Together we stop the pandemic #COVID-19
Together we stop the pandemic #COVID-19

Vaksin mRNA Sebagai Salah Satu Pilihan Melawan Wabak COVID-19

  • Bacaan Umum
  • Jumlah paparan: 7068
Pengarang:

Lidawani Lambuk1, Siti Khatijah Abdul Razak1, Suhana Ahmad1, Norhayati Yusop2, Rohimah Mohamud*

1Jabatan Imunologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan, 16150 Kubang Kerian, Kelantan

2Unit Sains Asas dan Biologi Oral, Pusat Pengajian Sains Pergigian, Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan, 16150 Kubang Kerian, Kelantan

Pengarang Koresponden:

Dr. Rohimah Mohamud

Jabatan Imunologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan, 16150 Kubang Kerian, Kelantan

Email: rohimahm@usm.my

Pengenalan

Ketika ini, jangkitan COVID-19 sedang melanda seantero dunia dan negara kita juga tidak terkecuali dalam hal penyebaran virus penyebab penyakit berjangkit ini. Susulan maklumat daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sehingga 16 Julai 2021, terdapat 108 jenis vaksin COVID-19 yang berada dalam peringkat ujian klinikal fasa 3. Setakat 18 Mei 2021, 6 vaksin  yang dihasilkan oleh AstraZeneca, Pfizer-BioNTech, Sinopharm-BBIBP, Moderna, Sinovac dan Janssen, telah melepasi ujian klinikal dan mendapat kelulusan bagi penggunaan kecemasan di bawah pengawasan WHO. Menurut, YB Khairy Jamaluddin, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, kerajaan Malaysia bercadang untuk mendapatkan vaksin melalui runding terus bersama syarikat pengeluar seawal suku pertama tahun 2021. Kepantasan mendapatkan akses kepada vaksin juga bergantung kepada kelulusan daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di bawah naungan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Kelulusan ini adalah untuk memastikan vaksin yang dicadangkan melepasi syarat tahap keselamatan dan keberkesanan untuk  mencegah COVID-19 melalui data ujian klinikal yang telah dijalankan oleh syarikat pengeluar vaksin.

Pada 24 November 2020, Kerajaan Malaysia telah mengumumkan pembelian vaksin COVID-19 daripada syarikat Pfizer, setelah meneliti data hasil kajian klinikal yang dijalankan oleh syarikat tersebut. Vaksin keluaran syarikat Pfizer adalah satu kelas vaksin yang belum pernah berjaya dikeluarkan sebelum ini. Kebanyakan vaksin yang dihasilkan dan mendapat kelulusan untuk diberikan kepada manusia atau haiwan sebelum ini mengandungi virus atau komponen daripada virus itu sendiri seperti protein. Namun vaksin keluaran Pfizer ini menggunakan mRNA (messenger RNA atau pengutus RNA) iaitu komponen genetik virus penyebab COVID-19 yang telah dibangunkan secara sintetik. Pada 11 Disember 2020, vaksin mRNA COVID-19 (BNT162b2) ini dikatakan vaksin pertama menggunakan teknologi mRNA yang telah mendapat kelulusan Kebenaran Penggunaan Kecemasan (EUA) dibawah Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) dan kelulusan badan-badan regulatori farmasi negara lain termasuk Malaysia. Selain vaksin daripada Pfizer, kerajaan juga telah meneliti beberapa vaksin lain yang telah atau dijangka akan mendapat kelulusan bagi pengeluaran dan penggunaan berskala besar (Jadual 1)

 

Jadual 1. Maklumat bekalan vaksin COVID-19 yang diperolehi atau bakal diperoleh Malaysia (Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia).

Syarikat Pengeluar

Pfizer

Astrazeneca

Sinovac

CansinoBio

Sputnik V

Jenis Vaksin

mRNA

Vektor virus

Virus tidak aktif

Vektor virus

Vektor virus

Negara Pengeluar

Amerika Syarikat

United Kingdom

China

China

Rusia

Bilangan Suntikan Dos

2

2

2

1

2

Tahap Keberkesanan Melawan Jangkitan Virus

95%

62% - 90%

50.4% - 91.25%

65.7%

91.6%

Suhu Penyimpanan Vaksin

-75°C

2-8°C

2-8°C

2-8°C

-20°C

Jumlah Dos (juta)

44.8

12.8

12

3.5

6.4

Peratus Penduduk Yang Disasarkan

50%

20%

18.75%

10.9%

10%

Negara yang telah menggunakan vaksin

Amerika Syarikat,

Singapura,

UK, Bahrain,

Kanada, Mexico,

Switzerland, dan

Kesatuan Eropah

UK, Amerika

Syarikat, Afrika

Selatan, Ukrain,

Brazil, Kesatuan

Eropah, Kanada,

dan India

China, Indonesia,

Turki, Chile, Hong

Kong, Brazil,

dan Kemboja

China, Mexico,

dan Pakistan

Rusia, Argentina,

Brazil, Korea

Selatan dan Belarus

 

 

Apakah vaksin mRNA COVID -19 ?

Interaksi sistem imun badan dengan vaksin

Secara umum, badan manusia memiliki imuniti (kekebalan) untuk melawan penyakit yang disebabkan oleh serangan kuman, seperti virus penyebab COVID-19. Apabila virus ini memasuki (menjangkiti) badan (perumah), ia tidak hanya menyerang tisu badan yang sihat, malah ia membiak dengan pantas. Keadaan ini secara langsung mengaktifkan tindak balas sistem imun (sistem ketahanan) badan terhadap jangkitan virus serta toksin yang dikeluarkan. Sistem imun tubuh melawan jangkitan virus menggunakan komponen pentingnya iaitu sel darah putih seperti makrofaj, B-limfosit and T-limfosit. Sel-sel ini mengenalpasti antigen (komponen jenis protein) virus atau sel yang dijangkiti virus bahaya dan menghasilkan antibodi untuk menyerang mereka. Selain daripada itu, pada kali pertama jangkitan virus penyebab COVID-19, sistem imun tubuh memerlukan beberapa hari atau minggu untuk merangsang, membina dan menggunakan semua komponen daripada sistem ini untuk mengatasi jangkitan. Selepas jangkitan, sistem imun tubuh seseorang telah membina memori dan akan bertindak dengan cepat menghasilkan benteng pertahanan jika virus yang sama memasuki badan pada masa akan datang.

Penggunaan vaksin COVID-19 adalah sangat penting untuk membantu tubuh seseorang membina kekebalan terhadap virus penyebab COVID-19 tanpa perlu dijangkiti terlebih dahulu. Seperti yang telah dibincang pada perenggan atas, sistem imun memerlukan pendedahan pertama kali kepada virus penyebab COVID-19 sebelum ia boleh bertindak balas dengan cepat untuk melindungi badan daripada penyakit. Sebagai ganti pendedahan imuniti badan kepada virus sebenar penyebab COVID-19, pemberian vaksin kepada badan akan mengajar sel menyalin (sintesis) protein sama seperti virus tersebut. Pembinaan protein ini akan merangsang tindak balas imun dengan menghasilkan antibodi yang akan melindungi diri jika dijangkiti oleh virus penyebab COVID-19 yang sebenar.

Vaksin mRNA adalah sejenis pendekatan pembangunan vaksin yang baru untuk melindungi tubuh daripada penyakit berjangkit. Vaksin jenis ini belum pernah melepasi ujian klinikal sebelum ini walaupun pendekatan ini telah menarik minat ramai pakar penyelidik. Kebanyakkan vaksin yang telah dihasilkan semasa wabak penyakit seperti Ebola, Severe Acute Respiratory Syndrome (SARS), Middle East Respiratory Syndrome (MERS), Nipah, Zika dan sebagainya menggunakan pendekatan virus yang mati atau tidak aktif, ejen pembawa atau lebih dikenali sebagai vektor, komponen virus seperti protein dan bukan bahan genetik, untuk merangsang tindak balas imuniti badan. Bagi virus penyebab COVID-19, antara pelbagai jenis vaksin yang dibangunkan, vaksin terawal yang telah melepasi ujian klinikal fasa 3 adalah vaksin mRNA. Syarikat pengeluar seperti Pfizer dan Moderna telah mendapatkan kelulusan kebenaran EUA dibawah FDA, untuk mengeluarkan vaksin mRNA COVID-19 berskala besar.

Apakah itu mRNA ?

Setiap organisma hidup termasuk manusia, haiwan, tumbuhan, bakteria dan virus memiliki kod genetik samada asid deoksiribonukleik (DNA) atau asid ribonukleik (RNA). DNA atau RNA berperanan penting dalam menghasilkan protein bagi suatu organisma menjalankan fungsi-fungsi untuk pertumbuhan, perkembangan, dan sebagainya. Untuk menghasilkan suatu protein, DNA menggunakan mRNA, yang memiliki kod genetik hampir sama dengan DNA, untuk diproses bagi membina protein sasaran. Kelangsungan hidup virus penyebab COVID-19 bergantung pada tahap pembiakannya di dalam badan suatu organisma. Virus ini mempunyai protein yang bernama spike protein pada permukaannya yang bertanggungjawab menghubungkan virus penyebab COVID-19 dengan sel badan perumah sehingga menyebabkan sel tersebut rosak dan mengakibatkan jangkitan kepada organisma tersebut.

Seperti dalam Rajah 1, vaksin mRNA boleh dianalogi seperti telefon pintar yang digunakan setiap hari. DNA pula adalah seperti tempat penyimpanan maklumat sesuatu data, manakala mRNA adalah perisian bagi sebuah telefon pintar tersebut. Perisian ini akan membawa maklumat yang dikehendaki untuk menghasilkan aplikasi. Protein pula adalah aplikasi yang digunakan untuk tujuan tertentu hasil daripada maklumat yang telah dikenalpasti.

 

Rajah 1: Penerangan tentang DNA, mRNA dan protein (sumber dari laman web: modernatx.com)

 

Mekanisma vaksin mRNA dalam membantu sistem imun badan mencegah COVID-19

Vaksin mRNA diberikan melalui suntikan di bahagian atas otot lengan. Sel-sel otot inilah yang akan membantu mRNA ini diterjemahkan kepada protein. Vaksin ini mengandungi jujukan molekul genetik mRNA yang diselaputi dengan lapisan khas. Apabila vaksin disuntik, lapisan ini berperanan penting dalam melindungi mRNA daripada dihuraikan oleh enzim (pemangkin) dalam badan. Tambahan lagi, ia membantu mRNA memasuki sel darah putih seperti dendritik dan makrofaj di dalam nodus limfa (kelenjar dalam sistem imun yang menghasilkan sel darah putih) yang berhampiran dengan tempat suntikan vaksin tersebut. Dengan istilah mudah, mRNA merupakan perisian untuk sel tubuh membina protein menyerupai spike protein virus penyebab COVID-19 pada permukaannya. Disebabkan hanya sebahagian protein virus penyebab COVID-19 dibina di dalam badan, vaksin ini tidak memberi ancaman dan tidak menyebabkan jangkitan atau kesan sampingan yang serius kepada tubuh tetapi masih dapat merangsang sistem imun untuk menghasilkan antibodi. Antibodi inilah yang akan melindungi kita sekiranya kita dijangkiti virus penyebab COVID-19 sebenar. Setelah protein dibina, sel-sel tubuh akan meleraikan jujukan mRNA dan menyingkirkannya dengan enzim pelerai. Perlu diketahui, walaupun jujukan mRNA ini memasuki sel, ia tidak akan memasuki nukleus sel di mana DNA disimpan atau menukar genetik badan seperti yang digembar-gemburkan oleh sesetengah masyarakat (Rajah 2). Hal ini adalah penting bagi mengatasi maklumat tidak betul mengenai vaksin mRNA seperti vaksin jenis ini boleh mengubah atau menyusun semula genetik seseorang. Setelah dipaparkan pada permukaan sel, protein atau antigen ini akan memicu sistem imun tubuh dengan mula menghasilkan antibodi dan mengaktifkan sel T-limfosit untuk melawan apa yang dianggapnya sebagai jangkitan. Disebabkan antibodi yang dihasilkan ini adalah khusus untuk virus penyebab COVID-19, tubuh akan mendapat perlindungan dengan lebih cepat dan lebih baik sekiranya jangkitan virus ini berlaku di masa hadapan.

Rajah 2: Mekanisma vaksin mRNA bertindak di dalam tubuh badan.

Tempoh perlindungan vaksin mRNA

Kebanyakan vaksin memerlukan lebih daripada satu dos suntikan vaksin (Jadual 1). Suntikan pertama bertujuan untuk badan mula membina pertahanan. Selepas beberapa minggu, suntikan vaksin kedua diperlukan bagi menghasilkan perlindungan maksimum dan memastikan keberkesanan jangka panjang. Seperti yang diterangkan pada perenggan di atas, sel tubuh akan menyingkirkan mRNA hasil suntikan vaksin selepas ia membina protein yang menyerupai protein virus penyebab COVID-19. Persoalan timbul pada jangkamasa perlindungan vaksin ini bertahan. Tempoh sistem imun badan akan memberi perlindungan adalah masih terlalu awal untuk diketahui, malahan pakar penyelidik masih giat menjalankan kajian bagi menghasilkan vaksin mRNA yang memberi kesan yang lebih lama. Walaubagaimanapun, adanya vaksin yang telah terbukti selamat dan berkesan untuk digunakan secepat mungkin sudah cukup baik bagi memutuskan rangkaian wabak yang mengganas ini.

Kelebihan Vaksin mRNA

Vaksin mRNA telah menarik minat ramai ahli penyelidik kerana ia boleh dibangunkan di makmal dengan menggunakan templat DNA iaitu dapat dibina sepenuhnya secara sintetik. Kelebihan teknologi ini dapat diseragamkan dan meningkatkan penghasilan vaksin dengan lebih cepat berbanding pendekatan vaksin yang lain dan biasanya dapat melalui proses untuk ujian klinikal dengan lebih awal. Teknologi vaksin yang menggunakan unsur tidak berjangkit ini juga dapat mensasarkan virus atau varian virus yang berbeza dengan cepat dan berpotensi khusus kepada pelbagai penyakit.

Namun begitu, proses pembangunan dan penghasilan yang cepat ini tidak bermakna peraturan dan piawaian yang telah ditetapkan oleh badan-badan bertanggungjawab diambil enteng oleh pihak pengeluar. Malah, untuk sesuatu vaksin melepasi proses bagi digunakan pada manusia dalam keadaan wabak berjangkit, EUA telah menetapkan kriteria yang ketat dan harus dipenuhi untuk memastikan keselamatan dan keberkesanan vaksin mencegah dan melawan virus penyebab COVID-19 terjamin. Tambahan lagi, potensi dan manfaat vaksin yang telah dikaji haruslah melebihi risiko dan kesan sampingannya. Beberapa pakar penyelidik berpendapat bahawa vaksin COVID-19 dapat membantu mencegah seseorang daripada mengalami penyakit parah walaupun mereka dijangkiti virus penyebab COVID-19. Melalui pemvaksinan juga, seseorang yang mempunyai kesihatan yang baik tidak hanya melindungi diri, malah orang yang berada di sekitar terutamanya yang berisiko tinggi untuk mendapat penyakit parah hasil jangkitan virus penyebab COVID-19.

Disebalik kelebihan vaksin ini, terdapat kekurangan yang tidak dapat dielakkan. Seperti yang diketahui umum, menurut YB Khairy Jamaluddin, kerajaan Malaysia telah membelanjakan lebih RM16.6 juta untuk pembelian peti sejuk beku. Pembelian ini adalah untuk menyimpan vaksin Pfizer yang harus disimpan pada suhu serendah -70 oC demi mengekalkan potensi keberkesanan vaksin ini apabila digunakan. Hal ini adalah disebabkan mRNA adalah sebuah molekul yang tidak stabil dan mudah rosak apabila berada dalam suhu bilik untuk jangka masa yang lama.

Kesimpulan

Usaha kerajaan dalam mendapatkan bekalan vaksin haruslah disambut baik oleh semua masyarakat dengan menyertai program imunisasi kebangsaan. Walaupun vaksin mRNA ini adalah yang pertama kali diluluskan oleh badan-badan penting, teknologi yang digunakan ini bukanlah sesuatu yang baru. Malah, pemprosesan, penilaian keberkesanan, dan keselamatan yang ketat ini seharusnya menjadi pemacu kepada keyakinan masyarakat untuk mengambil vaksin ini. Haruslah sentiasa diingati bahawa mencegah itu lebih baik daripada merawat dan buatlah pilihan yang bijak sebelum virus penyebab COVID-19 ini meragut nyawa orang tersayang. Oleh itu, sama-samalah kita menyahut seruan kerajaan menyertai program ini demi mengekang penyebaran virus penyebab COVID-19.

Rujukan

  • Baden, L. R., El Sahly, H. M., Essink, B., Kotloff, K., Frey, S., Novak, R., Diemert, D., Spector, S.A., Rouphael, N., Creech, C.B. & Zaks, T. (2021). Efficacy and safety of the mRNA-1273 SARS-CoV-2 vaccine. New England Journal of Medicine, 384(5), 403-416.
  • Iavarone, C., O’hagan, D. T., Yu, D., Delahaye, N. F., & Ulmer, J. B. (2017). Mechanism of action of mRNA-based vaccines. Expert review of vaccines, 16(9), 871-881.
  • Pardi, N., Hogan, M. J., Porter, F. W., & Weissman, D. (2018). Mrna vaccines — a new era in vaccinology. Nature Reviews Drug Discovery, 17(4), 261-279. doi:10.1038/nrd.2017.243.
  • Polack, F. P., Thomas, S. J., Kitchin, N., Absalon, J., Gurtman, A., Lockhart, S., Perez, J.L., Pérez Marc, G., Moreira, E.D., Zerbini, C. & Gruber, W. C. (2020). Safety and efficacy of the BNT162b2 mRNA Covid-19 vaccine. New England Journal of Medicine, 383(27), 2603-2615.
  • Ritchie, H., Ortiz-Ospina, E., Beltekian, D., Mathieu, E., Hasell, J., Macdonald, B., Roser, M. (2021, Februari 28). Coronavirus (covid-19) VACCINATIONS - statistics and research. Retrieved Februari 28, 2021, from https://ourworldindata.org/covid-vaccinations.
Cetak