Together we stop the pandemic #COVID-19
Together we stop the pandemic #COVID-19

Suntikan vaksin pandu lalu kurangkan risiko penularan Covid-19

  • Keratan Akhbar
  • Jumlah paparan: 685

fc2d3b22 11e2 46ea b768 5a2b821dd43a

KOTA BHARU: Suntikan vaksin Covid-19 secara pandu lalu dilakukan Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian di sini baru-baru ini bertujuan mengurangkan risiko penularan pandemik itu di mana-mana Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Timbalan Pengarah Operasi Hospital USM (HUSM), Profesor Dr. Mohd. Imran Yusof berkata, suntikan vaksin oleh hospital itu diberikan kepada penerima yang dikenal pasti sebagai golongan berisiko kerana menjadi kontak rapat kepada pesakit Covid-19.

Katanya, selain itu, penerima vaksin yang ditetapkan di situ juga merupakan individu yang mempunyai sejarah merentas negeri dan juga pesakit di hospital itu sendiri.

“Dengan cara ini, mereka yang sepatutnya menerima vaksin namun mempunyai masalah sebelum ini boleh mendapatkan janji temu di HUSM selain menerusi aplikasi MySejahtera.

“Berdasarkan projek perintis suntikan vaksin secara pandu lalu yang bermula Mac lalu, langkah ini memudahkan golongan yang tidak mampu berjalan termasuk orang kurang upaya (OKU) menerima suntikan.

“Selain memberi kemudahan kepada penerima kerana tidak perlu turun daripada kenderaan dan berjalan jauh ke PPV, cara ini juga dapat menjimatkan masa,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampus Kesihatan USM di sini hari ini.

Hadir sama,  Pengarah Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail.

Mohd. Imran yang juga Ketua Penyelaras Program Imunisasi Pusat Pemberian Vaksin Khas (SPPV) HUSM memberitahu, bagi fasa pertama bermula Mac lalu, seramai 123 individu yang merupakan petugas barisan hadapan telah selesai menerima kedua-dua dos.

“Suntikan pandu lalu bagi fasa kedua pula bermula 25 Mei lalu membabitkan pesakit hospital ini dan setakat ini, seramai 10 individu terbabit sudah divaksin,” ujarnya.

Semalam Menteri Penyelaras Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dilaporkan berkata pihaknya akan mengeluarkan garis panduan untuk negeri yang mahu melaksanakan sistem pemberian vaksin pandu lalu.

Jelasnya beberapa negeri sudah meminta kebenaran untuk menjalankan sistem itu susulan keputusan projek rintis pemberian vaksin secara pandu lalu di HUSM yang memberangsangkan.- UTUSAN ONLINE 

Cetak