Guna kaedah suntikan statik untuk OKU [METROTV]

dfff

Kota Bharu: Bagi melancarkan proses vaksinasi Covid-19 kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) Kampus Kesihatan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, di sini, menggunakan kaedah suntikan statik.

Pengarah Kampus Kesihatan HUSM, Prof Dr Shaiful Bahari Ismail, berkata dengan kaedah itu, individu OKU tidak perlu bergerak dari stesen ke stesen sebagai mana yang berlaku di pusat vaksinasi lain.

Katanya, individu hanya perlu berada di kerusi yang ditetapkan bersama seorang penjaga yang dibenarkan.

"Seramai hampir 300 OKU menerima vaksin hari ini dari Pusat Perkembangan Autism Kelantan, Program for Inclusive Child Excellence (PRINCE) Child Care Centre USM, Pusat Asuhan Harian anak-anak Spastik (PUSAKAS), Pusat Transformasi OKU USM, Taska OKU Auliya dan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) USM.

"Selama 30 minit diperuntukkan untuk setiap individu OKU menjalani proses suntikan vaksin termasuk tempoh pemerhatian. Selain dapat menjimatkan masa, kaedah suntikan statik boleh mengelak berlaku masalah penjarakan fizikal.

"Demi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi, hanya 50 penerima vaksin dibenarkan masuk di dalam dewan untuk setiap sesi, selain ada diantara keluarga yang memilih untuk menggunakan kemudahan vaksinasi pandu lalu membabitkan OKU berkerusi roda dan yang sukar untuk bergerak," katanya.

Beliau ditemui selepas meninjau Program Outreach Vaksinasi Covid-19, di Pusat Pemberian Vaksin Khas (SPPV) Kampus Kesihatan HUSM Kubang Kerian, di sini, hari ini.

Dr Shaiful Bahari berkata, program itu bagi membantu mengurangkan risiko jangkitan wabak Covid-19 kepada ibu bapa, penjaga serta guru di pusat penjagaan dan pembelajaran OKU di Kelantan selain menjadi tanggungjawab sosial korporat (CSR) USM.

Sementara itu, Noorosenaini Majid, 53, ibu kepada anak OKU Autisma, Ahmad Aiman Kaisan Perwira, 20, berkata kaedah suntikan statik yang dipraktikkan memudahkan lagi proses penerimaan suntikan terutama kepada golongan istimewa seperti anaknya.

"Anak saya lebih tenang dan selesa dengan kaedah ini dan tidak perlu banyak bergerak sekali gus mengelak daripada berlaku masalah penjarakan sosial yang boleh menyebabkan penularan wabak berlaku.

"Malah, ibu bapa yang sama-sama membawa anak istimewa ke SPPV berkongsi rasa puas hati dengan kelancaran program hari ini yang sangat efektif dan praktikal buat golongan OKU," katanya.

 

 

Cetak