Warga emas berusia 120 tahun terima vaksin COVID-19

IMG 20210614 054543

KOTA BHARU: "Saya gembira dan Alhamdulillah ia selesai dengan cepat," kata Siti Liah Mamat, 120, selepas menerima suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian.

Siti Liah dibawa ke PPSV dengan menaiki kenderaan Hospital USM ditemani anak serta cucunya.

"Saya sendiri menyuruh cucu mendaftar suntikan vaksin melalui MySejahtera kerana sedar pentingnya suntikan ini untuk saya yang sudah berusia lanjut," katanya ketika ditemui di PPV Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, di sini, hari ini.

Siti Liah juga berharap masyarakat terutama warga emas dan golongan berisiko tidak terpengaruh dengan dakyah memburuk-burukkan vaksin.

Media sebelum ini pernah melaporkan, Siti Liah Mamat masih dikurniakan kesihatan yang baik walaupun sudah berusia melebihi satu abad selain memiliki pendengaran baik dan daya penglihatan masih jelas tanpa perlu berkaca mata.

Amalan bersedekah dan minum air putih antara rahsia yang dikongsi oleh ibu kepada 12 anak, 48 cucu serta 44 cicit apabila ramai yang bertanya mengenai petua penjagaan diri walaupun sudah berusia lebih 100 tahun.

Sementara itu, Pegawai Perubatan Hospital USM Dr Shahrizal Mustaffa berkata, bagi suntikan vaksin fasa kedua golongan yang mendapatkan suntikan berkenaan adalah golongan berusia 60 tahun ke atas dan yang mempunyai penyakit.

"Disebabkan itulah, Hospital USM dipilih sebagai PPV khas yang mengutamakan pesakit berisiko datang mendapatkan suntikan vaksin.

"Pada hari ini, kami sangat teruja apabila PPV menerima warga emas berusia 120 tahun untuk mendapatkan suntikan vaksin," katanya.

Cetak