Together we stop the pandemic #COVID-19
Together we stop the pandemic #COVID-19

Lincah berbahasa isyarat di SPPV [METROTV]

  • Keratan Akhbar
  • Jumlah paparan: 396

gfgf

Kota Bharu: Demi memastikan orang kurang upaya (OKU) pekak dan bisu menerima informasi yang tepat, seorang wanita menjadi sukarelawan penterjemah bahasa isyarat di Pusat Pemberian Vaksin Khas (SPPV) Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USMKK), Kubang Kerian, di sini.

Noor Haseken P Rameli, 42, menjadi perhatian ramai kerana kelincahan tangan dan tubuh badan yang mengekspresikan setiap penerangan kepada bahasa isyarat supaya dapat difahami golongan istimewa sebelum menerima suntikan vaksinasi Covid-19.

Dia yang juga jurubahasa isyarat Persatuan Orang Pekak Malaysia (POPK) cawangan Kelantan, mula aktif menjadi sukarelawan penterjemah sejak Mei lalu selain turut melakukanya secara dalam talian bagi membantu petugas kesihatan berkomunikasi dengan golongan pekak dan bisu.

"Saya mahir berbahasa isyarat sejak berusia 13 tahun lagi apabila selalu membantu ibu yang berniaga makanan berdekatan sebuah pusat kemahiran OKU di Kota Bharu.

"Kebanyakan pelanggan ibu adalah mereka yang tidak boleh bercakap sebaliknya hanya menggunakan bahasa isyarat untuk berkomunikasi.

"Bermula daripada itu, saya mula 'jatuh cinta' untuk mempelajarinya selain turut melanjutkan pelajaran dalam jurusan Diploma Jurubahasa Isyarat di Kolej Universiti Teknologi Antrabangsa Twintech.

"Malah, suami saya sendiri, Razani Ramli, 54, adalah OKU masalah pendengaran dan pertuturan, namun tidak menjadi penghalang untuk kami hidup bahagia memandangkan saya sendiri mahir berkomunikasi dengan bahasa isyarat," katanya ketika ditemui di SPPV USMKK, hari ini.

Noor Haseken yang juga ibu kepada tiga cahaya mata berusia tujuh hingga 12 tahun, mengakui berasa puas apabila golongan istimewa berkeaan memahami setiap penerangan tentang vaksinasi dengan bantuanya.

"Penting untuk mereka mengetahui dengan jelas setiap arahan dan informasi berkenaan vaksinasi.

"Sejujurnya, saya gembira dan bangga dapat bersama-sama petugas barisan hadapan melancarkan program vaksinasi Covid-19 supaya semua termasuk OKU mendapat perlindungan," katanya.

Cetak