Together we stop the pandemic #COVID-19
Together we stop the pandemic #COVID-19

Hospital USM wajibkan saringan COVID-19 kepada peneman pesakit

  • Keratan Akhbar
  • Jumlah paparan: 680
61606799146 HUSMtakditutup
 
KOTA BHARU: Hospital Universiti Sains Malaysia (Hospital USM) mewajibkan saringan COVID-19 kepada peneman pesakit bagi mengelakkan jangkitan daripada komuniti berikutan peningkatan kes baharu wabak itu.
 
Pengarah Hospital USM Prof Datuk Dr Ahmad Sukari Halim berkata ia dilaksanakan berdasarkan penilaian situasi semasa jangkitan COVID-19 di Kelantan khususnya daerah Kota Bharu termasuk ancaman penyebaran varian Delta yang merebak pantas.
 
Selain itu katanya penularan kes positif COVID-19 ke zon perawatan pesakit perlu dikawal kerana ia boleh menjejaskan fokus warga kerja hospital sekali gus merencatkan operasi perkhidmatan perubatan kepada rakyat.
 
"Malah yang terkini, insiden kes positif turut melibatkan peneman pesakit di Hospital USM, menyebabkan pihak pengurusan terpaksa membuat keputusan memperketat polisi kebenaran kepada peneman pesakit berkuatkuasa 20 Julai lepas.
 
"Peneman hanya akan dibenarkan bagi kes-kes tidak berdaya fizikal (bedbound) sahaja berdasarkan kriteria-kriteria tertentu yang diputuskan sama ada oleh petugas di Jabatan Kecemasan atau di wad-wad yang berkenaan," katanya di sini hari ini.
 
Dr Ahmad Sukari berkata peneman juga tidak dibenarkan bagi pesakit-pesakit di Wad Bersalin, Unit Rawatan Rapi (ICU), Wad Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) serta Wad COVID-19.
 
Beliau berkata hanya seorang peneman dibenarkan untuk seorang pesakit pada satu-satu masa dan hanya peneman yang melepasi saringan risiko serta memperoleh keputusan negatif terkini (dalam tempoh 72 jam) Ujian Rapid Antigen (RTK-Ag) atau Ujian Tindak Balas Berantai Polimerase (RT-PCR) COVID-19 sahaja yang akan diberi kebenaran masuk untuk meneman pesakit termasuk peneman gantian (jika berkenaan).
 
"Ketetapan ini perlu bagi mengelak insiden berulang kes peneman pesakit menularkan jangkitan ke kawasan perawatan dan ia selaras dengan arahan yang diputuskan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kelantan yang juga mengambil pendekatan berkenaan bertujuan memastikan individu yang memasuki Kelantan bebas COVID-19.
 
"Seseorang peneman itu perlu sepanjang masa berada dalam kawasan Hospital USM dan sekiranya didapati keluar dari kawasan Hospital USM, mereka hanya akan diberi kebenaran masuk semula selepas mengulangi saringan RTK-Ag atau RT-PCR dengan keputusan negatif," katanya.
 
Beliau berkata peneman yang ingin berada di fasiliti Hospital USM boleh melakukan RTK-Ag atau RT-PCR dengan pembiayaan sendiri di fasiliti-fasiliti luar yang menyediakan ujian berkenaan selain di fasiliti Kementerian Kesihatan.
 
"Bagi kes-kes pesakit kritikal (nazak) atau meninggal dunia di wad pula, hanya dua orang waris terdekat yang dibenarkan masuk pada satu-satu masa dan kedua-duanya perlu memperoleh keputusan negatif ujian RTK-Ag atau RT-PCR COVID-19 terlebih dahulu dan tempoh masa yang dibenarkan adalah selama 15 minit sahaja.
 
"Kejayaan mengawal jangkitan COVID-19 memerlukan kerjasama semua pihak. Kita memohon waris untuk bersikap jujur semasa melakukan saringan deklarasi dan sekiranya anda berisiko atau sedang mengalami simptom yang berkaitan COVID-19, jangan datang ke Hospital USM sebagai peneman pesakit," katanya.
Beliau berkata Hospital USM telah melaksanakan Polisi Tiada Pelawat sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 pada Mac 2020 hingga sekarang.
 
-- BERNAMA
Cetak