Together we stop the pandemic #COVID-19
Together we stop the pandemic #COVID-19

HUSM akan sanitasi premis dengan lebih kerap

  • Keratan Akhbar
  • Jumlah paparan: 610

Diterbitkan 

jjj

Susulan penularan wabak Covid-19 di kalangan kakitangannya, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, mengambil langkah proaktif menjalankan sanitasi sekitar premis secara kerap dan menggiatkan kempen amalan norma baharu kepada warga kerja serta pelanggan.

Pengarahnya, Prof Dr Ahmad Sukari Halim berkata, keselamatan dan kesejahteraan seluruh warga kerja serta pelanggan-pelanggan HUSM, termasuk pesakit serta waris adalah keutamaan.

"Sehubungan itu, pengurusan telah melaksanakan tindakan-tindakan segera bagi mengawal jangkitan dan dalam masa yang sama berusaha untuk memastikan perkhidmatan rawatan tidak terjejas.

"Untuk makluman, tiada sebarang perkhidmatan di HUSM yang ditutup.

“Bilangan pesakit termasuk perkhidmatan dewan bedah serta bilik bersalin dikurangkan sebagai langkah berjaga-jaga dan bagi memberi masa untuk warga kerja, pesakit dan semua yang berisiko disaring," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan berlaku jangkitan Covid-19 di pusat perubahan separa kerajaan itu sekali gus menjejaskan operasi di beberapa unit termasuk terdapat unit yang ditutup.

Bagaimanapun Ahmad Sukari berkata, pengurangan bilangan pesakit pada bulan November juga adalah rutin setiap tahun kerana peperiksaan Sarjana Perubatan dilaksanakan dalam tempoh berkenaan berdasarkan jadual akademik.

Katanya, pengurangan pesakit juga diputuskan setelah mengambil kira situasi semasa jangkitan Covid-19 termasuk kluster-kluster sekitar negeri Kelantan yang menunjukkan peningkatan.

"Hasil tindakan pengawalan yang efektif sejak tiga hari yang lalu, sehingga jam 6 petang 30 Nov (semalam) tiada lagi kes-kes positif Covid-19 yang baharu dikesan di HUSM.

"HUSM kini beroperasi seperti biasa mulai semalam, 29 Nov dengan semua perkhidmatan rawatan berjalan seperti sedia ada," jelasnya.

Tambahnya, pihak pengurusan HUSM komited dan sentiasa mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) berdasarkan arahan serta garis panduan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) termasuklah mengarahkan warga kerja menjalani saringan, kuarantin serta isolasi apabila ada keperluan.

"Dalam menguruskan situasi berkaitan dengan jangkitan Covid-19, pengurusan HUSM sentiasa berhubung serta bekerjasama rapat dengan pihak Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan dan KKM," kata Ahmad Sukari.

Cetak