Together we stop the pandemic #COVID-19
Together we stop the pandemic #COVID-19

Pengurusan COVID-19 Untuk Pesakit Kanser Kanak-Kanak

  • Bacaan Umum
  • Jumlah paparan: 2991
Pengarang:
Norsarwany Mohamad
Jabatan Pediatrik, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan, 16150 Kubang Kerian, Kelantan, Malaysia
Pengarang Koresponden:
Profesor Madya Dr Norsarwany Mohamad
Pakar Pediatrik, Jabatan Pediatrik,
Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan
16150 Kubang Kerian, Kelantan, Malaysia.

Pesakit kanser kanak-kanak sangat terkesan apabila dijangkiti bakteria atau virus. Doktor sentiasa memandang serius kepada setiap pesakit yang bergejala ataupun demam. Rawatan awal mesti segera dilaksanakan, walaupun keputusan jangkitan belum diperoleh.

Oleh sebab jangkitan COVID-19 ini adalah jenis jangkitan coronavirus yang baru, banyak persoalan yang masih tiada jawapan atau fakta yang masih berubah-ubah. Apatah lagi apabila melibatkan pesakit kanser kanak-kanak kerana  maklumat berkenaannya sangat sedikit. Berdasarkan pemerhatian terhadap kes yang berlaku setakat ini,  secara umumnya jangkitan COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak kebanyakannya tidak teruk. Hanya sedikit antara mereka bergejala. Walau bagaimanapun kanak-kanak yang berumur kurang daripada 5 tahun mungkin mengalami gejala yang lebih teruk berbanding mereka yang lebih berumur.

Memandangkan pesakit kanser mempunyai daya tahan badan yang lemah, pesakit yang terkena jangkitan COVID-19 perlu ditangani dengan serius .Kanak-kanak selalunya memperoleh jangkitan daripada hubungan rapat dengan orang dewasa dalam kalangan keluarga mereka. Selalunya mereka akan dimasukkan ke dalam wad untuk proses pemantauan sehinggalah ulangan ujian calitan COVID-19 yang negatif.

Setakat ini di Malaysia dan di luar negara, tidak banyak kes COVID-19 yang dilaporkan dalam kalangan pesakit kanser kanak-kanak. Mungkin kerana mereka kurang terdedah pada kuman ini kerana tabiat yang telah diamalkan oleh mereka. Golongan ini yang sentiasa mengasingkan diri daripada terdedah kepada orang lain, menjaga pemakanan yang sihat dan seimbang, menjaga kebersihan, tidak hadir ke sekolah semasa perawatan intensif menyebabkan mereka dapat mengelak daripada terkena jangkitan COVID-19. Dengan kata lain mereka ini telah lama mengamalkan konsep kebersihan diri dan penjarakan sosial.

Walau bagaimanapun sekiranya pesakit kanser kanak-kanak datang ke hospital kerana masalah tertentu, mereka akan disaring secara teliti berkaitan risiko COVID-19 sebelum memasuki wad. Mereka akan diselidik mengenai risiko hubungan dengan pesakit COVID-19, perjalanan dari tempat berisiko, perjalanan ke luar negara dan sejarah rawatan sebagai pesakit COVID-19. Sekiranya mereka tidak mempunyai risiko, dan hanya berada di rumah sebelum ini, dan mereka tidak mengalami demam, perawatan kemoterapi boleh diteruskan seperti biasa. Sekiranya mereka bergejala seperti demam, tetapi tiada risiko jangkitan COVID-19 mereka akan menerima rawatan untuk demam seperti biasa.

Sekiranya ada risiko seperti, ada hubungan dengan pesakit COVID-19, gejala jangkitan batuk, selesema atau masalah saluran pernafasan,  mereka akan dimasukkan ke wad pengasingan dan ujian calitan untuk mengesan COVID-19 akan dilakukan. Sekiranya negatif, pesakit akan dipindah masuk ke wad kanser kanak-kanak. Sekiranya penjaga juga berisiko, pesakit dan penjaga juga perlu menjalani  ujian calitan COVID-19 secara bersama.

Sekiranya didapati ujian COVID-19 positif, mereka akan dimasukkan ke wad di hospital yang sudah dikenal pasti untuk menyediakan rawatan kepada pesakit COVID-19. Di dalam wad mereka akan dipantau dan dirawat mengikut gejala yang dialami. Mereka yang tiada simptom tidak akan diberikan apa-apa ubat, cukup sekadar pemerhatian gejala, pemeriksaan ujian darah dan mengikut keadaan, doktor mungkin akan membuat pengimejan dada (Xray dada). Ujian calitan COVID-19 ini akan diulang kembali sehinggalah keputusan calitan adalah negatif. Sebaik sahaja ujian calitan negatif penjarakan sosial akan dilaksanakan sehingga seminggu supaya pesakit benar-benar bebas dari simptom memandangkan kemungkinan virus ini lambat dinyahkan dari tubuh pesakit kanser yang dianggap lemah . Doktor yang merawat akan mengatur jadual kemoterapi agar ada keseimbangan supaya rawatan COVID-19 diberikan sewajarnya tanpa melambatkan rawatan kemoterapi sekiranya pesakit bebas dari jangkitan COVID-19.

Dalam era pandemik ini juga, masalah kesihatan perlu dititikberatkan terutama kesihatan mental. Sekiranya pesakit dan keluarga merasa tertekan kerana perasaan ketakutan melampau terhadap jangkitan COVID-19 ini mereka hendaklah segera memberitahu doktor yang merawat agar langkah-langkah yang sewajarnya dapat diambil.

Oleh sebab tidak banyak kes yang berlaku dalam kalangan pesakit kanser kanak-kanak di Malaysia, hal ini tidak bermakna kita boleh memandang remeh tentang hal ini. Pesakit dan keluarga diwajibkan meneruskan penjarakan sosial, mengamalkan tabiat mencuci tangan dengan kerap, menjaga pemakanan dan sentiasa menghubungi hospital sekiranya ada sebarang kemusykilan.

Rujukan Jurnal:

  1. Li-Na Ji et al. Clinical features of pediatric patients with COVID-19: a report of two family cluster cases. World J. Pediatr. 2020;16:1-4.
  2. Rishi S Kotecha. Challenges posed by COVID-19 to children with cancer. Lancet Oncol. 2020;Vol 21(5).
  3. Yulei He, Zhi Lin, Daolin Tang, Yang Yang, Tianyou Wang and Minghua Yang. Strategic plan for management of COVID-19 in Paediatric Haematology and Oncology Departments. Lancet Haematol. 2020;Vol 7(5).
Cetak