam, bengkak kaki dan bengkak di sekeliling mata, kerap membuang air kecil pada waktu malam selain kencing berbuih.

"Ujian darah biasanya akan dilakukan untuk mengukur tahap fungsi buah pinggang seseorang seperti tahap kreatinin dan urea dalam badan. Sekiranya buah pinggang didapati rosak, semua bahan buangan akan berkumpul dalam badan kerana buah pinggang yang rosak tidak mampu menapis keluar bahan berkenaan," katanya ketika dihubungi.

43800872 4ceb 46a2 b56f 653e0684e668

Beliau berkata, bagi individu yang berumur lebih 60 tahun, perokok tegar serta yang mempunyai masalah batu karang, gout dan berat badan yang berlebihan turut berisiko untuk mendapat penyakit buah pinggang.

"Bagi mereka yang mengambil ubat-ubatan tanpa preskripsi doktor bagi tujuan untuk menjadi kurus dan cantik perlu berhati-hati kerana ubat-ubatan itu berbahaya sekali gus boleh memberi kesan buruk kepada buah pinggang," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Nur Karyatee berkata, terdapat juga ujian elektrolit yang boleh dilakukan bagi mengukur tahap mineral dalam badan pesakit .

"Bagi pesakit buah pinggang kronik kebiasaannya akan mengalami ketidakseimbangan bahan mineral dalam badan seperti potasium, sodium serta kalsium dan ubat-ubatan diperlukan bagi menstabilkan semula elektrolit ini.

"Pada masa sama, pesakit juga perlu melakukan ujian darah hemoglobin atau sel darah merah kerana pesakit buah pinggang kronik biasanya akan mengalami anemia iaitu sel darah merah rendah kerana fungsi buah pinggang tidak dapat menghasilkan hormon erythropoietin yang mana hormon ini penting untuk penghasilan sel darah merah," katanya.

Beliau berkata tahap kesihatan buah pinggang juga boleh diukur melalui kadar penapisan 'Glomerular Filtration rate (EGFR).

Jelasnya, tahap satu adalah tahap paling selamat atau sihat, manakala tahap lima adalah tahap paling kronik bagi kesihatan buah pinggang yang memerlukan rawatan dialisis dan pemindahan organ.

Dalam masa sama, beliau turut menasihatkan masyarakat supaya tidak takut menjalani ujian darah bagi mengelak buah pinggang rosak lebih teruk.

"Buah pinggang manusia hanya bersaiz 10 hingga 12 sentimeter dan berbentuk seperti kacang.

"Fungsinya amat besar iaitu menapis bahan kumuh dalam badan, mengekalkan komposisi normal cecair dalam badan, mengawal pengeluaran air dalam badan, mengawal bahan mineral dalam badan seperti natrium, potassium, kalsium, fosforus dan menukarkan vitamin D dalam bentuk aktif untuk memastikan pertumbuhan tulang yang kuat dan sihat dan seterusnya mengawal elektrolit iaitu garam galian yang diperlukan untuk fungsi badan manusia.

"Sekiranya ketidakfungsian buah pinggang ini berlaku, ia akan memberi kesan kepada perubahan keseimbangan bahan kimia dalam badan," katanya.

 
 
Cetak