Jangan bimbang derma darah ketika pandemik

jgn bimbang

Pengarah Hospital USM, Profesor Datuk Dr Ahmad Sukari Halim berkata, kebimbangan masyarakat dan penderma darah terhadap keselamatan sepanjang proses menderma darah serta pembatalan kempen derma darah oleh penganjur turut menjadi faktor penyebab kekurangan bekalan darah.

Katanya, bagi memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi untuk kegunaan pesakit, pelbagai inisiatif dilakukan oleh UPT Hospital USM bagi menarik orang ramai menderma mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Saya juga berterima kasih kepada Persatuan Jururawat Malaysia Cawangan Hospital USM yang sentiasa menguar-uarkan kepada syarikat korporat, badan bukan kerajaan (NGO) dan institusi pendidikan dalam mengubah stigma mereka agar tidak perlu bimbang untuk meneruskan aktiviti menderma darah.

"Semua mengikut SOP termasuk saringan awal ke atas bakal penderma yang mana hanya yang tiada gejala, tidak mengalami jangkitan Covid-19 atau tidak ada kontak rapat dengan pesakit Covid-19 dalam masa 14 hari sahaja yang boleh meneruskan pendermaan darah," katanya.

Dr Ahmad Sukari berkata, ketika proses menderma darah, petugas kesihatan akan memastikan penderma memakai pelitup muka, mengimbas kod MySejahtera, mengisi borang deklarasi risiko Covid-19 Kampus Kesihatan serta mencuci tangan menggunakan pensanitasi sepanjang berada di lokasi.

"Saya bimbang sekiranya trend penurunan pendermaan darah akan berterusan yang secara tidak langsung akan menjejaskan keupayaan dalam merawat pesakit," katanya.

Disiarkan pada: Ogos 29, 2021 @ 10:40am
Cetak