Together we stop the pandemic #COVID-19
Together we stop the pandemic #COVID-19

Buat ujian darah kesan penyakit buah pinggang

  • Keratan Akhbar
  • Jumlah paparan: 628

IMG 20220315 141359

Kota Bharu: Golongan berisiko yang mudah mendapat penyakit buah pinggang kronik ialah mereka berusia 60 tahun ke atas, perokok tegar serta individu yang mempunyai masalah batu karang, gout dan berat badan berlebihan.

Selain itu, mereka yang menghidap penyakit diabetis, tekanan darah tinggi dan tahap kolesterol yang tinggi turut berisiko mendapat penyakit buah pinggang.

Pakar Patologi Kimia, Hospital Universiti Sains Malaysia, Dr Nur Karyatee Kassim berkata, dianggarkan 15 peratus daripada rakyat Malaysia menghidap penyakit buah pinggang kronik pelbagai peringkat.

"Pesakit buah pinggang kronik biasanya tidak menunjukkan simptom atau tanda-tanda menghidap penyakit buah pinggang kronik sehinggalah sekitar 50 hingga 70 peratus fungsi kesihatan tisu buah pinggang sudah merosot.

"Antara tanda-tanda penghidap penyakit buah pinggang kronik ialah pesakit akan merasa keletihan, mual, kekejangan otot pada waktu malam, bengkak kaki dan di sekeliling mata, kerap membuang air kecil pada waktu malam dan kencing berbuih.

"Bagi mereka yang mengambil ubat-ubatan tanpa preskripsi daripada doktor bagi tujuan untuk menjadi kurus dan cantik perlu berhati-hati kerana ubat-ubatan sebegini sebenarnya berbahaya sekali gus boleh memberi kesan buruk kepada buah pinggang," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, bagi pesakit buah pinggang, kebiasaannya ujian darah akan dilakukan untuk mengukur tahap fungsi buah pinggang seseorang seperti tahap kreatinin dan urea dalam badan.

"Sekiranya buah pinggang didapati rosak, semua bahan buangan akan berkumpul dalam badan kerana buah pinggang yang rosak tidak mampu menapis keluar bahan berkenaan.

"Selain itu, terdapat juga ujian elektrolit bagi mengukur tahap mineral dalam badan pesakit.

"Bagi pesakit buah pinggang kronik, mereka kebiasaannya akan mengalami ketidakseimbangan bahan mineral dalam badan seperti potasium, sodium serta kalsium dan ubat-ubatan diperlukan bagi menstabilkan semula elektrolit ini.

"Pada masa sama, pesakit juga perlu melakukan ujian darah hemoglobin atau sel darah merah kerana pesakit buah pinggang kronik biasanya akan mengalami anemia iaitu sel darah merah rendah kerana fungsi buah pinggang tidak dapat menghasilkan hormon erythropoietin yang mana hormon ini penting untuk penghasilan sel darah merah," katanya.

Menurutnya, bagi pesakit buah pinggang kronik, fungsi buah pinggang akan berkurangan secara beransur-ansur tanpa dapat dipulihkan kembali dan juga dianggap pembunuh dalam diam.

"Selain itu, tahap kesihatan buah pinggang boleh diukur melalui kadar penapisan 'Glomerular Filtration Rate' (EGFR).

"Tahap satu adalah tahap yang paling selamat atau sihat. Manakala bagi tahap lima pula adalah tahap yang paling kronik bagi kesihatan buah pinggang yang memerlukan rawatan dialisis dan pemindahan organ buah pinggang," katanya.

Dr Nur Karyatee turut menasihatkan masyarakat agar tidak takut untuk menjalani ujian darah bagi mengelak buah pinggang mereka mengalami kerosakan lebih teruk.

"Sekiranya ketidakfungsian buah pinggang ini berlaku, ia akan memberi kesan kepada perubahan pada keseimbangan bahan kimia dalam badan," katanya.

Disiarkan pada: Mac 15, 2022 @ 12:58pm


Cetak