Bimbang kesan sampingan antara sebab tolak vaksin

IMG 20211126 140128

KOTA BHARU: Bimbang kesan sampingan yang boleh membawa maut antara tiga faktor utama dikenal pasti sebagai penyebab penolakan vaksin COVID-19 di negeri ini.

Ketua Penyelaras Pusat Pemberian Vaksin Khas (SPPV), Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Profesor Dr Mohd Imran Yusof, berkata kurang keyakinan dan mendakwa vaksin dihasilkan dalam masa singkat turut menyumbang kepada penolakan itu.
 
Katanya, dapatan itu diperoleh berdasarkan soal selidik terhadap 7,000 responden.
 
"Soal selidik berkenaan dilakukan sejak Mac sehingga kini. Daripada soal selidik berkenaan, kita mengenal pasti tiga faktor penolakan rakyat Kelantan terhadap vaksin," katanya menerusi kenyataan hari ini.
 
Bagaimanapun katanya, sejak SPPV Hospital USM mula beroperasi pada Mac lalu, ia mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan kakitangan, pelajar serta orang ramai yang datang mendapatkan vaksin.
 
"SPPV HUSM menerima bekalan vaksin melebihi 50,000 dos dan hampir 30,000 penerima sudah mendapat suntikan.
 
"Bagi merancakkan lagi proses pemberian vaksin, SPPV HUSM turut bekerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) menerusi program 'KPT prihatin, Komuniti Sejahtera' (KRIS).
 
"Melalui kerjasama ini, pasukan vaksin SPPV HUSM turun padang ke pusat tahanan iaitu Penjara Pengkalan Chepa dan Penjara Pasir Mas, selain Sekolah Agama di bawah seliaan Yayasan Islam Kelantan (YIK) serta Pusat Asuhan Kanak-kanak Spastik bagi memudahkan mereka yang layak menerima suntikan vaksin", katanya.
Cetak