Together we stop the pandemic #COVID-19
Together we stop the pandemic #COVID-19

120 kanak-kanak terima vaksin di SPPV HUSM

  • Keratan Akhbar
  • Jumlah paparan: 297

ggggggg

Kota Bharu: Seramai 120 kanak-kanak yang berusia antara 5 hingga 11 tahun sudah mendapatkan suntikan vaksin dos pertama di Pusat Pemberian Vaksin Khas (SPPV) Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) bermula 14 Februari lalu.

Penyelaras SPPV Hospital USM, Profesor Dr Mohd Imran Yusof berkata, suntikan vaksin yang diberikan di SPPV HUSM itu lebih memfokuskan kepada pesakit kanak-kanak yang mempunyai penyakit dan berisiko bagi membolehkan pihak hospital memantau keadaan mereka selepas mendapatkan suntikan.

Katanya, pada peringkat awal suntikan berkenaan hanya diberikan dua hari seminggu iaitu pada Isnin dan Selasa bermula seawal jam 8.30 pagi sehingga 2 petang dengan penyertaan seramai 60 kanak-kanak setiap hari yang sudah membuat pengesahan menerima temujanji suntikan vaksin melalui aplikasi MySejahtera.

"Vaksin yang diberikan kepada kanak-kanak di SSPV ini adalah jenis Pfizer dan tempoh sela antara dos pertama dan dos kedua adalah lapan minggu.

"Alhamdulillah, setakat ini, pihak kami tidak menerima apa-apa rungutan daripada ibu bapa mengenai kesan sampingan sebaik anak mereka mendapatkan suntikan vaksin," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Dr Mohd Imran berkata, vaksin adalah perlindungan terbaik untuk meningkatkan imunisasi badan dengan mengurangkan risiko dijangkiti Covid-19.

"Suntikan vaksin bukanlah satu kekebalan daripada risiko kematian, namun kematian yang dikaitkan secara langsung dengan Covid-19 dapat dikurangkan terutama dalam kalangan kanak-kanak.

"Saya menyeru supaya lebih ramai ibu bapa di luar sana membuat pendaftaran vaksinasi kepada anak-anak mereka supaya risiko jangkitan dapat dikurangkan sekali gus membantu negara melandaikan lekuk kes harian yang semakin meningkat kini," katanya.

Tambah beliau, ibu bapa dinasihatkan mendapatkan maklumat tepat mengenai suntikan vaksin daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau dengan doktor yang bertanggungjawab.

"Kes jangkitan virus Covid-19 dalam kalangan bayi dan kanak-kanak kini amat membimbangkan dan mereka menjadi antara golongan yang berisiko dijangkiti virus berkenaan selepas warga emas.

"Pada masa sama, sejak kebelakangan ini, jangkitan Covid-19 juga semakin membimbangkan dengan kenaikan kes harian yang mendadak," katanya.

Disiarkan pada: Februari 17, 2022 @ 1:51pm
Cetak