Together we stop the pandemic #COVID-19
Together we stop the pandemic #COVID-19

Warga emas 120 tahun terima dos kedua vaksin

  • Keratan Akhbar
  • Jumlah paparan: 474

dos 1 696x392

KOTA BHARU: Seorang warga emas Siti Liah Mamat berusia 120 tahun lengkap menerima dua dos suntikan vaksin pada Program Outreach Vaksinasi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian.

Siti Liah dipercayai wanita tertua di Kelantan dan individu yang dikenal pasti memenuhi kriteria menjadi antara 84 penerima suntikan vaksin di PPV HUSM.

Warga emas itu menerima suntikan dos kedua secara pandu lalu hari ini yang dibawa ke PPV dengan menaiki kenderaan ditemani anaknya.

Ketika ditemui, Siti Liah teruja apabila sudah melengkapi dua dos vaksin Covid-19 selain turut menyeru masyarakat agar segera menerima suntikan vaksin.

“Tak sakit pun, sama saja macam cucuk kali pertama, tak rasa apa-apa,” katanya yang menerima suntikan pertama pada 9 Jun lalu.

“Selepas suntikan pertama, tidak ada apa-apa berlaku dan kesihatan pun baik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai menerima suntikan di PPSV, di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, Siti Liah masih dikurniakan kesihatan yang baik walaupun sudah berusia melebihi satu abad, selain memiliki pendengaran baik dan daya penglihatan masih jelas tanpa perlu berkaca mata.

Amalan bersedekah dan minum air putih antara rahsia dikongsi ibu kepada 12 anak, 48 cucu serta 44 cicit apabila ramai bertanya petua penjagaan diri walaupun sudah berusia lebih 100 tahun.

Sementara itu, Pengarah HUSM, Prof Dato’ Dr Ahmad Sukari Halim berkata, HUSM menjadi pelopor PICK menerusi kaedah pandu lalu yang lebih cepat dan memudahkan.

Katanya, PPV HUSM meneruskan kaedah ini pada fasa kedua secara selektif melalui janji temu khusus untuk penerima vaksin yang berkeperluan saja selepas melihat kelancaran percubaan dalam pelaksanaan suntikan vaksin secara pandu lalu pada fasa pertama.

Malah katanya, antara kriteria yang ditetapkan ialah penerima suntikan dos kedua saja dan secara janji temu dengan urus setia PPV.

Selain itu penerima suntikan yang berisiko masuk ke kawasan PPV seperti kakitangan baru kembali menjalankan tugas di luar Kelantan, luar daerah atau kawasan berisiko tinggi serta penerima suntikan dos kedua yang mempunyai gejala Covid-19.

Namun dalam masa yang sama katanya, seseorang penerima vaksin juga disaran melengkapkan suntikan kedua-dua dos dalam tempoh ditetapkan.

Bagaimanapun katanya, Jawatankuasa PICK peringkat HUSM juga merancang serta melaksanakan pemberian suntikan vaksin secara pandu lalu sebagai kaedah pilihan dan selektif kepada penerima yang memenuhi kriteria tertentu. – HARAKAHDAILY 30/6/2021

 

Cetak