Together we stop the pandemic #COVID-19
Together we stop the pandemic #COVID-19

USM agih 1,200 bungkus juadah iftar setiap hari

  • Keratan Akhbar
  • Jumlah paparan: 236

juadah

Kota Bharu: Sukarelawan Ihya' Ramadan Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) menyediakan 1,200 pek juadah berbuka dan 500 pek sahur setiap hari sepanjang Ramadan ini.

Juadah itu diagihkan kepada pelajar, penduduk asnaf, peneman pesakit Hospital USM dan kakitangan hospital yang bertugas termasuk jururawat dan pengawal keselamatan.

Penolong Pendaftar Kanan, Pusat Islam Kampus Kesihatan USM, Asheef Barkhia Yahya berkata, tugas memasak bermula dari 8 pagi setiap hari secara bergotong-royong dengan bantuan sukarelawan terdiri daripada kakitangan USM, pelajar dan komuniti setempat secara bergilir-gilir.

"Pengumuman peralihan fasa endemik secara tidak langsung mengembalikan rasa teruja kepada warga kampus apabila Pusat Islam Kampus Kesihatan USM kembali meriah dengan aktiviti gotong-royong menyediakan juadah berbuka puasa yang sudah menjadi kezaliman setiap tahun apabila tibanya Ramadan.

"Syukur Alhamdulillah dengan kelonggaran ini, ia memberi peluang kepada kami untuk mengembalikan semula budaya gotong-royong memasak juadah berbuka sebagaimana amalan sebelum Covid-19 melanda.

"Bagaimanapun, ia berbeza berbanding dua tahun sebelum ini kerana ketika itu penyediaan juadah berbuka agak terhad selain pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat," katanya.

Katanya, bagi menyediakan juadah berbuka puasa ini, pihaknya menerima sumbangan daripada warga kampus, orang perseorangan serta badan bukan kerajaan (NGO) bagi menampung perbelanjaan berikutan kenaikan harga barangan mentah.

"Dianggarkan sebanyak RM6,000 dibelanjakan setiap hari untuk membeli bahan mentah dan barang keperluan dengan menu berlainan setiap hari.

"Dalam masa sama, saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada penyumbang dalam memastikan program ini berjalan lancar dan dapat dinikmati oleh mereka yang memerlukan," katanya.

Katanya, pihaknya juga menyediakan pelbagai aktiviti menarik sepanjang Ramadan untuk warga kampus seperti solat tarawih, tazkirah Ramadan serta qiamullail pada 10 malam terakhir.

Disiarkan pada: April 10, 2022 @ 12:54pm

Cetak