Together we stop the pandemic #COVID-19
Together we stop the pandemic #COVID-19

Pikul amanah besar ketuai wad urus pesakit Covid-19

  • Keratan Akhbar
  • Jumlah paparan: 563

IMG 20210925 120131

Kota Bharu: "Pengalaman melihat pesakit dimasukkan ke wad dan bertarung nyawa melawan virus Covid-19 sehingga akhirnya dijemput Sang Pencipta tidak akan pernah dilupakan," kata Ketua Jururawat Wad Isolasi Medikal Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Md Fadhil Mat Amin.

Md Fadhil berkata, dia perlu meletakkan dirinya dalam keadaan sentiasa bersedia daripada segi mental dan fizikal untuk berhadapan situasi berisiko tinggi bagi tempoh panjang dengan kemungkinan dijangkiti Covid-19.

Katanya, dia diberi tanggungjawab untuk mengetuai wad menguruskan pesakit Covid-19 dan menganggap amanah diberikan itu sebagai ruang untuknya dan rakan menabur bakti kepada negara dan seluruh rakyat Malaysia.

"Berhadapan dengan wabak Covid-19 adalah pengalaman paling mencabar serta menguji ketahanan mental dan fizikal sepanjang 14 tahun saya bertugas sebagai jururawat.

Masa bersama keluarga kini terbatas demi tugas perlu diselesaikan. Berpanas dan berhujan, ujian saringan tetap perlu diteruskan dan pesakit disahkan positif mengharapkan bantuan kami untuk memberi rawatan terbaik kepada mereka," katanya.

Beliau berkata, pengalaman sepanjang menguruskan pesakit Covid-19 yang memerlukannya memakai kelengkapan perlindungan peribadi (PPE) amat mencabar dengan peluh mencurah-curah seperti pakaian basah sedang dibasuh.

Bagaimanapun, katanya, penat lelah itu seakan-akan terbalas sebaik sahaja selesai menggembleng tenaga merawat dan menjaga pesakit kritikal yang silih berganti ditempatkan di wad.

"Akujanji sebagai seorang jururawat ketika mula melapor diri di HUSM tetap tersemat utuh dan tiada apa mampu menggugat iltizam saya sebagai petugas barisan hadapan melainkan memberi khidmat terbaik kepada pesakit.

"Gelombang keempat virus Covid-19 dengan peningkatan kes mendadak menyedarkan bahawa khidmat sebagai jururawat adalah benteng untuk menyembuhkan pesakit, sekali gus membendung penularan wabak 'pembunuh' itu.

"Sebagai perawat bertugas, kami hanya mampu berusaha sedaya upaya memberi bantuan dan merawat pesakit sebaik mungkin, selebihnya bergantung kepada pesakit untuk terus cekal, tabah dan kuat menghadapi ujian kesakitan ini," katanya.

Menurutnya, pesakit di dalam wad silih berganti, namun ahli keluarga pesakit hanya mengharapkan bantuan petugas yang memberi rawatan susulan prosedur operasi standard (SOP) membataskan ahli keluarga melawat mereka.

Katanya, situasi itu menyebabkan wujudnya kasih sayang tanpa sempadan di saat mereka mula merasai kebergantungan kepada perawat bertugas agar membantu mereka kembali sembuh seperti sedia kala.

"Petugas barisan hadapan seperti jururawat sangat memerlukan sokongan daripada seluruh lapisan masyarakat sebagai penguat semangat untuk kami terus mendepani wabak ini.

"Jadilah masyarakat mematuhi arahan dan SOP ditetapkan untuk meringankan tugas kami serta membantu mengurangkan penularan virus Covid-19," katanya.

 

Disiarkan pada: September 24, 2021 @ 3:20pm

Cetak