Together we stop the pandemic #COVID-19
Together we stop the pandemic #COVID-19

12 Orang Asli 'masuk' USM belajar ilmu perubatan

  • Keratan Akhbar
  • Jumlah paparan: 432

ffffff

GUA MUSANG: Seramai 12 penduduk Orang Asli di Pos Balar, di sini, terpilih mengikuti kursus rawatan asas dan perubatan jangka pendek di Universiti Sains Malaysia (USM), Kampus Kesihatan Kubang Kerian.

Kursus selama tujuh hari itu akan dimulakan pada September nanti dan ia merangkumi tiga modul iaitu perubatan asas, pergigian serta rawatan luka.

Ketua Jabatan Perubatan Kecemasan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Prof Madya Dr Shaik Farid Abdull Wahab berkata, inisiatif untuk memberikan ilmu rawatan dan perubatan asas itu bagi menjadikan 12 penduduk dari suku kaum Temiar itu sebagai perawat asas untuk kira-kira 800 masyarakat Orang Asli di pos terbabit.

Beliau berkata, kursus di bawah program KPT Prihatin Komuniti Sejahtera (KRIS) 2022-2023 itu diharapkan dapat membantu masyarakat 10 kampung di Pos Balar sekiranya mengalami kecemasan sementara menunggu bantuan perubatan khusus tiba.

"Sebelum ini kami kerap masuk perkampungan Orang Asli di Gua Musang dalam misi kemanusiaan dan ia tiada kesinambungan kerana kami sekadar menghantar bekalan ubat, memberi rawatan dan pemeriksaan percuma serta bantuan makanan.

"Kelainan misi bantuan kali ini adalah ingin memberikan sesuatu yang bersifat kekal kepada mereka iaitu dengan menyediakan ilmu rawatan dan perubatan asas sekiranya berlaku kecemasan sementara bantuan pihak berwajib.

"Di bawah kursus jangka pendek ini, mereka diberi pendedahan kepada cara merawat luka, membuat 'cardiopulmonary resuscitation' (CPR), penjagaan selepas bersalin serta pergigian dan mereka akan menerima semua ilmu itu secara mendalam di USM pada September nanti," katanya.

Dr Shaik Farid berkata, pemilihan Pos Balar adalah disebabkan perkampungan itu adalah lokasi paling jauh di pedalaman dan dikhuatiri sedikit lambat menerima bantuan perubatan berbanding lokasi lain yang lebih dekat jaraknya dari bandar Gua Musang.

Sebagai pendedahan awal terhadap kursus jangka pendek itu, semua 12 peserta diberi tunjuk ajar oleh tiga pegawai perubatan ketika konvoi USM dengan menaiki 20 pacuan empat roda memasuki Pos Balar selama tiga hari bermula Rabu lalu.

Bagi Ketua Jururawat Radiologi HUSM, Mazia Norzehan Mohd Zin, pihaknya akan memfokuskan kepada tujuh perkara dalam modul rawatan luka termasuk penjagaan luka selepas bersalin.

Beliau berkata, walaupun umum mengetahui masyarakat Orang Asli ada kaedah tradisionalnya tersendiri dalam penjagaan selepas bersalin, tetapi mereka ingin menekankan bab kebersihan selain berkongsi panduan lain.

"Kita ajar cara cuci luka dan tidak lupa juga kebersihan diri terutama penjagaan kulit kepala bagi mengelakkan jangkitan kutu," katanya.

Rasa teruja untuk mengetahui ilmu rawatan kecemasan dengan lebih dalam dirasai Kamal Angah, 33, yang akan dilantik sebagai perawat asas di kampungnya nanti.

Bapa enam cahaya mata dari Kampung Dakoh itu berkata, sebelum ini dia belum pernah mencuba menyelamatkan orang lain walau ada berdepan dengan kejadian lemas dan sesak nafas disebabkan tiada pengetahuan untuk menyelamat.

"Saya sangat teruja belajar cara lakukan CPR dan teknik menyelamat mangsa tercekik kerana sebelum ini pernah melihat orang pengsan kerana serangan jantung. Selepas ini sekurang-kurangnya dapat membantu setakat termampu," katanya.

ggggg

Cetak