Together we stop the pandemic #COVID-19
Together we stop the pandemic #COVID-19

Menyamar cari pesakit Covid-19 enggan hadir hospital

  • Keratan Akhbar
  • Jumlah paparan: 318

IMG 20210926 084343

Kota Bharu: Pengalaman mengendalikan antara 300 hingga 500 ujian calitan (swab test) sehari terhadap pesakit adalah antara cabaran yang dihadapi pasukan petugas di Klinik Saringan Infeksi (SRI-KRK), Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) sejak negara mula dilanda wabak Covid-19 pada Mac tahun lalu.

Sering berhadapan pelbagai cabaran getir namun ia tidak melunturkan semangat, jauh sekali mengeluh atau berputus asa sebaliknya mereka terus komited dan dedikasi.

 IMG 20210926 084259

Pegawai Perubatan Klinik SRI-KRK, Dr Muhammad Rashdan Roslan berkata, sewaktu awal pandemik, kesedaran orang awam tentang virus Covid-19 masih rendah.

Menurutnya, mentaliti masyarakat pula meminggirkan golongan yang dijangkiti virus ini termasuklah individu yang masih dalam siasatan sebagai kontak rapat.

"Sebagai petugas kesihatan, kami mengambil pendekatan secara turun padang, termasuklah dengan cara menyamar untuk mengesan golongan ini kerana mereka enggan hadir ke hospital untuk menjalani ujian calitan.

"Pesakit bimbang dengan tanggapan masyarakat sekeliling yang bertindak memulaukan mereka nanti.

"Malah lebih menyedihkan apabila ada memilih untuk melarikan diri dengan pergi ke rumah sanak saudara bagi mengelak dijejaki tanpa memikirkan risiko berlakunya penyebaran virus," katanya.

Dr Muhammad Rashdan berkata, memakai peralatan perlindungan diri (PPE) dalam tempoh lama sememangnya meletihkan buat petugas kesihatan namun ia akan hilang jika mendapat kerjasama pesakit bagi memudahkan proses calitan mereka.

"Sudah menjadi asam garam bagi kami dilemparkan dengan kata-kata kesat dan dimarahi apabila meminta individu melakukan ujian calitan, mengeluarkan arahan kuarantin dan memakaikan gelang sehingga mereka tidak boleh bekerja atau keluar rumah.

"Ketika kadar kes harian di Kelantan menunjukkan peningkatan sehingga empat angka setiap hari, kami perlu memastikan mental dan fizikal sentiasa bersedia untuk berhadapan dengan pelbagai karenah pesakit," katanya.

Menurutnya, dalam berhadapan dengan suasana getir berikutan peningkatan kes, beliau bersyukur kerana mempunyai rakan setugas yang cekal dan berganding bahu bekerja dalam pasukan tanpa mengenal erti penat lelah.

"Apabila berhadapan dengan pesakit untuk melakukan ujian saringan, kebanyakan petugas akan fokus kepada tugas masing-masing sehingga sering terlupa untuk makan, membuang air dan apatah lagi berhenti rehat.

"Justeru itu, kami sangat mengharapkan kerjasama daripada masyarakat untuk jujur ketika disaring kerana kejujuran anda membantu memudahkan pelaksanaan tugas kami sekaligus mengekang penularan wabak berbahaya ini," katanya.

Dalam masa sama, Muhammad Rashdan turut berpesan supaya semua pihak lebih cakna dengan garis panduan atau prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Jangan pandang enteng ketika mengisi deklarasi risiko kerana kerjasama semua pihak amat diperlukan dalam mengesan individu yang dijangkiti virus Covid-19.

"Jangan panik dan takut kerana ujian calitan sebenarnya membantu kita mengetahui status semasa badan sama ada sihat atau sebaliknya.

"Jadilah individu yang mematuhi peraturan dan jangan mudah terpedaya dengan dakyah palsu yang disebarkan melalui media sosial sebaliknya rujuk kepada pihak yang lebih pakar," katanya.

Cetak