Together we stop the pandemic #COVID-19
Together we stop the pandemic #COVID-19

Jangkitan COVID-19: Sebuah Kembara Sains Menuntut Disiplin Diri

  • Bacaan Umum
  • Jumlah paparan: 5447
Pengarang:
Wan Faiziah Wan Abdul Rahman, Nur Asyilla Che Jalil
Jabatan Patologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia Kampus Kesihatan, 16150 Kubang Kerian, Kelantan, Malaysia
Pengarang Koresponden:
Dr Wan Faiziah Wan Abdul Rahman,
Pakar Perunding Patologi, Jabatan Patologi,
Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan,
16150 Kubang Kerian, Kelantan, Malaysia

Detik kemunculan COVID-19

Mahu tidak mahu kita semua perlu menerima kehadirannya. Mengubah cara hidup dengan serta merta untuk menyekatnya dari terus mara membuat rantaian demi rantaian. Begitu pantas ia merebak dari individu kepada individu yang lain. Hanya penjarakan sosial dan pendisiplinan diri mampu menyekat penularan wabak ini.

Virus ini pada awalnya dikenali sebagai ‘Wuhan Coronavirus’ kerana asalnya dari sebuah pasar basah di Wuhan, China yang menjual pelbagai jenis hidupan liar yang dipelihara dan disembelih di situ.  Keadaan haiwan yang berada rapat antara satu sama lain membolehkan virus ini berjangkit dari satu spesies kepada spesies yang lain. Sehingga kini masih belum dapat dipastikan sumber sebenar virus ini. Kemungkinan besar adalah daripada kelawar yang kemudiannya menjangkiti haiwan-haiwan lain yang dijual di pasar yang padat itu.

Jangkitan virus ini ke atas manusia mula dikesan pada sekumpulan pesakit di Wuhan yang mengalami gejala yang sama iaitu selesema, batuk, demam dan sukar bernafas selepas mengunjungi pasar tersebut. Kajian mendapati virus ini merupakan sejenis coronavirus daripada haiwan yang menyerang organ pernafasan manusia dan mempunyai persamaan dengan virus penyebab penyakit SARS-CoV (Severe Acute Respiratory Virus) pada tahun 2003 yang telah menyebabkan jangkitan pada saluran pernafasan yang teruk. Atas dasar itu, novel coronavirus ini dikenali sebagai SARS-CoV-2 dan penyakitnya diberikan nama sebagai COVID-19 pada 11 Februari 2020 oleh pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang bermaksud Coronavirus disease of 2019. Pemberian nama khas ini penting bagi mengelakkan sebarang spekulasi yang mengaitkannya dengan spesifik lokasi atau haiwan mahupun kumpulan atau individu tertentu.

COVID-19 ini terus menular merentas sempadan dunia sehingga tiada negara yang terkecuali. Melihat kepada peningkatan jumlah pesakit yang kian meningkat dari sehari ke sehari maka ia telah diumum sebagai salah satu wabak pandemik dunia oleh WHO pada 11 Mac 2020.

Kenali COVID-19 sebuah perisai ringkas

Perkataan ‘corona’ pada virus itu membawa maksud lingkaran atau mahkota. Virus ini berbentuk bulat dan dilingkari oleh protein berbentuk paku. Struktur paku ini mempunyai protein yang telah mengalami pengubahsuaian atau mutasi yang membolehkan ia bertindak sebagai kunci untuk masuk ke dalam sel manusia. Proses mutasi itu turut membongkar kod kunci atau reseptor yang berada pada sel manusia. Disebabkan virus ini berasal daripada haiwan, memasuki sel haiwan sudah menjadi perkara biasa, namun menyelongkar masuk ke dalam sel manusia untuk dijadikan perumah ini merupakan sesuatu yang baru.

Virus ini sebenarnya bukan organisma hidup kerana ia hanya merupakan sebuah kelongsong yang mengandungi maklumat genetik yang memerlukan perumah lain untuk hidup sama ada sel manusia atau haiwan. Bentuk virus sangat ringkas kerana hanya dilapisi oleh dinding nipis yang mengandungi lemak yang rapuh. Sebaik sahaja terkena air sabun atau alkohol yang digosok beberapa kali, dinding lemak pada virus ini akan larut dan virus akan musnah. Maka, dengan hanya membasuh tangan dengan kerap kita boleh mengelakkan diri dari dijangkiti. Apa yang menjadi masalah adalah, apabila tangan yang telah dicemari virus ini digunakan untuk menyapu muka, menggosok hidung, mata atau menyuap makanan. Tindakan ini akan memberi peluang kepada virus untuk memasuki rongga mulut dan hidung, seterusnya akan menyerang sistem pernafasan manusia. 

Kembara COVID-19 dan kesudahannya

Saluran pernafasan manusia dilapisi oleh sel-sel hidup yang dinamakan epitelium. Apabila virus memasuki rongga mulut atau hidung, ia akan melekat pada sel epitelium ini dan akan merampas kuasa (hijack) sel dengan mengarahkan sel membahagi dengan cepat. Dengan menggunakan protein yang telah mengalami mutasi, virus berjaya memasuki sel dan menyuntik masuk maklumat genetik ke dalam sel, lalu mengarahkan sel perumah menyalin maklumat genetik itu bagi menghasilkan beribu-ribu virus yang lain. Kesimpulannya, virus berjaya memaksa sel perumah menjadi kilang pemproses virus. Maka semakin banyak virus yang dihasilkan, dan dalam masa yang sama semakin banyak sel-sel perumah termusnah.

Dalam tempoh seminggu hingga dua minggu selepas virus memasuki badan, manusia akan mula mendapat gejala seperti sakit tekak, batuk, demam dan selesema. Ini memberi petanda bahawa sistem pertahanan badan manusia atau lebih dikenali sebagai sistem imun telah diaktifkan bagi melawan virus, justeru menyebabkan berlakunya gejala ini. Walau bagaimanapun, tindakan mungkin terlambat kerana pencerobohan oleh virus baharu ini tidak pernah diduga oleh sistem imun dan signal yang dihasilkan oleh protein virus termutasi ini pada awalnya disangka bukan musuh oleh barisan pertahanan badan.

Walau bagaimanapun, selepas beberapa siri kemusnahan sel terjadi, sistem imun mula sedar bahawa virus ini adalah musuh yang perlu diperangi lalu cuba melawan menggunakan pelbagai cara tanpa mengetahui di mana titik kelemahan virus ini kerana ia masih baharu. Percubaan demi percubaan menyebabkan berlakunya serang balas yang hebat antara dua pihak. Sekiranya sistem imun dalam keadaan baik dan terkawal, mengikut arahan tanpa beraksi secara berlebihan, banyak virus yang akan berjaya dihapuskan dan akhirnya pesakit akan beransur sembuh.

Dalam sesetengah keadaan apabila sistem imun mula panik dan merasakan seolah-olah tidak mampu lagi mengawal serangan virus yang semakin mengganas, badan akan menghasilkan sejenis bahan perantara yang dipanggil ‘sitokin’. Sitokin ini akan mengerahkan lebih ramai tentera pertahanan untuk bekerja di segenap bahagian sistem dan organ badan terutama pada bahagian paru-paru, yang merupakan pusat utama tempat perlindungan virus. Fenomena di mana sistem imun bertindak secara berlebihan ini dipanggil ‘cytokine storm’ atau ribut sitokin. Keadaan ini boleh diibaratkan sebagai proses arahan memanggil lebih ramai tentera-tentera khas dengan peralatan senjata yang lebih hebat untuk menewaskan musuh.

Fenomena ribut sitokin ini menjadikan keadaan semakin huru-hara kerana banyak kemusnahan berlaku kepada sel dalam badan manusia, termasuk sel-sel yang tidak menjadi sasaran untuk dimusnahkan dan sel penting dalam mengemudi sistem badan untuk membolehkan seseorang manusia itu hidup. Kerosakan demi kerosakan sepanjang pertempuran ini mengakibatkan keradangan paru-paru yang serius. Apabila paru-paru semakin gagal berfungsi, pesakit terpaksa ditidurkan. Mereka akan diberi bantuan mesin pernafasan serta ubatan bagi mententeramkan keadaan. Berjaya atau tidak rawatan ini bergantung kepada tindak balas badan terhadap kombinasi ubatan yang diberi. Jika pesakit tidak menghidap penyakit lain, sistem pertahanan badan yang kuat dan memberi tindak balas yang baik terhadap ubatan, maka pesakit akan beransur sembuh sehingga boleh bernafas dengan sendiri dan menjalani kehidupan seperti biasa.

Namun, bagi pesakit yang mempunyai penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung dan buah pinggang pastinya sistem imun tidak mampu bertahan dalam peperangan hebat ini. Pertempuran antara sistem imun dan virus ini hanya akan menyebabkan lebih banyak kerosakan berlaku sehingga mengakibatkan keradangan paru-paru yang serius serta kegagalan fungsi organ-organ lain juga. Kombinasi ubatan juga tidak berjaya mententeramkan keadaan yang akhirnya boleh menyebabkan kematian. 

Komplikasi COVID-19 kebimbangan sejagat

Jika dibandingkan peratus kematian yang disebabkan oleh COVID-19 dengan coronavirus lain yang seangkatan dengannya seperti SARS-CoV dan MERS-CoV (Middle East Respiratory Syndrome) yang mula dijumpai di Arab Saudi pada tahun 2012, peratus kematian akibat COVID-19 masih rendah. Kadar kematian dunia akibat COVID-19 pada awalnya hanya 1% hingga 3%, namun telah meningkat kepada 7% semasa artikel ini ditulis kerana peningkatan kes secara tidak terkawal di beberapa negara. Manakala kadar kematian akibat SARS-CoV dan MERS CoV masing-masing mencatat 9.6% dan 34%.

Atas dasar tersebut, selain komplikasi kematian, apa yang lebih membimbangkan adalah virus ini menunjukkan kadar jangkitan yang sangat cepat dari manusia ke manusia yang lain. Mutasi atau pengubahsuaian pada struktur virus ini memberi keupayaan luarbiasa kepadanya untuk memasuki sel badan manusia dan dikhuatiri manusia yang dijangkiti boleh melebihi nilai kapasiti muatan. Maka, kemudahan fasiliti hospital yang ada tidak lagi mampu menampung jumlah pesakit yang ramai.

Apa yang dibimbangkan ini telah berlaku di beberapa negara. Semasa artikel ini ditulis, didapati angka jumlah jangkitan melebihi 3 juta dan melibatkan lebih 200 buah negara. Kadar kematian juga berkemungkinan akan meningkat kerana peningkatan kes yang memuncak ini. Walaupun negara yang terlibat merupakan negara maju, malah sebuah kuasa besar yang mempunyai kemudahan serta perkhidmatan kesihatan yang bagus, namun tidak mampu mengawal penularan jangkitan dan komplikasi kematian apabila ia mula melebihi kapasiti

Maka apa yang penting di sini adalah langkah membendung penularan wabak sejak dari awal. Perintah kawalan pergerakan sememangnya tepat dilaksanakan di samping kempen-kempen untuk meningkatkan disiplin diri dalam kalangan masyarakat seperti penjarakan sosial serta amalan kebersihan. Dalam situasi wabak sebegini, kebajikan dan kesihatan sejagat perlu menjadi keutamaan dalam sesebuah negara, bukan lagi ekonomi atau politik. Kerjasama yang erat antara pemerintah dan rakyat, ketelusan serta keprihatinan menjadi kod kunci bagi menghentikan penularan.

Akhir kata sebuah cerita

Tatkala sains masih dalam kembara tiada destinasi, virus menular masih tiada henti, mari kita merenung, muhasabah dan mendisiplinkan diri. Apa yang pasti, COVID-19 datang bertamu sambil menyeru agar kita tingkatkan ilmu. Maka sama-samalah kita adun pengetahuan, kerana dengan ilmu sudah tentu kita mampu lawan.

Tarikh artikel ini ditulis: 20 April 2020

3.jpg

Gambar 1: Garis Masa Kembara COVID-19 dari China ke Malaysia (infografik oleh penulis, Wan Faiziah & Nur Asyilla)

Rujukan

  1. Adhikari SP, Meng S, Wu YJ, Mao YP, Ye RX, Wang QZ & Zhou, H. Epidemiology, causes, clinical manifestation and diagnosis, prevention and control of coronavirus disease (COVID-19) during the early outbreak period: a scoping review. Infectious diseases of poverty. 2020;9(1), 1-12.
  2. Guo YR, Cao QD, Hong ZS, Tan YY, Chen SD, Jin HJ & Yan Y. The origin, transmission and clinical therapies on coronavirus disease 2019 (COVID-19) outbreak–an update on the status. Military Medical Research. 2020;7(1), 1-10.
  3. Mehta P, McAuley DF, Brown M, Sanchez E, Tattersall RS & Manson JJ. COVID-19: consider cytokine storm syndromes and immunosuppression. The Lancet. 2020;395(10229), 1033-1034.
  4. Wan Faiziah WAR, Facebook:  Faiziah Rahman 22 Mac 2020.                                     Retrieved 14 April 2020. https://www.facebook.com/1632455324/posts/10219259603994204/?d=n
  5. Wang et. Al. Clinical Characteristics of 138 Hospitalized Patients With 2019 Novel Coronavirus–Infected Pneumonia in Wuhan, China. JAMA. 2020;323(11):1061-1069. doi:10.1001/jama.2020.1585
  6. WHO Director-General's opening remarks at the media briefing on COVID-19 3 March 2020.  World Health Organization. 2020. Retrieved 14 April 2020. https://www.who.int/dg/speeches/detail/who-director-general-s-opening-remarks-at-the-media-briefing-on-covid-19---3-march-2020
Cetak