Together we stop the pandemic #COVID-19
Together we stop the pandemic #COVID-19

HUSM sambut 24 bayi merdeka

  • Keratan Akhbar
  • Jumlah paparan: 558

ghj

KOTA BHARU - Seramai 24 bayi merdeka dilahirkan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di sini ketika negara menyambut Hari Kebangsaan Ke-64 pada Selasa.

Lebih menyentuh hati, perjuangan para ibu melahirkan bayi merdeka pada kali ini tanpa ditemani suami tercinta disebabkan negara masih lagi bergelut dengan pandemik Covid -19.

Daripada jumlah itu, 13 adalah bayi lelaki dan 11 bayi perempuan yang dilahirkan secara normal dan pembedahan.

Bayi pertama dilahirkan pada jam 12.57 pagi dan bayi merdeka terakhir lahir pada jam 10.49 malam.

Salah seorang ibu bayi merdeka, Norsafarin Shamsudden, 37, berkata, dia dan suami sangat bertuah kerana cahaya mata keempat mereka dilahirkan pada Hari Kebangsaan iaitu sama tarikh seperti jangkaan yang diberikan doktor.

fghd

“Saya dimasukkan ke wad pada petang 30 Ogos dan mula merasai tanda-tanda bersalin yang lebih kerap bermula jam 1.30 pagi sebelum dihantar ke bilik bersalin kira-kira jam 3 pagi serta selamat melahirkan puteri keempat seberat 3.51 kilogram (kg) pada jam 4.02 pagi.

“Syukur semuanya dipermudahkan dan kelahiran bayi merdeka ini bukan sahaja memberikan rahmat kepada saya dan suami, malah ia merupakan satu perasaan yang sukar digambarkan,” kata guru Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Melor dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Kegembiraan itu turut dikongsi pasangan suami isteri, Salah Naqiah Mat Rani@ Ghani, 31, dan Mohd Nasrul Hafiz Mohd Nordin, 31, apabila menerima kehadiran cahaya mata ketiga sebagai anak merdeka.

“Saya serta suami begitu teruja dan gembira apabila hero ketiga kami seberat 4kg ini dilahirkan pada hari ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-64, perkara yang tidak pernah kami jangka.

“Mengikut tarikh jangkaan, saya sepatutnya melahirkan anak ini pada 2 September, namun perancangan ALLAH mengatasi segala-galanya apabila dia dilahirkan pada 4.23 pagi tadi,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Hospital USM, Profesor Datuk Dr Ahmad Sukari Halim turut turun padang meraikan bayi-bayi merdeka yang lahir di HUSM.

Ahmad Sukari turut merakamkan penghargaan kepada Co-op Bank Pertama Cawangan Kota Bharu, Bank Simpanan Nasional Cawangan Kubang Kerian dan Koperasi Warga USM Kelantan Berhad yang berbesar hati menghulurkan sumbangan kepada bayi-bayi merdeka ini.



Cetak