Together we stop the pandemic #COVID-19
Together we stop the pandemic #COVID-19

Beraya bersama sampel ujian Covid-19

  • Keratan Akhbar
  • Jumlah paparan: 434

96dcb28d c441 489a 8f3d 0791a1619412 

Kota Bharu: Di saat sebilangan besar rakyat Malaysia menzahirkan keluh-kesah tidak dapat pulang ke kampung beraya bersama keluarga, ada insan pasrah memikul tanggungjawab dan tugas melakukan proses ujian pengesahan Covid-19.

Pegawai Sains Makmal Mikrobiologi dan Parasitologi Perubatan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Muhammad Nashrul Farhan Samsudin, 26, berkata, sejak Mac tahun lalu sehingga hari ini, sebanyak 23,680 sampel ujian calitan Covid-19 yang sudah dihantar ke makmal itu.

Beliau berkata, pada Mac hingga Disember tahun lalu, sebanyak 13,463 sampel ujian calitan Covid-19 diterima, manakala pada awal Januari hingga Mei tahun ini, 10,217 sampel diperoleh denga purata sekurang-sekurangnya 80 hingga 100 sampel dihantar ke makmal dalam sehari.

"Pada awal bulan ini, kami terpaksa menggunakan kaedah ujian Rapid Molekular untuk pengesahan sampel Covid-19 susulan kes harian di Kelantan meningkat secara mendadak.

"Jika dibandingkan kaedah ujian Rapid Molekular lebih cepat berbanding Real-Time Reverse Transcription Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) dan lebih tepat berbanding Rapid Test Kit Antigen (RTK-Ag) kerana ia akan mempercepatkan proses pemindahan pesakit ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) atau wad isolasi," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, tempoh ujian bagi sampel RTK-Ag mengambil masa sekurang-kurangnya satu ke tiga jam bermula penghantaran sampel dari wad dan proses ujian itu lebih ringkas berbanding RT-PCR.

Menurutnya, bagi ujian RT-PCR, sampel perlu menjalani dua peringkat proses ujian pengekstrakan terlebih dahulu iaitu sebanyak dua peringkat.

"Pada peringkat pertama, pengekstrakan asid nukleik daripada dalam virus perlu dilakukan terlebih dahulu dengan menggunakan kaedah manual atau mesin 'Automatic Extracter' dan pada peringkat kedua pula baharulah ujian RT-PCR dilakukan melalui kaedah dikenali sebagai 'Amplification And Detection' asid nukleik virus dengan menggunakan mesin ABI 7500 atau Bio-Rad.

"Selepas proses pengekstrakan, barulah ujian RT-PCR dijalankan dan masa diambil untuk ujian RT-PCR bergantung kepada jumlah sampel yang mana kebiasaannya mencapai sehingga enam jam untuk setiap keseluruhan ujian disiapkan," katanya.

Sementara itu, Juruteknologi Makmal Perubatan (JTMP), Siti Nur Aisyah Mohamad Sham, 23, berkata dia akur apabila dijadualkan bertugas pada hari raya pertama untuk melakukan ujian makmal sampel Covid-19 di Makmal Mikrobiologi dan Parasitologi Perubatan, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) HUSM.

"Pada tahun ini, saya dan rakan setugas lain terpaksa menyambut lebaran di dalam makmal dengan sampel ujian calitan Covid-19 yang perlu kami jalankan ujian pengesahan sama ada positif atau negatif.

"Bagi melancarkan kerja pengesahan sampel ujian calitan Covid-19 yang dihantar ke makmal, kami dibahagikan kepada tiga kumpulan iaitu kumpulan pertama melakukan ujian RTK-Ag Covid-19.

"Manakala kumpulan kedua melakukan ujian RT-PCR Covid-19 dan kumpulan ketiga melakukan ujian rutin makmal untuk pesakit termasuk pesakit Covid-19 Hospital USM selain turut dibantu dua petugas Pembantu Makmal di bahagian kaunter penerimaan spesimen," katanya.

Sehubungan itu, mereka menggesa semua pihak memainkan peranan dalam memutuskan rantaian Covid-19 kerana ia bukan virus biasa dan jumlah kes meningkat saban hari bukan rekaan semata-mata.

Untuk rekod, Makmal Mikrobiologi dan Parasitologi Perubatan, HUSM mempunyai fasiliti setanding Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dipilih dalam kalangan 10 makmal kendalian universiti awam di Malaysia untuk menjalankan ujian pengesahan Covid-19.

Cetak