Together we stop the pandemic #COVID-19
Together we stop the pandemic #COVID-19

Kesejahteraan Rumah Tangga Semasa Perintah Kawalan Pergerakan

  • Bacaan Umum
  • Jumlah paparan: 18679
Pengarang:
Tengku Alina Tengku Ismail1 dan Zaharah Sulaiman2
1Jabatan Perubatan Masyarakat dan 2Unit Perkembangan Kesihatan Wanita,
Pusat Pengajian Sains Perubatan , Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan,
16150 Kubang Kerian, Kelantan.
Pengarang Koresponden:
Dr Tengku Alina Tengku Ismail
Pakar Perubatan Kesihatan Awam,
Jabatan Perubatan Masyarakat, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia, 16150, Kubang Kerian, Kelantan.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

Wabak COVID-19 yang melanda seluruh dunia semenjak akhir tahun 2019 telah menyaksikan sejarah terbesar pada abad ini. Bermula pada 16 Mac 2020, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama 14 hari bermula 18 hingga 31 Mac 2020, di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967. Tempoh ini dilanjutkan pula dengan fasa kedua PKP sehingga 14 April 2020 susulan kes positif COVID-19 masih berlaku. Fasa ketiga PKP pula bermula dari 15 hingga 28 April 2020. Sehingga artikel ini ditulis, Malaysia berada pada fasa keempat PKP iaitu fasa pemulihan yang telah bermula dari 29 April sehingga 12 Mei 2020.

Situasi rumah tangga semasa PKP

Semasa PKP, majoriti ahli keluarga akan berada di rumah. Selain mereka yang terlibat sebagai barisan hadapan dalam menangani wabak ini serta mereka yang bekerja dalam bidang kritikal, ramai ahli keluarga yang lain akan berada di rumah sepanjang tempoh ini. Bapa, ibu serta anak-anak akan menghabiskan masa setiap hari dengan berada bersama di rumah. Apatah lagi jika keluarga tersebut merupakan satu keluarga besar, maka datuk, nenek serta ahli keluarga yang lain turut berada bersama.

Sepanjang tempoh ini, pelbagai perkara dapat dilakukan bersama. Media sosial banyak berkongsi cerita pengalaman yang dilalui oleh sesetengah keluarga. Dalam tempoh ini, ramai yang mengambil peluang memasak bersama, malahan ada yang mencuba bermacam-macam jenis resepi baharu, memandangkan untuk keluar membeli makanan agak susah. Ada juga yang melakukan pembersihan kawasan di dalam dan di sekeliling rumah. Tidak kurang juga ibu bapa yang menghabiskan masa dengan membantu anak-anak melakukan kerja sekolah, apatah lagi dengan adanya pelbagai tugasan dalam talian yang diberikan oleh pihak sekolah. Selain itu, aktiviti fizikal dalam kawasan rumah seperti bermain badminton atau ping pong turut menjadi sebahagian daripada amalan semasa PKP.

Namun, ada juga keluhan yang dikeluarkan oleh sesetengah pihak semasa tempoh ini. Perintah larangan untuk keluar membeli barangan keperluan melebihi seorang untuk sesebuah keluarga menimbulkan rasa sukar dalam kalangan mereka. Tidak kurang juga yang berasa rimas akibat terkurung di dalam rumah tanpa mampu keluar seperti biasa. Apatah lagi mereka yang mempunyai rumah yang kecil dan perlu bersesak, pastinya keadaan ini amat tidak selesa dan melemaskan. Rasa rindu yang membuak-buak untuk bertemu dengan insan istimewa seperti ibu bapa di kampung, ataupun suami isteri bagi mereka yang terpisah akibat perintah ini, juga banyak terjadi. Bagi mereka yang pendapatannya terjejas akibat perintah ini, tentu sekali amat risau memikirkan keadaan ekonomi keluarga mereka. Akhir sekali, sesiapa sahaja boleh berasa takut akan kemungkinan diri mereka atau ahli keluarga dijangkiti penyakit COVID-19 ini.

 

PKP dan konflik rumah tangga

Terdapat pelbagai situasi positif dan negatif yang berlaku dalam sesebuah rumah tangga semasa tempoh PKP. Tidak dinafikan perintah ini akan memberikan kesan kepada sesiapa sahaja. Berada di rumah sepanjang masa tanpa kebebasan untuk keluar, berhadapan dengan orang yang sama, perlu menguruskan keperluan dalam rumah seperti memasak, mengemas rumah dan menjaga anak yang masih kecil, dan pada masa yang sama terbeban dengan tugasan kerja bagi mereka yang bekerja dari rumah (work from home), sangat menguji kesabaran.

Perkara sebegini akan menjurus kepada kemungkinan berlakunya konflik. Konflik yang tidak ditangani boleh menyebabkan stres dan mendorong seseorang untuk melakukan perkara yang tidak diingini kepada ahli keluarganya. Namun, keganasan rumah tangga masih boleh terjadi tanpa adanya konflik. Jika seseorang itu telahpun melakukan keganasan sebelum ini, dan keadaan boleh menjadi semakin teruk semasa PKP dalam keadaan mereka terkurung di dalam rumah. Walau bagaimanapun, tidak kira dalam situasi mana kita berada, setiap orang perlu tahu bahawa tiada alasan untuk membolehkan terjadinya keganasan rumah tangga semasa tempoh PKP ini, ataupun pada bila-bila masa yang lain. Tiada seorang pun yang berhak untuk melakukan keganasan terhadap sesiapa sahaja dalam keluarga mereka, apatah lagi tiada seorang pun ahli keluarga yg sepatutnya menjadi mangsa keganasan.

Apa itu keganasan rumah tangga?

Keganasan rumah tangga merupakan keganasan atau penyalahgunaan kuasa seseorang terhadap orang lain dalam suasana domestik. Ia boleh meliputi keganasan yang dilakukan terhadap pasangan, kanak-kanak, orang tua, orang dewasa yang tidak berkeupayaan atau ahli keluarga yang lain. Terdapat pelbagai bentuk keganasan yang terjadi dalam sesebuah keluarga, seperti dalam bentuk keganasan fizikal, gangguan seksual, penderaan emosi, melalui percakapan atau psikologi.

Keganasan rumah tangga perlu ditangani secara serius. Jika tidak ditangani dengan baik, keadaan ini akan menjadi barah dalam masyarakat, bukan sahaja di Malaysia, malahan di seluruh dunia. Pertubuhan Kesihatan Sedunia melaporkan 35 peratus daripada wanita pernah mengalami keganasan rumah tangga sepanjang hidup mereka. Di Malaysia, berdasarkan kes yang dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia, terdapat 5421 kes pada tahun 2018. Namun, angka yang sebenar adalah jauh lebih besar memandangkan bukan semua mangsa tampil ke hadapan untuk membuat laporan.

Di Malaysia, keganasan rumah tangga merupakan satu jenayah di bawah Akta Keganasan Rumah Tangga 1994. Mengikut Akta ini, keganasan rumah tangga meliputi perkara berikut:

  1. secara bersengaja atau dengan disedarinya meletakkan, atau cuba meletakkan, mangsa itu dalam keadaan ketakutan kecederaan fizikal;
  2. menyebabkan kecederaan fizikal kepada mangsa;
  3. memaksa mangsa dengan paksaan atau ancaman untuk melakukan apa-apa kelakuan atau perbuatan, berbentuk seksual ataupun selainnya, yang mangsa itu berhak tidak melakukan;
  4. mengurung atau menahan mangsa tanpa kerelaan mangsa itu; atau
  5. melakukan khianat atau kemusnahan atau kerosakan kepada harta dengan niat untuk menyebabkan atau dengan disedari bahawa ia berkemungkinan menyebabkan kesedihan atau kegusaran kepada mangsa itu.

Mangsa yang dilindungi oleh akta ini ialah isteri atau suami, bekas isteri atau suami, kanak-kanak berumur di bawah 18 tahun yang tinggal sebagai seorang anggota keluarga, orang dewasa tidak berkeupayaan, atau mana-mana anggota keluarga lain yang tinggal bersama.

Keganasan rumah tangga semasa PKP

Laporan daripada luar negara menunjukkan satu krisis yang menakutkan, iaitu peningkatan kes keganasan rumah tangga semasa penularan wabak COVID-19 ini. Hampir satu perempat daripada penduduk dunia sedang menjalani perintah penyekatan atau lockdown. Amat menakutkan apabila talian aduan organisasi berkaitan mula menerima peningkatan kes keganasan rumah tangga.

Sebuah pertubuhan amal terbesar berkaitan keganasan rumah tangga di Eropah telah melaporkan peningkatan sehingga 700 peratus jumlah panggilan yang diterima setiap hari semenjak perintah lockdown dilaksanakan. Begitu juga di Turki, para aktivis hak asasi wanita di negara tersebut telah mendapati peningkatan jumlah panggilan untuk mendapatkan bantuan daripada mangsa keganasan rumah tangga. Situasi yang sama juga dilaporkan di negara China, Sepanyol, Jerman, Perancis, Kanada dan Australia. Di United Kingdom (UK), polis telah menerima peningkatan 32 peratus aduan berkaitan keganasan rumah tangga dengan kes paling tinggi dilaporkan di Paris, iaitu 36 peratus. Justeru, sebagaimana dilaporkan dalam akhbar Berita Harian bertarikh 6 April 2020, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, telah menggesa kerajaan di seluruh dunia agar turut melindungi wanita susulan penyebaran virus pandemik COVID-19.

Bagaimana pula keadaannya di negara kita? Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), sebuah badan bukan kerajaan di Malaysia yang komited dengan usaha menentang keganasan terhadap wanita, telah menerima sebanyak 14 peratus peningkatan bilangan panggilan dan aduan menerusi WhatsApp berkaitan kes keganasan rumah tangga yang melibatkan wanita. Data peningkatan ini merujuk situasi sepanjang fasa 1 PKP, iaitu dari tempoh 18 hingga 31 Mac 2020 berbanding tempoh separuh pertama bulan Mac 2020. Dalam masa yang sama, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menafikan peningkatan kes keganasan rumah tangga yang diterima melalui Talian Kasih kementerian itu, dan menjelaskan bahawa peningkatan jumlah panggilan adalah untuk semua kategori, termasuk panggilan berhubung COVID-19, rujukan kes bantuan dan kes kaunseling. Walau bagaimanapun, perkara ini tidak boleh dipandang remeh. Kerajaan Malaysia telah mengambil maklum berkenaan kemungkinan peningkatan kes keganasan rumah tangga sepanjang pelaksanaan PKP. Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, telah menegaskan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan segera terhadap sebarang laporan berkaitan isu ini.

Punca keganasan rumah tangga semasa PKP

Beberapa perkara mungkin menyumbang pada berlakunya keganasan rumah tangga semasa PKP. Ia merangkumi faktor dalam diri individu itu sendiri, orang sekeliling, persekitaran, serta faktor luaran yang lebih besar. Kesemua faktor ini saling mempengaruhi antara satu sama lain, dan terdiri daripada:

Faktor pada pemangsa:

  • perasaan stres – ini terjadi ekoran tidak dapat keluar dari rumah seperti biasa, tidak dapat melakukan pekerjaan atau aktiviti rutin, memikirkan ketidakpastian masa depan terutama berkaitan ekonomi keluarga, serta takut dijangkiti penyakit pada diri sendiri dan keluarga. Stres akan menyebabkan seseorang hilang pertimbangan dan melakukan keganasan.
  • peningkatan konflik apabila terkurung dan selalu berada di depan mata – perkara ini boleh terjadi terutamanya pada mereka yang memang pernah terlibat dengan keganasan rumah tangga sebelum ini. Apabila sentiasa berada di depan mata, setiap perbuatan akan mudah mencetuskan konflik dan keganasan.
  • penagihan dadah – penagihan dadah telah dikenal pasti sebagai salah satu faktor utama menyumbang pada keganasan rumah tangga. Semasa PKP, mereka mungkin berdepan dengan kesukaran mendapatkan bekalan dadah, yang menjurus pada gejala ketagihan akibat tidak mendapat bekalan, menjadi pemarah dan cenderung untuk melakukan keganasan.

Faktor dalam diri mangsa:

  • kebergantungan kepada pemangsa – semasa PKP, ramai orang yang kehilangan punca pendapatan, terutamanya mereka yang bergaji harian atau bekerja sendiri. Perkara ini menyebabkan mereka terpaksa bergantung kepada ahli keluarga yang lain. Situasi ini meletakkan mereka pada kedudukan yang lebih rendah dan terdedah pada keganasan.
  • sukar untuk melarikan diri atau mendapatkan bantuan – perkara ini boleh terjadi semasa PKP, sama ada memang wujudnya kesukaran ataupun perasaan dalam diri seseorang itu. Memandangkan pemangsa sentiasa berada di rumah, sangat sukar bagi mangsa untuk mendapatkan bantuan. Mangsa mungkin sentiasa dalam perhatian dan kawalan pemangsa. Operasi pengangkutan awam yang terhad, dan kemungkinan banyak pejabat yang ditutup menghalang mangsa daripada keluar mendapatkan bantuan.
  • takut dijangkiti – risiko dijangkiti wabak COVID-19 sangat digeruni oleh semua orang. Perkara ini boleh digunakan oleh pemangsa untuk mengugut mangsa daripada keluar membuat laporan ataupun mendapatkan pertolongan. Begitu juga dengan diri mangsa sendiri. Mangsa mungkin tidak berani keluar dari rumah kerana risiko dijangkiti penyakit ini.

Faktor persekitaran:

  • persekitaran rumah yang sempit atau tidak kondusif – walaupun keganasan rumah tangga boleh terjadi pada sesiapa sahaja, namun mereka yang tinggal di dalam rumah yang sempit dan tidak kondusif mungkin akan berasa lemas dan tidak tenteram. Perkara ini lebih mudah mencetuskan perbalahan dan keganasan dalam rumah tangga.

Bagaimana menangani keganasan rumah tangga semasa PKP?

Setiap keluarga perlu cuba untuk memastikan kesejahteraan dan keharmonian rumah tangga semasa PKP ini. Tidak dinafikan, lumrah semula jadi manusia akan mudah memberontak apabila mereka dihalang daripada melakukan perkara yang mereka ingini atau gemari, sebagai contoh tidak dapat keluar untuk memenuhi kehendak sosial mereka semasa PKP. Namun, kita perlu sentiasa ingat bahawa perintah ini adalah untuk kebaikan kita semua, demi membendung wabak ini daripada terus merebak.

Sekiranya berlaku kes keganasan rumah tangga, mangsa tidak boleh berdiam diri. Sama ada mangsa atau ahli keluarganya yang terkesan bersama mangsa, amat penting untuk mereka mendapatkan bantuan dan keluar dari situasi keganasan ini. Hal ini tidak mudah untuk dilakukan atas banyak sebab antaranya mungkin mangsa berasa takut keadaan akan menjadi bertambah teruk jka pemangsa mengetahuinya atau mangsa terpaksa bergantung kepada pemangsa untuk kelangsungan hidup. Walau bagaimanapun, tiada seorang pun yang berhak melakukan keganasan dan tiada seorang pun yang perlu menjadi mangsa.

Jika kita sebagai jiran atau rakan yang mengetahui kejadian keganasan ini, adalah menjadi tanggung jawab kita untuk membantu mereka. Kita perlu sentiasa peka dengan keadaan sekeliling kita, dan sering bertanya khabar. Walaupun kita tidak dapat menziarahi mereka secara fizikal, terdapat banyak saluran lain yang boleh dimanfaatkan, seperti telefon, WhatsApp dan sebagainya.

Berikut merupakan langkah yang boleh diambil bagi menghentikan kes keganasan rumah tangga:

  • Hubungi 999 atau ke balai polis yang berdekatan – jika dalam kecemasan, mangsa boleh terus hubungi nombor kecemasan ini, atau cuba untuk pergi ke balai polis yang berdekatan.
  • Hubungi Talian Kasih di 15999 – talian 24 jam ini adalah di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Orang ramai juga boleh menghantar WhatsApp kepada mereka di talian 019-2615999.
  • Dapatkan bantuan perubatan – jika mengalami kecederaan, mangsa perlu segera pergi ke hospital atau klinik yang berdekatan untuk mendapatkan rawatan.
  • Hubungi Talian Bantuan WAO – talian 03-7956 3488 atau WhatsApp 018 988 8058 beroperasi selama 24 jam setiap hari sepanjang PKP.
  • Hubungi Pertubuhan Teratak Rahmah Wanita Islam (TERATAI) - talian +6011-576 95171 merupakan salah satu badan bukan kerajaan yang boleh membantu mangsa keganasan rumah tangga.
  • Hubungi JAKIM – khidmat nasihat kekeluargaan, kemasyarakatan dan kerohanian disediakan oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di talian 03-88707519/7527/7528.

Akhir sekali, marilah kita sama-sama mengambil peluang untuk menjadikan tempoh PKP ini sebagai satu medium untuk kita menambahkan keharmonian keluarga kita.

Rujukan

  1. A New COVID-19 Crisis: Domestic Abuse Rises Worldwide. The New York Times. 6 April 2020.
  2. Aduan keganasan rumah tangga meningkat. BH Online, 10 April 2020.
  3. Garis panduan pengendalian kes keganasan rumah tangga. Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, 2016.
  4. Kes dera wanita meningkat sepanjang COVID-19 – PBB. BH Online, 6 April 2020
  5. KPWKM nafi laporan peningkatan kes keganasan rumah tangga ketika PKP. Astro Awani, 4 April 2020.
  6. PKP: Kerajaan awasi isu jejas rumah tangga ketika PKP. BH Online, 12 April 2020.
  7. Rahman, Mahdzir, Ismail, Rahim. Combating domestic violence in Malaysia: Issues and challenges. Man in India, 2019.
  8. Undang-undang Malaysia. Akta 521. Akta Keganasan Rumah Tangga 1994. Cetakan semula, 2008.
Cetak