Together we stop the pandemic #COVID-19
Together we stop the pandemic #COVID-19

'Yakini vaksinasi memenuhi objektif syariah'

  • Keratan Akhbar
  • Jumlah paparan: 675

IMG 20210214 200351

Kota Bharu: Vaksin Covid-19 amat penting dalam mengurangkan kadar kematian, apatah lagi Malaysia bakal menerima bekalan vaksin itu bermula hujung bulan ini.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Mujahid Bakar berkata, walaupun Covid-19 tidak menunjukkan penurunan dalam bilangan kes harian, vaksin itu tetap mendapat pelbagai reaksi masyarakat khususnya golongan 'anti vaksin'.

"Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-10 mengeluarkan fatwa bahawa pengambilan vaksin khususnya vaksin Covid-19 adalah harus dan wajib diambil golongan ditetapkan kerajaan Malaysia.

"Dalam masa sama, beberapa negara luar turut mengeluarkan fatwa masing-masing berkenaan pengambilan vaksin Covid-19," katanya.

Beliau berkata, fatwa dikeluarkan bukan hanya melalui pandangan ahli agama semata-mata, tetapi turut mendapat pandangan pakar bidang berkaitan.

Menurutnya, kerajaan mempunyai kuasa untuk menetapkan hukum mubah, harus kepada wajib berdasarkan kemaslahatan sebagaimana larangan Saidina Umar Al-Khattab ke atas penduduk Madinah memakan daging selama dua hari berturut-turut pada zaman baginda memerintah.

"Islam secara umumnya tidak mengharamkan vaksinasi kerana Islam mengajar untuk menghalang apa-apa yang boleh memudaratkan orang lain.

"Mengikut Al-Maqasid Al-Syariah adalah tanggungjawab kita memelihara agama dan akhlak, memelihara hidup dan kesihatan, memelihara keturunan, akal serta kekayaan," katanya.

Beliau berkata, vaksinasi memenuhi objektif syariah kerana orang Islam diberi vaksin akan berada dalam posisi lebih baik untuk menegak dan mempraktikkan semua 'faraid' (ibadah wajib).

Katanya, ketika ini, ramai dalam kalangan masyarakat mempersoal dan memperbesarkan isu vaksinasi kerana kandungannya diragui mengandungi bahan tidak halal seperti janin dan daging khinzir.

"Bagaimanapun, fatwa antarabangsa mengambil pendekatan 'istihalah' iaitu bahan terlarang boleh diguna pakai sebagai ubat-ubatan.

"Sebagai umat Islam, kita harus yakin dan percaya Allah adalah penyembuh segala penyakit, tetapi Allah meminta kita berusaha untuk mengubati penyakit.

"Menerusi pengambilan vaksin, ia dapat mengurangkan morbiditi dan kematian di peringkat global, jadi ibu bapa yang memilih untuk memberi vaksin kepada anak, memenuhi keperluan keturunan mereka.

"Ini membolehkan mereka hidup dengan tenang kerana mengetahui masyarakat dilindungi serta intervensi yang menjimatkan kerana mencegah penyakit lebih baik daripada merawatnya," katanya.

Cetak