Pastikan teknik betul ujian kendiri untuk keputusan tepat

IMG 20220305 130652

KOTA BHARU: Penggunaan teknik betul ketika melakukan ujian saringan kendiri COVID-19 adalah sangat penting bagi memastikan memperoleh keputusan yang tepat.

Ketua Unit Kawalan Jangkitan dan Epidemiologi Hospital (UKJEH), Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Prof Madya Dr Siti Suraiya Md Noor, berkata antaranya ialah sebelum menjalani ujian berkenaan, individu terbabit hanya boleh meminum air kosong.

Selain itu, katanya, individu berkenaan tidak boleh merokok, makan atau sekadar mengunyah makanan, kerana dikhuatiri ada protein tertentu dalam makanan yang boleh mengganggu antigen bakal diuji.

Beliau berkata, prinsip ujian RTK Antigen itu adalah untuk mengenal pasti viral protein kepada virus COVID-19.

"Bagi mendapatkan keputusan tepat, sebaik-baiknya mengikut setiap arahan terdapat pada kotak kit ujian.

"Ini kerana kecuaian dalam mengikut arahan, seperti tidak menepati masa ujian atau sampel tidak mencukupi, boleh menjejaskan keputusan ujian. Setiap keputusan diperoleh perlu diambil kira dalam tempoh tertentu sahaja.

"Jika keputusan keluar dua garisan, ia dikira positif walaupun salah satu hanya kelihatan samar-samar. Sekiranya keluar satu garisan pula, keputusan dikira negatif.

"Jika tiada sebarang garisan, keputusan adalah 'invalid' dan ujian perlu diulangi," katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Dr Siti Suraiya berkata, terdapat 124 jenis kit ujian kendiri diluluskan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk dijual dalam pasaran, dan fungsinya berbeza antara setiap kit ujian.

"Saya suka mengingatkan kepada semua, khususnya yang membeli kit ujian secara dalam talian atau mana-mana premis jualan selain daripada farmasi, mereka perlu memastikan hanya membeli kit diluluskan KKM.

"Pastikan kit ujian yang dibeli mengguna pakai sampel yang mana, sama ada calitan nasofaring (nasopharyngeal swab), calitan hidung (nasal swab), calitan bukal (buccal swab) atau air liur (saliva), kerana langkah ujian bagi setiap kit adalah berbeza-beza," kataya.

Dalam pada itu, Dr Siti Suraiya berkata, pengendalian sisa klinikal yang sudah digunakan juga perlu diberi perhatian.

Beliau berkata, kit yang sudah digunakan perlu dimasukkan ke dalam plastik dibekalkan tanpa mengira sama ada keputusan diperoleh positif atau negatif, kerana kedua-duanya boleh memberikan risiko kepada orang lain terutama pekerja pembersihan.

"Selain itu, bersihkan tempat di mana ujian berkenaan dilakukan, contohnya meja, atau apa saja peralatan lain yang digunakan ketika ujian terbabit dijalankan," katanya.

Cetak