Together we stop the pandemic #COVID-19
Together we stop the pandemic #COVID-19

Rawatan Pesakit COVID-19 di Unit Rawatan Rapi

  • Bacaan Umum
  • Jumlah paparan: 17436
Pengarang:
Mohd Zulfakar Mazlan, Wan Fadzlina Wan Muhd Shukeri dan Mahamarowi Omar
Jabatan Anestesiologi dan Unit Rawatan Rapi, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan, 16150 Kubang Kerian, Kelantan
Pengarang Koresponden:
Dr Mohd Zulfakar Mazlan
Pakar Anestesiologi, Jabatan Anestesiologi dan Unit Rawatan Rapi,
Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan,
16150 Kubang Kerian, Kelantan.

Secara amnya, tiada rawatan khusus untuk pesakit yang menghidap penyakit COVID-19. Pesakit yang mempunyai gejala seperti demam, sakit tekak, batuk dan sesak nafas akan dirawat secara simptomatik iaitu dengan hanya memberi ubatan untuk merawat gejala di atas. Seseorang yang mempunyai sejarah kontak dengan pesakit yang positif COVID-19 adalah berisiko untuk dijangkiti. Walau bagaimanapun, mereka yang bergejala ini perlu diuji terlebih dahulu. Setelah ujian pengesahan dilakukan dan terbukti positif, pesakit akan dikategorikan kepada lima kumpulan iaitu kumpulan 1 hingga 5.

Setiap kumpulan mempunyai cara rawatan yang tersendiri. Kumpulan pertama ialah kumpulan pesakit yang tidak mempunyai gejala atau asimptomatik. Manakala kumpulan 2 ialah kumpulan pesakit yang mempunyai gejala seperti demam, batuk, sakit kerongkong atau kesukaran bernafas. Kumpulan 3 ialah kumpulan yang mempunyai gejala dan menghidap radang paru paru. Kumpulan seterusnya iaitu kumpulan 4 dan 5 adalah kumpulan berisiko tinggi mengalami masalah yang serius dan lebih kritikal. Pesakit kumpulan ini  memerlukan oksigen tambahan dan berisiko mengalami kegagalan beberapa fungsi organ lain seperti paru-paru, jantung dan ginjal. Penggunaan oksigen yang tinggi hanya boleh dibekalkan di Unit Rawatan Rapi yang mempunyai fasiliti perawatan secara intensif yang mengikut piawaian yang telah ditetapkan. Walaupun begitu, kriteria-kriteria lain untuk kemasukan ke Unit Rawatan Rapi adalah tertakluk kepada syarat-syarat am kemasukan seperti penyakit yang lain juga.

Pesakit COVID-19 yang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi  perlu diasingkan di dalam bilik khas yang mempunyai tekanan yang sentiasa rendah berbanding di luar bilik pesakit. Hal ini penting agar udara di dalam bilik tersebut kekal di situ dan tidak akan memasuki ruang lain yang seterusnya boleh menjangkiti orang lain.  Pesakit juga tidak dibenarkan menerima pelawat lain selain waris terdekat. Hanya seorang waris terdekat dibenarkan melawat mengikut garis panduan yang ditetapkan di Unit Rawatan Rapi. Semua ini penting bagi memastikan pesakit lain dan petugas kesihatan yang berada di luar bilik tidak dijangkiti. Peraturan yang ditetapkan ini juga untuk mengelakkan waris pesakit berisiko tinggi dari dijangkiti. Jururawat dan doktor yang merawat perlu memakai pakaian perlindungan diri yang lengkap sebelum memasuki bilik ini. Pakaian perlindungan diri termasuklah apron kalis air, topeng muka, perisai muka dan pelindung kasut.

Jenis rawatan yang diberikan kepada pesakit COVID-19 dibahagikan kepada 2 bahagian. Yang pertama adalah rawatan am dan seterusnya rawatan khusus. Contoh rawatan am yang diberikan ialah rawatan oksigen mengikut indikasi yang diperlukan oleh seseorang pesakit. Jika pesakit tidak boleh mengambil makanan sendiri, infusi bendalir yang mengandungi mineral dan gula yang diperlukan untuk metabolisma badan mengikut kalori yang optimum akan diberikan pada setiap hari kepada pesakit-pesaki di Unit Rawatan Rapi. Ujian kandungan gula dalam darah akan diambil secara berjadual mengikut keperluan seseorang pesakit.

Sehingga pada tarikh ini tiada ubatan yang khusus untuk merawat penyakit COVID-19. Walau bagaimanapun, setiap Unit Rawatan Rapi mempunyai cara yang tersendiri mengikut garis panduan sesebuah hospital. Jika berindikasi, pesakit akan diberi ubat untuk mengurangkan kadar radang dalam sistem pertahanan seperti ubat malaria yang dinamakan chloroquine, ubat penyakit sendi yang kronik  iaitu hydroxychloroquine dan ubat antiviral seperti lopinavir-ritonavir, ribavirin atau interferon. Walau bagaimanapun, preskripsi ubat-ubatan ini hanya boleh diberikan oleh doktor pakar penyakit berjangkit sahaja. Kemudahan ini hanya diwartakan di hospital-hospital terpilih yang telah dipertanggungjawab untuk merawat pesakit COVID-19. Doktor pakar ini akan berkerjasama dengan doktor pakar di Unit Rawatan Rapi untuk bersama-sama merawat pesakit COVID-19. Kepakaran yang ada pada doktor pakar di Unit Rawatan Rapi ialah dari segi teknik pemberian oksigen yang boleh dibahagikan pada dua iaitu secara invasif dan tidak invasif. Invasif ialah teknik pemberian oksigen melalui intubasi, manakala tidak invasif pula teknik tanpa memerlukan intubasi.

Secara amnya teknik invasif adalah teknik yang lebih baik jika seseorang pesakit itu memerlukan peningkatan kadar oksigen semasa pernafasan. Teknik tidak invasif seperti menggunakan sebarang bentuk topeng muka ketika membekalkan oksigen berisiko untuk menyebabkan penyebaran titisan cecair halus pesakit kepada persekitaran. Pesakit-pesakit ini akan mendapat pemerhatian yang lebih dengan jagaan seorang jururawat dan mempunyai monitor yang khusus pada setiap pesakit. Monitor-monitor ini dapat memaparkan bacaan tanda vital pesakit secara berterusan dan automatik. Selain itu, sampel darah pesakit seperti bilangan komponen darah penuh, (Full Blood Count), ujian fungsi hati  (Liver Function Test), ujian fungsi ginjal (Renal Profile), ujian tahap pembekuan darah seperti (D-Dimer, fibrinogen, ferritin dan Procalcitonin) serta ujian kultur darah  adalah ujian-ujian yang perlu dilakukan jika berindikasi. Ujian pengimejan dada juga adalah ujian rutin jika pesakit memerlukan peningkatan kadar oksigen dalam badan.

Setelah dianalisa kesemua ujian ini, pesakit-pesakit akan dirawat mengikut garis panduan secara intensif.  Rawatan intensif sangat penting terutama kepada pesakit yang telah menular ke peringkat yang lebih bahaya iaitu pengaktifan bahan rangsangan sitokin (cytokine storm). Tanda-tanda awal seperti demam, denyutan jantung yang laju, penurunan bilangan sel darah putih dan peningkatan protein radang seperti c-reactive protein perlu dimonitor untuk memastikan pesakit mendapat rawatan awal. Kesan-kesan ribut sitokin ini boleh menular ke organ-organ penting dalam badan seperti paru-paru, jantung, buah pinggang dan otak. Pesakit-pesakit yang tidak dapat bernafas dengan oksigen yang rendah akan diintubasi untuk memastikan kadar oksigen yang tinggi dapat diberikan pada pesakit ini. Manakala jika ia menyebabkan kegagalan buah pinggang dan berindikasi, rawatan dialisis akan diberikan selama tempoh kegagalan ginjal berlaku.

Pesakit akan dipindahkan ke wad isolasi umum jika semakin stabil dan kegagalan organ pulih. Di wad isolasi umum, pesakit ditempatkan di dalam bilik khas. Pesakit akan dirawat oleh pakar perubatan yang dibantu oleh pegawai perubatan dan jururawat wad sehingga sembuh sepenuhnya sebelum dibenarkan pulang. Pesakit perlu melalui ujian berkala COVID-19 mengikut garis panduan Kementerian Kesihatan dan perlu disahkan negatif sebelum dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Senarai rujukan

  1. Alhazzani W, Møller MH, Arabi YM, Loeb M, Gong MN, Fan E et al. Surviving Sepsis Campaign: Guidelines On The Management Of Critically Ill Adults With Coronavirus Disease 2019 (COVID-19). Intensive Care Medicine. 2020 Mar 28:1-34. 
  2. Guidelines COVID-19 Management in Malaysia No.05/2020 (Edisi Kelima)
  3. Malaysia ICU Protocol Managements 2019
Cetak