Steril peralatan hospital elak jangkitan silang

3c162f08 d28c 4d85 ba29 9189d8a19848

Kota Bharu: Semua peralatan untuk kegunaan rawatan pesakit di hospital perlu disteril atau dinyahkuman dengan sempurna bagi mengelak jangkitan silang khususnya kepada doktor dan paramedik.

Pengarah Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Profesor Datuk Dr Ahmad Sukari Halim berkata, HUSM tidak terkecuali menerima pesakit Covid-19, sekali gus menyebabkan peningkatan penggunaan alatan dan set steril iaitu sebanyak 10 hingga 20 peratus setiap bulan.

Beliau berkata, di HUSM dan hospital lain, terdapat pelbagai risiko jangkitan kuman merbahaya termasuk virus Covid-19, HIV, Hepatitis, Tuberkulosis serta virus lain yang boleh membawa maut kerana mudah merebak jika tidak dicegah dari awal.

"Unit Pembekalan Alatan Steril (UPAS) adalah unit menguruskan perkhidmatan penyediaan pembekalan peralatan dan set steril kepada 11 klinik, 40 wad dan enam unit termasuk Dewan Bedah, Dewan Bedah Bersalin, Dewan Bedah Trauma dan Dewan Bedah Pergigian.

"Setiap peralatan steril dibekalkan di HUSM selamat digunapakai kerana semua proses kerja mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan Persatuan Perkhidmatan Pensterilan Malaysia (PPPM).

"Keperluan peralatan steril dibekalkan membolehkan semua staf HUSM melaksanakan prosedur steriliti mengikut standard ditetapkan serta memastikan semua pesakit selamat dari risiko jangkitan silang," katanya.

Dr Sukari berkata, bagi mengekang penularan wabak Covid-19, UPAS berusaha dalam membantu menambah bekalan keperluan peralatan steril di wad dan unit kritikal seperti Unit Rawatan Rapi (ICU), Isolasi Medical (ISOMED), Medical Severe Acute Respiratory Infections (MEDSARI), Trauma ICU, Klinik Saringan Infeksi (SRI) dan sebagainya.

Sementara itu, Ketua Jururawat UPAS HUSM, Mohd Zulkarnaeen Mohd Yusoff berkata, proses kerja di UPAS terbahagi kepada empat zon utama dan setiap zon mempunyai jumlah staf berbeza.

Beliau berkata, zon satu sebagai kawasan dekontaminasi iaitu penerimaan set kotor dan pencucian set, zon dua ialah penyediaan dan pembungkusan set, bilik linen, penyediaan 'Loose Item' dewan bedah dan wad serta penyediaan 'Soft Dressing', zon tiga pula ialah pensterilan set-'Autoclave' dan zon empat adalah bilik steril dan pengagihan.

"Proses pencucian di UPAS dilakukan secara manual dan mekanikal mengikut prosedur ditetapkan.

"Penerimaan set kotor dari dewan bedah, wad dan unit dipantau terutama bagi kes penyakit berjangkit dikenalpasti untuk proses dekontaminasi dengan mematuhi SOP dikeluarkan Unit Kawalan Jangkitan dan Epidemiologi Hospital (UKJEH) bagi memastikan semua staf selamat dalam mengendalikan peralatan kotor," katanya.

Zulkarnaeen berkata, bagi proses pengeringan, alatan berkenaan dikeringkan menggunakan mesin sepenuhnya dengan suhu 80 darjah Selsius.

Beliau berkata, alatan terbabit akan melalui proses pengasingan mengikut kategori dan penyediaan set mengikut senarai semak dan dibungkus serta disteril dengan suhu 134 darjah Selsius dan 121 Selsius bergantung kepada kesesuaian peralatan.

"Set disteril akan disejukkan sebelum disimpan di Bilik Steril dan seterusnya dibekalkan kepada seluruh HUSM mengikut keperluan dan senarai stok harian.

"Jumlah set pembedahan disediakan untuk kegunaan Dewan Bedah pada setiap hari antara 200 hingga 250 set, manakala untuk set prosedur dibekalkan kepada klinik, wad dan unit sebanyak 600 hingga 700 set setiap hari bergantung kepada situasi semasa," katanya.

Disiarkan pada: Mei 27, 2021 @ 3:14pm

Cetak