Together we stop the pandemic #COVID-19
Together we stop the pandemic #COVID-19

120 kanak-kanak terima vaksin di SPPV HUSM

  • Keratan Akhbar
  • Jumlah paparan: 515

gffgfgg

KOTA BHARU: Seramai 120 kanak-kanak berusia 5 tahun hingga 11 tahun sudah mendapatkan suntikan vaksin dos pertama di Pusat Pemberian Vaksin Khas (SPPV) Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian sejak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) bermula 14 Februari lalu.

Penyelaras SPPV Hospital USM, Profesor Dr Mohd Imran Yusof, berkata suntikan vaksin yang diberikan di SPPV HUSM itu lebih memfokuskan kepada pesakit kanak-kanak yang mempunyai penyakit dan berisiko, bagi membolehkan pihak hospital memantau keadaan mereka selepas mendapatkan suntikan.

Katanya, pada peringkat awal, suntikan berkenaan hanya diberikan dua hari seminggu iaitu pada hari Isnin dan Selasa bermula seawal jam 8.30 pagi sehingga 2 petang dengan penyertaan seramai 60 kanak-kanak setiap hari.

"Kanak-kanak ini menerima vaksin jenis Pfizer dan tempoh sela antara dos pertama dan dos kedua adalah lapan minggu.

"Alhamdulillah, setakat ini, pihak kami tidak menerima apa-apa rungutan daripada ibu bapa mengenai kesan sampingan," katanya.

Dr Mohd Imran berkata, vaksin adalah perlindungan terbaik untuk meningkatkan imunisasi badan dengan mengurangkan risiko dijangkiti COVID-19.

"Suntikan vaksin bukanlah satu kekebalan daripada risiko kematian, namun kematian yang dikaitkan secara langsung dengan COVID-19 dapat dikurangkan terutama dalam kalangan kanak-kanak.

"Saya menyeru supaya lebih ramai ibu bapa membuat pendaftaran vaksinasi untuk anak bagi mengurangkan risiko jangkitan kepada anak.

"Pada masa sama, saya menasihatkan ibu bapa supaya mendapatkan maklumat tepat mengenai suntikan vaksin daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau daripada doktor. Jangan mudah terpengaruh dengan berita yang tidak sahih," katanya.

Beliau berkata, PICKids adalah langkah terbaik bagi mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak.

"Kes jangkitan virus COVID-19 dalam kalangan bayi dan kanak-kanak kini amat membimbangkan. Mereka menjadi antara golongan yang berisiko dijangkiti virus berkenaan selepas warga emas," katanya.

Cetak