Together we stop the pandemic #COVID-19
Together we stop the pandemic #COVID-19

Warga emas 120 tahun lengkap dua dos suntikan vaksin

  • Keratan Akhbar
  • Jumlah paparan: 382

HAZELEN LIANA KAMARUDIN | | 30 Jun 2021

1116738

KOTA BHARU - Seorang wanita warga emas berusia 120 tahun melengkapkan suntikan vaksin dos kedua di Pusat Pemberian Vaksin Khas (PPVK) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dibawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) pada Rabu.

Siti Liah Mamat melengkapkan dos kedua itu pada jam 11 pagi sambil ditemani anaknya melalui kaedah pandu lalu.

Warga emas berkenaan ketika ditemui melahirkan rasa syukur dan gembira dapat melengkapkan suntikan itu sekali gus menyokong saranan kerajaan dalam melawan Covid-19.

"Alhamdulillah untuk suntikan pertama sebelum ini saya tidak mengalami sebarang alahan, malah sihat seperti biasa. Untuk dos kedua saya berharap tiada kesan sampingan," katanya.

Sehubungan itu, dia menyeru kepada masyarakat di luar sana supaya tidak mudah terpengaruh dengan berita kurang tepat berhubung pengambilan vaksin.

Katanya, bukan itu sahaja masyarakat tidak perlu takut mengambil suntikan vaksin sebagaimana diarahkan oleh kerajaan.

Siti Liah berkata, apa yang dilakukan oleh kerajaan ketika ini merupakan ikhtiar terbaik dalam melawan pandemik Covid-19.

Tambahnya, apabila nama dipanggil untuk menerima suntikan teruslah berbuat demikian tanpa berlengah.

Sementara itu, Pengarah HUSM, Profesor Datuk Dr Ahmad Sukari Halim berkata, pihaknya berbesar hati dapat membantu menjayakan PICK dalam usaha meningkatkan imuniti kelompok dalam kalangan masyarakat.

Katanya, bagi memudahkan lagi proses suntikan, HUSM memperkenalkan teknik pandu lalu untuk penerima suntikan.

"Kita gunakan segala pengalaman yang ada pada kakitangan HUSM dalam menjayakan suntikan ini," katanya.

 

Cetak