Together we stop the pandemic #COVID-19
Together we stop the pandemic #COVID-19

38 dari 100 orang dewasa hadapi masalah kolesterol tinggi

  • Keratan Akhbar
  • Jumlah paparan: 249

fgfgfggg

Kota Bharu: Pengambilan makanan tinggi kolesterol yang banyak boleh meningkatkan kolesterol dalam darah sekali gus menyebabkan pelbagai masalah kesihatan terutamanya penyakit jantung dan angin ahmar.

Pensyarah Kanan Program Pemakanan dan Dietetik, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr Wan Nudri Wan Daud berkata, berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) pada tahun 2019, mendapati masalah kolesterol darah tinggi dalam kalangan orang dewasa di Malaysia ialah seramai 38.1 peratus bersamaan dengan 38 bagi setiap 100 orang.

Katanya, kolestrol dalam tubuh manusia terdiri daripada dua sumber iaitu sumber makanan (lebih kurang 20 hingga 30 peratus daripada jumlah kolesterol) dan melalui sumber yang dihasilkan sendiri dalam tubuh oleh organ hati (lebih kurang 70 hingga 80 peratus).

"Badan tidak memerlukan kolesterol daripada sumber makanan kerana organ hati boleh menghasilkan kolesterol sendiri menggunakan bahan daripada lemak, protein dan karbohidrat.

"Walau bagaimanapun, kolesterol juga memainkan peranan besar dalam pembentukan sel-sel tubuh yang sihat bagi membina membran sel atau tisu tubuh, membina vitamin D, membentuk hormon testosteron dan estrogen serta asid hempedu yang membantu proses pencernaan dan penyerapan lemak dalam tubuh," katanya dalam kenyataan, di sini.

Dr Wan Nudri berkata, kolesterol banyak terdapat dalam makanan berasaskan haiwan terutamanya daging berlemak, kulit ayam, organ dalaman dan makanan segera.

"Sekiranya ia berada pada paras tinggi dan tidak terkawal boleh menyebabkan pelbagai jenis masalah kesihatan terutamanya penyakit jantung dan angin ahmar.

"Orang ramai dinasihatkan mengehadkan makanan yang tinggi lemak tepu dan lemak trans dengan mengubah cara pemakanan dan diet untuk mencegah daripada menghidap kolesterol darah tinggi," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, terdapat dua pengangkut kolesterol yang utama dalam tubuh manusia iaitu 'Low Density Lipoprotein' (LDL) yang dikenali sebagai kolesterol jahat serta berperanan mengangkut kolesterol dari hati ke dalam salur darah dan sel.

"Manakala High-Density Lipoprotein' (HDL) pula adalah kolesterol baik yang mengangkut kolesterol dari salur darah dan sel ke organ hati serta disingkir keluar daripada badan.

"Orang ramai dinasihatkan agar mengehadkan makanan yang tinggi lemak tepu dan lemak trans dengan mengubah cara pemakanan dan diet untuk mencegah daripada menghidap kolesterol darah tinggi," katanya.

Disiarkan pada: Februari 21, 2022 @ 1:13pm
Cetak