Together we stop the pandemic #COVID-19
Together we stop the pandemic #COVID-19

57 peratus jangkitan HIV akibat homoseksual

  • Keratan Akhbar
  • Jumlah paparan: 348

IMG 20220323 202321

Kota Bharu: Sebanyak 90 peratus jangkitan HIV adalah berpunca daripada golongan lelaki dan 57 peratus disebabkan hubungan seks lelaki dengan lelaki (homoseksual/MSM) terutama dalam kalangan belia yang berumur di antara 20 hingga 39 tahun.

Ketua Jururawat Kaunseling HIV/ AIDS, Unit Kejururawatan Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Nik Mohd Irwan Nik Pa berkata, hubungan seks sejenis dilakukan sesama lelaki terbahagi kepada insertif dan reseptif, yang mana cara reseptif berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan kerana lapisan dinding anus yang nipis memudahkan jangkitan virus HIV.

"Antara faktor yang menyebabkan homoseksual ialah kecelaruan orentasi seksual semasa remaja yang dikurniakan bentuk tubuh yang tidak selari dengan naluri iaitu mempunyai naluri wanita yang berada di dalam badan lelaki dan trauma semasa kanak-kanak serta pernah mengalami gangguan seksual semasa kanak-kanak hingga menyebabkan ketagihan," katanya dalam kenyataan, di sini.

Katanya, selain itu, penagih dadah juga adalah antara golongan yang berisiko tinggi menghidap jangkitan HIV disebabkan mereka berkongsi jarum dan alat suntikan selain lelaki yang mengadakan hubungan seks sejenis, transgender (LGBT) dan pekerja seks.

"Penyakit HIV atau 'Human Immunodeficiency' boleh dijangkiti melalui cecair dalam badan seperti darah, cecair rektal, susu ibu serta jangkitan melalui hubungan seks rambang atau seks songsang serta perkongsian jarum suntikan yang terkena jangkitan.," katanya.

Nik Mohd Irwan berkata, konflik keluarga, mahu mendapat keseronokan di luar rumah, kekurangan komunikasi dengan ibu bapa, pendedahan kepada video pornografi dan rasa ingin mencuba sebelum perkahwinan boleh menyumbang kepada masalah homoseksual.

"Dalam hal ini, ibu bapa perlu memainkan peranan memantau tingkah laku serta pergerakan anak-anak selain memberi perhatian sepenuhnya agar anak-anak tidak merasa kurang kasih sayang sehingga mereka terjebak dalam kegiatan yang tidak sihat," katanya.

Beliau berkata, sehingga kini masih belum ada lagi ubat yang mampu menyahkan virus HIV daripada badan manusia namun pesakit boleh dirawat melalui rawatan antiretroviral (ARV) yang konsisten dan kepatuhan terhadap rawatan dijadualkan.

"Selain itu, jumlah virus yang berada dalam badan pesakit juga akan berkurangan sehingga aras virus tidak boleh dikesan lagi.

"Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga menetapkan bahawa virus yang tidak boleh dikesan serta tidak boleh dipindahkan kepada orang lain dianggap memberi lembaran baharu kepada pesakit kerana mereka bebas daripada HIV dan boleh meneruskan kehidupan seperti biasa.

"Pesakit boleh mendapatkan rawatan ARV di mana-mana klinik atau hospital kerajaan secara percuma bermula dengan melakukan ujian saringan, rawatan susulan serta mendapatkan khidmat kaunselor yang dilantik untuk membantu pesakit HIV.

"Saya juga ingin menasihati kepada pesakit supaya membuat rawatan awal bagi mengelak jangkitan merebak kepada pasangan atau orang lain selain mendapat komplikasi yang lebih teruk," katanya.

Disiarkan pada: Mac 23, 2022 @ 10:25am

Cetak