Together we stop the pandemic #COVID-19
Together we stop the pandemic #COVID-19

Suntikan Vaksin Pandu Lalu Dapat Elak Jangkitan COVID-19 Di SPPV

  • Keratan Akhbar
  • Jumlah paparan: 1116

81e43f40 8aa0 4e42 8779 84e2c1bb436c

KOTA BHARU - Suntikan vaksin COVID-19 menerusi sistem pandu lalu yang dijalankan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, di sini, diyakini dapat mengelakkan penularan COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin Khas (SPPV).

Ketua Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 SPPV Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Mohd Imran Yusof berkata, ini berikutan mereka yang menerima vaksin pandu lalu ini tidak akan mempunyai kontak dengan penerima yang lain.

Katanya, penerima vaksin ini adalah individu yang berisiko kerana mempunyai kontak dengan pesakit positif COVID-19, mempunyai sejarah merentas negeri dan memiliki rekod sebagai pesakit HUSM.

"Dengan cara ini, mereka yang sepatutnya mendapatkan vaksin untuk suntikan dos kedua akan mendapatkan vaksin mengikut tarikh temu janji di MySejahtera.

"Berdasarkan projek perintis yang bermula Mac lalu, ia juga memudahkan golongan yang tidak mampu berjalan termasuk orang kurang upaya (OKU)," katanya kepada media ketika ditemui di Dewan Utama USM, Kubang Kerian di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Pengarah Kampus Kesihatan USM, Prof Dr Shaiful Bahari Ismail.

Mengulas lanjut Dr Mohd Imran yang juga Timbalan Pengarah Operasi Hospital USM berkata, ia memberi kemudahan kepada penerima apabila mereka tidak perlu turun daripada kenderaan untuk mendapatkan vaksin dan pada masa sama, menjimatkan masa.

Katanya, penerima juga akan dipantau selama 15 minit sehingga setengah jam selepas disuntik, sebelum dibenarkan pulang untuk memastikan mereka benar-benar sihat dan tidak mempunyai komplikasi selepas suntikan.

"Suntikan bagi fasa pertama yang bermula Mac lalu membabitkan 123 individu yang terdiri daripada pasukan barisan hadapan.

"Suntikan bagi fasa kedua bermula 25 Mei lalu, terdiri daripada pesakit HUSM dan setakat ini seramai 10 individu sudah divaksin secara pandu lalu," katanya.

Sementara itu, penerima vaksin, Khir Nazry Abdul Malek, 37, berkata, suntikan secara pandu lalu itu membantu menjimatkan masa yang terikat dengan komitmen lain.

"Sebagai penerima vaksin, saya menyokong program ini kerana ia dapat menggalakkan orang ramai untuk menerima vaksin.

"Saya harap orang ramai menyambut baik program ini bagi mengekang penularan COVID-19," katanya. - Getaran, 31 Mei 2021

Cetak