VAKSIN: Yakin penggunaan vaksin COVID-19 dari perspektif Islam

IMG 20210214 201303

KOTA BHARU: Vaksinasi memenuhi objektif syariah kerana orang Islam yang diberi vaksin akan berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk menegak dan mempraktikkan semua 'faraid' (ibadah wajib).

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Mujahid Bakar, berkata malah vaksin COVID-19 amat penting dalam mengurangkan kadar kematian.

Katanya, ketika ini, ramai dalam kalangan masyarakat mempersoal dan memperbesarkan isu vaksinasi ini kerana kandungannya yang diragui mengandungi bahan tidak halal seperti janin dan daging khinzir.

"Bagaimanapun, fatwa antarabangsa mengambil pendekatan 'istihalah' iaitu bahan terlarang boleh diguna pakai sebagai ubat-ubatan," katanya.

Mujahid berkata, sesuatu fatwa yang dikeluarkan bukan hanya melalui pandangan ahli agama semata-mata tetapi turut mendapat pandangan pakar bidang yang berkaitan.

Katanya, kerajaan mempunyai kuasa untuk menetapkan hukum mubah, harus kepada wajib berdasarkan kemasylahatan sebagaimana larangan Saidina Umar bin Al-Khattab ke atas penduduk Madinah memakan daging selama dua hari berturut-turut pada zaman baginda memerintah.

"Islam secara umumnya tidak mengharamkan vaksinasi kerana Islam mengajar untuk menghalang apa-apa yang boleh memudaratkan orang lain.

"Mengikut Maqasid Al-Syariah, adalah tanggungjawab kita memelihara agama dan akhlak, memelihara hidup dan kesihatan, memelihara keturunan, akal serta kekayaan," katanya.

Ketetapan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) pada 23 Disember lalu bahawa hukum penggunaan vaksin COVID-19 adalah harus serta mewajibkan pengambilannya kepada golongan ditetapkan seperti warga emas serta petugas barisan hadapan, perlu diterima kerana ia selari kaedah pencegahan dianjurkan Islam.

Justeru, dakwaan yang mengatakan vaksin COVID-19 diperbuat daripada bahan tidak halal dan meragukan tidak seharusnya diperbesarkan kerana Islam sudah menyediakan panduan jelas berdasarkan al-Quran dan sunah.

"Dalam masa sama, beberapa negara luar turut mengeluarkan fatwa masing-masing berkenaan pengambilan vaksin COVID-19," katanya.

Mujahid berkata, dengan pengambilan vaksin, ia dapat mengurangkan morbiditi dan kematian di peringkat global.

Berikutan itu, katanya, ibu bapa yang memilih untuk memberi vaksin kepada anak, memenuhi keperluan keturunan mereka, hidup dengan ketenangan hati mengetahui masyarakat telah dilindungi serta intervensi yang menjimatkan kerana mencegah penyakit adalah lebih baik daripada merawatnya.

"Semua pihak perlu memainkan peranan, terutama dalam menggiatkan pendidikan awam mengenai vaksin kepada masyarakat bagi meningkatkan kepercayaan terhadap vaksin di samping memerangi teori konspirasi dan penyebaran yang salah mengenai vaksin," katanya.

Cetak