Together we stop the pandemic #COVID-19
Together we stop the pandemic #COVID-19

Pengambilan serat diet sayur, buah-buahan rakyat Malaysia masih rendah

  • Keratan Akhbar
  • Jumlah paparan: 350

fffff

KOTA BHARU: Pengambilan serat diet daripada sayur dan buah-buahan dalam kalangan rakyat Malaysia sangat rendah iaitu hanya 16 gram sehari berbanding saranan Persatuan Kesihatan Sedunia (WHO) sebanyak 400 gram sehari.

Pensyarah Program Pemakanan dan Dietetik, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Wan Rosli Wan Ishak @ Wan Ahmad, berkata kebanyakan produk makanan terproses di Malaysia mengandungi serat yang sangat rendah tetapi kandungan lemak dan gula ringkas yang tinggi.

Beliau berkata, menyedari kebanyakan rakyat Malaysia tidak menggemari sayur, konsep 'menyembunyikan' serat dietari daripada bahan sampingan pertanian seperti jagung muda, cendawan, kundur dan pisang ranum dalam produk makanan berasaskan tepung seperti biskut, mufin, kek, kuih tradisional dan berasaskan daging (sosej serta kepingan burger) sudah dirancang dan dimajukan.

"Untuk itu, pemilihan jenis sayur dan buah yang memenuhi kriteria untuk dijadikan bahan atau ramuan dalam pemajuan produk makanan fungsian sudah dijalankan.

"Prevalens penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, kolorektal kanser, koronari jantung dan sebagainya mampu dikekang dan dicegah menerusi pengambilan serat dietari yang mencukupi daripada sayur dan buah," katanya dalam kenyataan, di sini.

Dr Wan Rosli berkata, untuk merealisasikan peningkatan pengambilan serat dalam kalangan warga Malaysia, pembabitan semua pihak menerusi konsep keterlibatan lingkaran gandaan 5 (quintuple helix) membabitkan entiti akademia, agensi kerajaan, industri, masyarakat dan alam sekitar amat diperlukan untuk bersinergi dan berkolaborasi secara holistik serta dinamik.

"Menyembunyikan serat dietari dalam makanan fungsian yang popular di Malaysia memerlukan usaha tanpa jemu secara berterusan bagi memangkin pemajuan lebih banyak makanan fungsian berserat tinggi untuk menjamin kesihatan lestari," katanya.

Dr Wan Rosli berkata, makanan fungsian bermaksud makanan berpotensi memberikan kesan positif terhadap kebaikan kesihatan melangkaui pemakanan asas.

"Sebagai contoh, biskut yang diformulasikan daripada serat jagung muda bukan saja mempunyai khasiat pemakanan seperti serat dietari, antioksida dan nutrien yang lain, malahan juga memberikan nilai indeks glisemik (GI) yang rendah.

"Makanan berindeks glisemik yang rendah akan membantu mengurangkan kecenderungan untuk meningkatkan paras gula dalam darah individu terutama mereka yang menghidap diabetes.

"Selain itu, serat dietari buah dan sayur berfungsi memanjangkan rasa kenyang dan mengelak makan secara berlebihan dan kefungsian ini secara tidak langsung mampu membantu mengawal berat badan dan mengekalkan kesihatan," katanya.

Katanya, inovasi makanan fungsian membabitkan beberapa langkah penting bermula daripada proses penilaian, pemilihan jenis sayur dan buah, pemprosesan dan penyediaan serat, kajian nilai pemakanan, analisis komponen aktif, penilaian deria dan penyediaan prototaip untuk diuji.

"Selain itu, kajian penyimpanan juga perlu dilakukan untuk memastikan keterjaminan keselamatan makanan dan pengekalan nutrien dalam produk yang sudah siap direka cipta.

"Kriteria pemilihan sayur dan buah sebagai bahan sesuai untuk dijadikan ramuan berserat dalam makanan terproses adalah berdasarkan kepada aspek ketersediaan, kemudahdapatan, kemudahcapaian, kuantiti, kualiti dan harga.

"Bahan sampingan daripada beberapa jenis buah-buahan dan sayur-sayuran juga kaya dengan sebatian fenolik yang dianggap mempunyai kesan baik terhadap kesihatan," katanya.

Cetak