Together we stop the pandemic #COVID-19
Together we stop the pandemic #COVID-19

PADU sumbang bantuan alat pernafasan untuk pesakit COVID-19 Hospital USM

  • Keratan Akhbar
  • Jumlah paparan: 603

7f75e875 8094 45a7 8e85 d4efa154eaa7

KOTA BHARU: Persatuan Alumni Doktor Universiti Sains Malaysia (PADU) menyumbangkan alat sokongan pernafasan 'Nasal High Flow System' kepada Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) bagi membantu merawat pesakit COVID-19.

Presiden PADU, Profesor Datuk Dr Jafri Malin Abdullah, berkata inisiatif itu dilakukan berikutan sebilangan besar pesakit didapati memerlukan bantuan alat pernafasan.

Katanya, sumbangan berkenaan bertujuan membantu merawat pesakit COVID-19 dan pesakit yang mengalami jangkitan pernafasan akut yang teruk (SARI).

"Peralatan yang bernilai kira-kira RM24,000 itu adalah hasil sumbangan orang ramai untuk Projek Dana Pembelian Alatan Sokongan dan Bantuan Pernafasan (COVID-19) PADU bermula Mac tahun lalu.

"Projek ini mendapat sambutan memberangsangkan dan berjaya mengumpul dana melebihi RM100,000," katanya.

Dr Jafri Malin berkata, PADU turut menyumbangkan alat sokongan pernafasan yang sama kepada Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Sungai Buloh.

"Selain itu, PADU membeli 11 set 'Helmet Continuous Positive Airway Pressure' (CPAP) dan lima 'Helmet Bilevel Positive Airway Pressure' (BiPAP) dan telah diagihkan kepada enam hospital di Malaysia iaitu Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), Hospital Queen Elizabeth 1, Hospital Umum Sarawak dan juga Hospital USM.

"PADU turut bekerjasama dengan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) mengagihkan sumbangan peralatan perlindungan diri (PPE) kepada hampir 20 hospital di seluruh Malaysia melalui wakil PADU di setiap hospital," katanya.

Beliau berharap lebih ramai tampil menghulurkan sumbangan bagi merealisasikan hasrat perawat barisan hadapan dalam memberi rawatan efisien kepada pesakit yang semakin meningkat sejak akhir-akhir ini.

Sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun Bank Islam Malaysia Berhad Persatuan Alumni Doktor USM (PADU) bernombor 03018010143411 dengan rujukan TABUNG PADU 2021 atau menghubungi talian 012-9888186 (Presiden)/ 019-9186809 (Setiausaha) untuk maklumat lanjut.

Terdahulu, Dr Jafri Malin menyampaikan sumbangan peralatan berkenaan kepada Timbalan Pengarah Insfrastruktur dan Aset, Hospital USM, Profesor Datuk Dr Nik Hisamuddin Nik Ab Rahman di Unit Rawatan Rapi Hospital USM, baru-baru ini.

Nik Hisamuddin bagi pihak Hospital USM merakamkan penghargaan serta ucapan terima kasih kepada PADU.

"Hospital USM juga amat menghargai sumbangan daripada mana-mana pihak yang turut meringankan beban kewangan demi manfaat kepada rakyat," katanya.

Cetak