Together we stop the pandemic #COVID-19
Together we stop the pandemic #COVID-19

Ramai tidak simpan pelitup muka dengan betul

  • Keratan Akhbar
  • Jumlah paparan: 983
 
Hazira Ahmad Zaidi
am@hmetro.com.my
 

Kota Bharu: Pelitup muka menjadi kemestian bagi semua orang yang berada di tempat awam pada masa kini memandangkan pandemik Covid-19 belum berakhir sepenuhnya.

Pada asasnya, pelitup muka digunakan dalam situasi tertentu seperti ketika udara tercemar, berjerebu atau penularan penyakit berjangkit.

Bagaimanapun, dalam situasi sekarang, pelitup muka digunakan bagi menapis titisan halus yang keluar ketika bercakap, bersin atau batuk sebagai satu usaha mencegah dan membendung penularan virus kepada orang lain.

Pensyarah Program Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK) Universiti Sains Malaysia (USM) Dr Nurulilyana Samsuddin berkata, pelitup muka terdiri daripada lapisan hidrofobik, hidrofilik dan penapis.

"Lapisan hidrofobik adalah kalis air yang kebiasaannya berwarna biru diperbuat daripada bahan sintetik bukan tenunan seperti lapisan kapas.

"Lapisan hidrofilik pula diperbuat daripada kapas, campuran kapas atau polipropilena yang membenarkan serapan air berlaku.

"Jika pelitup muka dipakai secara berterusan, kita digalakkan untuk menukarnya setiap empat hingga enam jam atau selepas pelitup muka menjadi lembap bagi mengelakkan kuman tersebar kepada pemakai," katanya.

Beliau berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) juga menyarankan agar pelitup muka disimpan dengan cara yang betul ketika mahu makan iaitu dengan meletakkannya di dalam beg plastik yang diikat dan sebelum dipakai semula, tangan perlulah dibersihkan dengan sabun terlebih dahulu.

"Kebanyakan rakyat Malaysia tidak mematuhi langkah penyimpanan pelitup muka yang betul dan masih ada yang gemar meletakkan pelitup muka di dagu, disangkut pada sebelah telinga selain meletakkannya di atas meja. Tabiat sebegitu boleh menyebabkan kuman tersebar serta memudaratkan kesihatan kepada si pemakai," katanya.

Nurulilyana berkata, berdasarkan laporan terkini Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Malaysia berada pada kedudukan ke lapan dunia dalam carta negara yang paling banyak pencemaran plastik.

"Anggaran kasar mendapati dasar pemakaian pelitup muka berpotensi menambah sisa plastik yang tidak boleh dikitar semula sebanyak 62,000 tan, sisa tercemar 31,000 tan dan sisa pembungkusan plastik negara sebanyak 27,000 tan dalam tempoh setahun jika tabiat memakai pelitup muka pakai buang diteruskan.

"Bagi melakukan pemusnahan pelitup muka secara sistematik, kaedah pembakaran menggunakan insinerator juga boleh digunakan seperti cara pengurusan sisa klinikal yang menggunakan teknologi mengubah sisa ke tenaga 'waste to energy'.

"Keadaan ini dilihat dapat diatasi sekiranya semua pihak memberikan kerjasama dalam memastikan cara penggunaan dan pengurusan pembuangan pelitup muka diuruskan dengan teratur serta mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh MKN sekali gus memutuskan rantaian pandemik Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Oktober 2020 @ 2:52 PM
Cetak