Peneman di wad perlu ambil ujian COVID-19

fgg

KOTA BHARU: Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) mewajibkan ujian COVID-19 kepada waris atau peneman pesakit, untuk mengelakkan jangkitan, susulan penularan wabak itu.

Pengarah HUSM, Prof Datuk Dr Ahmad Sukari Halim, berkata saringan dilakukan berdasarkan keadaan semasa jangkitan COVID-19 di Kelantan, khususnya daerah Kota Bharu, termasuk ancaman penyebaran varian Delta yang merebak pantas.

Katanya penularan kes positif COVID-19 ke zon rawatan pesakit perlu dikawal kerana boleh menjejaskan tumpuan warga kerja hospital dan membantutkan operasi perkhidmatan kesihatan.

"Peneman hanya akan dibenarkan bagi kes-kes tidak berdaya fizikal (bed bound) berdasarkan kriteria tertentu yang diputuskan, sama ada oleh petugas di Jabatan Kecemasan atau di wad berkenaan.

"Peneman juga tidak dibenarkan bagi pesakit di wad bersalin, unit rawatan rapi (ICU), wad Severe Acute Respiratory Illness (SARI) serta wad COVID-19," katanya.

Beliau berkata, hanya seorang peneman dibenarkan untuk seorang pesakit pada satu-satu masa dan hanya peneman yang melepasi saringan risiko serta memperoleh keputusan negatif terkini (dalam tempoh 72 jam) ujian RTK-Ag atau RT-PCR COVID-19 akan diberi kebenaran.

"Ketetapan ini perlu bagi mengelak insiden berulang kes peneman pesakit menularkan jangkitan ke kawasan rawatan dan selaras dengan arahan yang diputuskan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kelantan," katanya.

Cetak