Negeri laksana pelbagai inisiatif percepat vaksinasi

ghgh

KUALA LUMPUR: Pelbagai inisiatif dilaksanakan oleh kerajaan-kerajaan negeri dalam mempercepatkan proses vaksinasi di negeri masing-masing, bagi memastikan semua kumpulan masyarakat tidak ketinggalan mendapat suntikan vaksin COVID-19.

Malah, inisiatif juga dilaksanakan oleh pelbagai institusi yang turut serta membantu memudahkan pemberian vaksin kepada golongan sasar.

Di Kelantan, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian mengambil inisiatif memberikan suntikan vaksin kepada hampir 300 orang kurang upaya (OKU), dengan menggunakan kaedah suntikan statik yang bertujuan memudahkan proses vaksinasi kepada golongan istimewa itu.

Pengarahnya, Prof Dr Shaiful Bahari Ismail, berkata menerusi kaedah itu, golongan OKU akan menerima suntikan dalam keadaan duduk di kerusi tanpa perlu bergerak, di mana keseluruhan proses mengambil masa kira-kira 30 minit, termasuk 15 minit dalam tempoh pemerhatian.

"Hanya petugas kesihatan, iaitu doktor dan jururawat, bergerak memberi vaksin dari satu kerusi ke kerusi masing-masing.

"Bagi sesi dos pertama ini, mereka perlu masuk ke dewan bagi membolehkan konsultasi mengenai vaksin COVID-19 disampaikan untuk pemahaman mereka, namun bagi dos kedua pula, mereka akan disuntik melalui kaedah pandu lalu sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Outreach Vaksinasi COVID-19 di pusat pemberian vaksin khas (SPPV) Kampus Kesihatan USM, hari ini.

Di KEDAH, pembukaan pusat pemberian vaksin (PPV) mega di Amanjaya Sports Arena yang mula beroperasi esok, dijangka mempercepatkan lagi kadar pemberian vaksin kepada penduduk di daerah Kuala Muda, seterusnya mencapai imuniti kelompok menjelang akhir Oktober ini.

Pengarah Task Force Imunisasi COVID-19 (CITF) Daerah Kuala Muda yang juga Pegawai Daerah Kuala Muda, Abdullah Hashim, berkata program yang mendapat kerjasama ProtectHealth Corporation Sdn Bhd itu turut melibatkan dua institusi kesihatan, Murshida Medical Centre dan Poliklinik An-Nisa selaku Health Care Organiser (HCO).

"PPV mega ini beroperasi dari jam 8.30 pagi hingga 8.30 malam dan sebanyak 5,000 dos suntikan akan diberikan dalam sehari, yang akan dilaksanakan secara berperingkat.

"PPV mega ini tidak menerima mereka yang tanpa janji temu, justeru penerima vaksin dinasihatkan mengikuti waktu janji temu ditetapkan bagi mengelakkan kesesakan di PPV ini. Pertanyaan mengenai program vaksinasi ini boleh hubungi bilik gerakan daerah di 019-3701276," katanya pada sidang media khas sempena pembukaan PPV itu hari ini.

Di PULAU PINANG, urusetia Program Outreach Vaksinasi Bergerak Seberang Perai Tengah (SPT), Mohd Fadhil Fahmi Zaini, berkata kesedaran dalam kalangan masyarakat, terutama warga emas dilihat begitu positif berikutan peningkatan kehadiran golongan berkenaan ke PPV bergerak itu.

Beliau berkata, perkembangan itu sedikit sebanyak dapat memberi impak yang positif kepada masyarakat dalam usaha membendung penularan pandemik COVID-19 dalam komuniti.

"Justeru tindakan yang proaktif dari agensi berkaitan termasuk Jabatan Penerangan serta ejen Basmi COVID-19 di peringkat komuniti dalam menyampaikan maklumat mengenai keberkesanan vaksin turut dipergiat dari semasa ke semasa," katanya menambah pihaknya akan melakukan vaksinasi rumah ke rumah bagi warga emas dan OKU terlantar.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan Pulau Pinang, Zairil Khir Johari dalam kenyataan hari ini, berharap Program Vaksinasi Industri Pembinaan (CIVac) dapat disegerakan dalam masa terdekat bagi memastikan pekerja sektor pembinaan menerima vaksin COVID-19.

Beliau berkata, program CIVac Wilayah Utara yang dijadual berlangsung bermula hari ini di Sunway Carnival Convention Centre Seberang Jaya, telah ditunda selama seminggu.

Selain itu, Zairil berkata, jumlah vaksin yang diberikan kepada 30,000 pekerja sektor pembinaan di Pulau Pinang tidak mencukupi dan perlu ditambah dalam fasa akan datang kerana mengikut data Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), terdapat seramai 47,950 pekerja pembinaan di negeri itu.

Di PERAK, Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) akan diperluaskan, masing-masing di sembilan kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi mempercepatkan suntikan vaksin untuk masyarakat Orang Asli, OKU dan warga emas.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Abdul Yunus Jamahri, berkata Parlimen terbabit ialah Parit Buntar, Bagan Serai, Parit, Kuala Kangsar, Kampar, Pasir Salak, Tanjong Malim, Beruas dan Bagan Datuk.

Kawasan DUN pula ialah Bota, Manong, Kuala Kurau, Selinsing, Kampar, Tualang Sekah, Kampung Gajah, Sungkai dan Pantai Remis.

"Sasaran program ini masyarakat berkelompok pelbagai kaum di kawasaan bandar, pinggir bandar dan ladang yang berdaftar dengan MySejahtera," katanya dalam sidang media selepas melancarkan bas bergerak MOVAK di Sekolah Jenis Kebangsan (SJKC) Yu Chai Kuala Kurau, hari ini. - BERNAMA

Cetak