Together we stop the pandemic #COVID-19
Together we stop the pandemic #COVID-19

Vaksin Covid-19 buat 5,358 petugas barisan hadapan USM

  • Keratan Akhbar
  • Jumlah paparan: 664

IMG 20210221 194428

Kota Bharu: Seramai 5,358 petugas barisan hadapan Universiti Sains Malaysia (USM) dijangka terbabit dalam Program Imunisasi Kebangsaan untuk mengawal penularan pandemik Covid-19 di negara ini dengan menerima suntikan awal vaksin.

Timbalan Pengarah Operasi Hospital USM Prof Dr Mohd Imran Yusof berkata, petugas barisan hadapan USM yang terbabit dalam program berkenaan membabitkan 4,673 kakitangan dari Kampus Kesihatan, 287 Kampus Induk dan 398 Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT).

 

Beliau berkata, jika dilihat dari sejarah, penyakit-penyakit seperti difteria, polio dan tetanus berjaya dikawal oleh vaksin, maka vaksin adalah satu-satunya kaedah yang terbukti berkesan mengawal penyakit berjangkit.

"Justeru itu, vaksin adalah harapan kita untuk menghentikan penularan Covid-19 dan seterusnya meratakan lengkungan wabak ini.

"Ia dibuktikan dalam kajian klinikal fasa tiga di mana vaksin memainkan peranan bagi mengurangkan kadar kebolehjangkitan Covid-19 pada kumpulan penerima vaksin berbanding dengan kumpulan penerima yang diberi placebo sahaja," katanya.

Bagaimanapun, Mohd Imran berkata, kesan sampingan dan keberkesanannya masih hangat diperbahaskan oleh semua pihak pada masa sekarang.

"Namun terdapat beberapa cabaran yang perlu dihadapi termasuklah dari segi logistik dan ini memberi cabaran kepada pengendali vaksin dari aspek penghantaran dan pengagihan selain isu setakat mana tahap penerimaan masyarakat terhadap penggunaan vaksin untuk pengawalan pandemik Covid-19.

"Program vaksinasi ini adalah secara besar-besaran membabitkan angka yang begitu besar termasuk kakitangan kesihatan, fasiliti kesihatan sedia ada dan golongan masyarakat yang akan menerima vaksin nanti.

"Ia memerlukan persediaan, perancangan dan penyelarasan yang sangat rapi antara agensi-agensi kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi bersama dengan pasukan di fasiliti penerima dan pemberi vaksin di seluruh negara," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, di USM vaksinasi terbahagi kepada dua fasa, iaitu fasa pertama membabitkan petugas barisan hadapan dan fasa kedua melibatkan kumpulan berisiko tinggi iaitu pesakit warga emas dan yang mempunyai penyakit kronik.

"Bagi mengenal pasti penerima vaksin, terdapat tiga kaedah yang digunakan oleh USM iaitu 'line listing' untuk petugas barisan hadapan, aplikasi MySejahtera untuk pesakit berisiko tinggi dan secara manual (pendaftaran) untuk pesakit berisiko tinggi yang tidak memiliki telefon pintar serta warganegara lain yang layak," katanya.

Katanya, secara kesimpulannya, program imunisasi itu sangat mencabar dan semua pihak perlu bersedia serta memerlukan koordinasi yang baik di antara semua agensi bagi memastikan ia berjaya.

"Kerjasama yang mantap antara pemberi dan penerima vaksin adalah amat penting sekali gus memastikan keberkesanan vaksinasi termasuk mengelakkan pembaziran vaksin dalam mengawal penularan wabak ini," katanya.

Cetak