Together we stop the pandemic #COVID-19
Together we stop the pandemic #COVID-19

Lebih 5,000 petugas barisan hadapan HUSM terima suntikan awal vaksin

  • Keratan Akhbar
  • Jumlah paparan: 700

IMG 20210221 193502

KOTA BHARU: Lebih 5,000 petugas barisan hadapan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dijangka menerima suntikan awal vaksin COVID-19.

Timbalan Pengarah Operasi HUSM, Prof Dr Mohd Imran Yusof, berkata petugas barisan hadapan itu ialah 4,673 kakitangan dari Kampus Kesihatan, 287 Kampus Induk dan 398 Institut Perubatan dan Pergigian Termaju.

Beliau berkata, jika dilihat dari sejarah, penyakit seperti difteria, polio dan tetanus berjaya dikawal oleh vaksin.

Katanya, vaksin satu-satunya kaedah yang terbukti berkesan mengawal penyakit berjangkit.

IMG 20210221 193640

"Vaksin ialah harapan kita untuk menghentikan penularan COVID-19 dan seterusnya meratakan lengkungan wabak ini.

"Ini dibuktikan dalam kajian-kajian klinikal fasa tiga dengan vaksin memainkan peranan bagi mengurangkan kadar kebolehjangkitan COVID-19 pada kumpulan penerima vaksin, berbanding dengan kumpulan penerima yang diberi placebo," katanya.

Dr Mohd Imran berkata, beberapa isu dihadapi termasuklah dari segi logistik dan ini memberi cabaran kepada pengendali vaksin dari aspek penghantaran dan pengagihan, selain tahap penerimaan masyarakat terhadap penggunaan vaksin untuk pengawalan wabak COVID-19.

"Program vaksinasi ini secara besar-besaran membabitkan kakitangan kesihatan, fasiliti kesihatan sedia ada dan golongan masyarakat yang akan menerima vaksin nanti.

"Ini memerlukan persediaan, perancangan dan penyelarasan yang sangat rapi di antara agensi kerajaan, khususnya Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi bersama-sama pasukan di kemudahan penerima dan pemberi vaksin seluruh negara," katanya.

Beliau berkata, di HUSM vaksinasi terbahagi kepada dua fasa, iaitu fasa pertama membabitkan petugas barisan hadapan dan fasa kedua untuk kumpulan berisiko tinggiiaitu pesakit warga emas dan yang mempunyai penyakit kronik.

"Bagi mengenal pasti penerima vaksin, terdapat tiga kaedah yang digunakan oleh USM, iaitu 'line listing' untuk petugas barisan hadapan; aplikasi MySejahtera untuk pesakit berisiko tinggi; dan secara manual (pendaftaran) untuk pesakit berisiko tinggi yang tidak memiliki telefon pintar dan warganegara lain yang layak," katanya.

"Kerjasama yang mantap di antara pemberi dan penerima vaksin amat penting sekaligus memastikan keberkesanan vaksinasi, termasuk mengelakkan pembaziran vaksin dalam mengawal penularan wabak ini," katanya.

Cetak