Jangkitan cacar monyet tak seteruk Covid-19

mp1

Kota Bharu: Wabak cacar monyet atau lebih dikenali sebagai 'monkeypox' tidak mudah berjangkit atau tersebar dengan kadar yang tinggi sebagaimana Covid-19 atau campak.

Pakar Kesihatan Awam (Epidemiologi), Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr Wan Mohd Zahiruddin Wan Mohammad berkata, risiko jangkitan kepada orang awam dan menular menjadi wabak seperti Covid-19, penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) atau lain-lain adalah sangat rendah kerana secara umumnya cacar monyet tidak mudah merebak antara manusia.

Katanya, gejala dan tanda jangkitan 'monkeypox' biasanya mirip seperti penyakit cacar air iaitu demam, keletihan, sakit kepala serta ruam makulopapular yang bermula di muka kemudian merebak ke bahagian tubuh termasuk tapak tangan dan tapak kaki.

"Pesakit juga mungkin mengalami lenguh tubuh badan, sakit bahagian belakang badan atau sendi, kejang otot dan pembengkakan kelenjar limfa.

"Tempoh inkubasi biasanya antara enam hingga 13 hari tetapi boleh berjulat dari lima hingga 21 hari dan pesakit yang dijangkiti 'monkeypox' biasanya akan mengalami gejala selama dua hingga empat minggu," katanya dalam kenyataan, di sini.

Beliau berkata, kadar kematian di negara endemik 'monkeypox' juga rendah, dianggarkan 3 hingga 6 peratus sahaja.

"Walau bagaimanapun, kanak-kanak dan individu yang mempunyai tahap immuniti rendah mempunyai risiko dengan gejala lebih serius dan boleh membawa maut sekiranya dijangkiti 'monkeypox'," katanya.

Wan Mohd Zahiruddin turut berpesan kepada orang ramai supaya mengelakkan daripada sentuhan langsung dengan luka pada mereka yang dijangkiti 'monkeypox' sama ada manusia mahupun haiwan, serta objek yang mungkin tercemar dengan cecair tubuh pembawa virus seperti pakaian kotor yang digunakan oleh orang yang dijangkiti.

Sehingga kini tiada laporan kes dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membabitkan penularan wabak cacar monyet di Malaysia, namun ia tetap menimbulkan kerisauan dalam kalangan orang ramai.

mp

Disiarkan pada: Mei 30, 2022 @ 12:08pm
 
Cetak