Together we stop the pandemic #COVID-19
Together we stop the pandemic #COVID-19

Ibu mengandung berisiko mengalami spinal bifida

  • Keratan Akhbar
  • Jumlah paparan: 258

gfgfgf

Kota Bharu: Ibu mengandung berisiko mengalami kecacatan tulang belakang atau spinal bifida jika mengalami kekurangan vitamin, asid folik selain menghidap kencing manis.

Pakar Bedah Ortopedik, Jabatan Ortopedik Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) Universiti Sains Malaysia (USM) Dr Emil Fazliq berkata, persediaan perlu dilakukan sebelum mengandung untuk berhadapan risiko kandungan yang mengalami masalah itu kerana spinal bifida biasanya terjadi kepada usia ibu mengandung, di mana semakin tinggi usia, semakin tinggi risiko akibat penyakit sampingan yang dihidapi.

Menurutnya, spinal bifida adalah kecacatan kekal berpunca daripada pembentukan tulang belakang yang tidak sempurna ketika dalam kandungan yang mengakibatkan saraf terdedah kepada persekitaran luar dan ia tidak berkembang dengan baik.

"Individu yang menghidap penyakit ini dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU) kerana tidak ada ubat bagi memulihkannya selain hanya boleh membantu menaikkan kualiti kehidupan individu berkenaan supaya menjadi lebih baik.

"Spinal bifida bukan penamat kehidupan bagi seseorang individu kerana ada dalam kalangan mereka yang berjaya dalam kehidupan masing-masing dan persepsi ini perlu diterapkan kepada orang ramai agar penghidap spinal bifida ini tidak disisihkan," katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, beliau berkata, kesan spinal bifida bergantung kepada tahap penyakit itu sendiri.

"Sebagai contohnya, jika saraf terkeluar dari kulit, pesakit perlu melakukan pembedahan untuk menutupnya bagi mengelak jangkitan kuman. Sekiranya spinal bifida berlaku di bawah kulit maka tiada rawatan akan dilakukan.

"Spinal bifida bukan membabitkan otot sahaja, malah ia turut mengganggu proses perkumuhan yang lain seperti sembelit, kencing tidak puas, infeksi pada saluran kencing, hilang deria rasa dan menghidap penyakit buah pinggang.

"Untuk merawat penyakit ini, pesakit perlu menjalani rehabilitasi dan prevensi mengikut keadaan yang dialami termasuk mengelak dari berlaku komplikasi lemah otot oleh anggota badan berkenaan," katanya.

Dr Emil turut menasihatkan ibu bapa penghidap spinal bifida agar memahami kesan penyakit ini dan sentiasa bermotivasi kerana rawatan yang terbaik adalah dari ibu bapa sendiri memandangkan penjagaan rapi perlu diutamakan bagi mengelak jangkitan kuman merebak serta senaman berjadual perlu dilakukan bagi mengelakkan otot menjadikan kaku.

Disiarkan pada: Mei 23, 2022 @ 12:44pm
Cetak