Together we stop the pandemic #COVID-19
Together we stop the pandemic #COVID-19

Petugas kesihatan rayu kerjasama kekang COVID-19

  • Keratan Akhbar
  • Jumlah paparan: 662

ffff

KOTA BHARU: Meskipun sudah tahun kedua negara berhadapan pandemik COVID-19, masih ramai yang bersikap sambil lewa dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan wabak berkenaan.

Ketua Penyelia Jururawat Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Raudzah Mohamed Ariffin, berkata semua hospital dan fasiliti perubatan termasuk Hospital USM sememangnya menguatkuasakan pematuhan SOP demi memastikan penularan tidak berlaku di kawasan perawatan.

Katanya, namun ada antara yang masih selesa dengan kebiasaan dan terbawa hingga ke dalam wad mahupun klinik ketika datang mendapatkan rawatan atau sebagai peneman pesakit.

"Dalam tempoh pandemik, yang sangat penting bagi kami adalah kejujuran pesakit mahupun peneman mengisi Borang Deklarasi Risiko COVID-19 sebelum dibenarkan masuk ke dalam wad.

"Jika bergejala, maklumkan kepada doktor atau jururawat bertugas supaya langkah pencegahan awal dapat diambil bagi mengelak keadaan menjadi lebih serius", katanya.

Katanya, sehingga hari ini, Hospital USM masih mengekalkan dasar tiada pelawat dan peneman dibenarkan di dalam wad dan bagi kes berkeperluan, hanya seorang pengiring dibenarkan pada satu-satu masa.

"Jika diberikan kebenaran untuk menemani pesakit sepanjang mendapatkan rawatan di dalam wad, pengurusan Hospital USM sangat mengharapkan pengiring akur dengan SOP iaitu memakai pelitup muka sepanjang masa, tidak berbual-bual dengan peneman atau pesakit lain serta mencuci atau sanitasi tangan setiap kali selepas menyentuh pesakit dan apa-apa peralatan di dalam wad.

"Sekiranya berlaku penularan virus COVID-19, perkhidmatan perawatan akan lumpuh, wad akan ditutup untuk proses sanitasi, petugas terpaksa dikuarantin atau isolasi, petugas dari wad lain akan dipanggil untuk menggantikan tugasan yang mana ia akan turut menjejaskan perkhidmatan di wad-wad yang berkaitan, malahan tekanan juga akan dialami oleh pesakit serta peneman pesakit yang lain di dalam wad berkenaan," katanya.

Raudzah berkata sekiranya ada yang masih berdegil, ia bakal mengundang jangkitan COVID-19 apatah lagi dengan pelbagai varian dikesan.

"Lebih merisaukan, kebanyakan yang dijangkiti tidak menunjukkan sebarang gejala dan menjadi penyebar virus secara senyap," katanya.

Cetak