Together we stop the pandemic #COVID-19
Together we stop the pandemic #COVID-19

Suntikan vaksin pandu lalu elak penularan Covid-19 di SPPV

  • Keratan Akhbar
  • Jumlah paparan: 755

dff

Kota Bharu: Suntikan vaksin Covid-19 menerusi sistem pandu lalu di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, di sini, dapat mengelak penularan wabak berkenaan di Pusat Pemberian Vaksin (SPPV).

Ketua Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 SPPV Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Mohd Imran Yusof berkata, ini berikutan mereka yang menerima vaksin secara pandu lalu itu tidak akan mempunyai kontak dengan penerima vaksin lain.

Katanya, mereka yang menerima vaksin dengan kaedah berkenaan adalah individu yang berisiko kerana mempunyai kontak dengan pesakit positif Covid-19.

"Selain itu, penerima juga adalah individu yang mempunyai sejarah merentas negeri dan juga pesakit HUSM. Sistem berkenaan juga terpakai kepada mereka yang menerima dos kedua sahaja.

"Menerusi sistem berkenaan, mereka yang mempunyai kriteria berkenaan tidak perlu mengubah tarikh janji temu bagi dos kedua untuk suntikan vaksin.

"Berdasarkan projek perintis yang bermula Mac lalu, ia juga memudahkan golongan yang tidak mampu berjalan termasuk orang kurang upaya (OKU)," katanya ketika ditemui di Dewan Utama USM, Kubang Kerian, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Kampus Kesihatan USM, Prof Dr Shaiful Bahari Ismail.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Imran berkata, ia memberi kemudahan kepada penerima apabila mereka tidak perlu turun dari kenderaan untuk mendapatkan vaksin selain dapat menjimatkan masa.

Katanya, penerima juga akan dipantau dalam tempoh 15 minit sehingga 30 minit selepas disuntik sebelum dibenarkan pulang untuk memastikan mereka tidak mempunyai komplikasi selepas suntikan.

"Suntikan bagi fasa pertama yang bermula Mac lalu, seramai 123 individu terdiri petugas barisan hadapan sudah menerima vaksin.

"Manakala, suntikan bagi fasa kedua bermula 25 Mei lalu membabitkan pesakit HUSM dan setakat ini seramai 10 individu yang sudah divaksin secara pandu lalu," katanya.

Cetak