COVID-19: Panduan untuk Pesakit Kanser Payudara

Pengarang:

Syarah Syamimi Mohamed1 , Rohimah Mohamud2 , Sabarisah Hashim3 , Maya Mazuwin Yahya4,6 , Tengku Ahmad Damitri Al-Astani Tengku Din5,6*

1Jabatan Patologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan, 16150, Kubang Kerian, Kelantan, Malaysia 2Jabatan Immunologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan, 16150, Kubang Kerian, Kelantan, Malaysia 3Jabatan Neurosains, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan, 16150, Kubang Kerian, Kelantan, Malaysia 4Jabatan Surgeri, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan, 16150, Kubang Kerian, Kelantan, Malaysia 5Jabatan Patologi Kimia, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan, 16150, Kubang Kerian, Kelantan, Malaysia 6Unit Penyelidikan dan Kesedaran Kanser Payudara, Hospital Universiti Sains Malaysia, 16150, Kubang Kerian, Kelantan, Malaysia

Pengarang Koresponden:

*Dr. Tengku Ahmad Damitri Al-Astani b Tengku Din

Jabatan Patologi Kimia, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan, 16150, Kubang Kerian, Kelantan, Malaysia Email: damitri@usm.my

Pendahuluan

Artikel ringkas ini membincangkan tentang penyakit coronavirus 2019 (COVID-19) dan kesannya kepada pesakit kanser payudara. Artikel ini juga memberi  panduan tentang cara untuk mengelakkan pesakit kanser payudara daripada terkesan dengan COVID-19. Seperti yang sedia maklum secara umum, kajian menunjukkan bahawa COVID-19 mempunyai kesan secara langsung kepada mereka yang mempunyai penyakit sampingan seperti lelah, jantung, kencing manis, darah tinggi terutama bagi mereka yang berumur antara 60 hingga 70 tahun. Golongan ini berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan COVID-19. Langkah pencegahan perlu dititik beratkan sama ada oleh pesakit kanser, ahli keluarga atau golongan yang berhadapan secara langsung dengan pesakit.

COVID-19

COVID-19 merupakan singkatan bagi penyakit coronavirus 2019, sejenis jangkitan yang disebabkan oleh coronavirus 2 sindrom pernafasan akut yang teruk (SARS-CoV-2). SARS-CoV-2 adalah patogen yang baru dikenal pasti yang belum pernah dilihat pada manusia dan sangat mudah berjangkit. Walaupun tergolong dalam kategori virus yang sama dengan SARS coronavirus (SARS-CoV), namun SARS-CoV-2 mempunyai kelainan dengan ciri-ciri yang tersendiri.

COVID-19 tersebar melalui titisan pernafasan apabila orang yang dijangkiti batuk atau bersin. Berdasarkan kajian yang dibuat, penyebaran melalui udara adalah cara penyebaran utama. Disebabkan ia sangat mudah berjangkit, maka untuk mengelakkan jangkitan dan memutuskan rantaian, pihak berkuasa (Kementarian Kesihatan Malaysia) telah mengambil langkah berjaga-jaga dalam pengurusan rawatan pesakit kanser, termasuklah pesakit kanser payudara. Pesakit kanser payudara juga tergolong dalam golongan yang berisiko tinggi jika dibandingkan dengan orang yang sihat.

Risiko pesakit kanser payudara dan COVID-19

Menurut analisis epidemiologi terkini kerajaan Malaysia, setakat 14 Oktober 2020, terdapat 16 880 kes positif, yang mana jumlah kematian sebanyak 163 kes. Secara keseluruhan, walaupun COVID-19 sangat mudah berjangkit, kebanyakan pesakit mempunyai gejala ringan dan kadar kematian yang rendah. Sebilangan besar kematian adalah melibatkan pesakit berusia lebih daripada 60 tahun, dan menghidap penyakit lain seperti darah tinggi, diabetes, dan penyakit kardiovaskular

Pesakit barah payudara, antara yang terkesan dengan wabak pandemik ini baik semasa saringan, diagnosis, rawatan dan penjagaan susulan. COVID-19 merupakan wabak yang baharu dikenal pasti, oleh itu maklumat berkenaan bagaimana virus ini memberi kesan kepada pesakit kanser adalah amat terhad. Perkaitan bagaimana COVID-19 memberi kesan kepada pesakit kanser dan sebaliknya adalah masih belum jelas. Hasil kajian di hospital Perancis dan New York membuktikan hasil dapatan bahawa pesakit kanser yang dalam fasa menerima rawatan lebih terdedah kepada komplikasi COVID-19 berbanding rawatan terhadap kanser itu sendiri.

 Kebanyakan pesakit yang mempunyai risiko tinggi berasa ragu-ragu sama ada selamat untuk melakukan temujanji rawatan atau perlu menangguhkan rawatan buat sementara waktu. Orang awam (bukan penghidap kanser) yang terjangkiti virus ini, kebiasaanya akan bertindak balas dengan kadar biasa terhadap sistem pernafasan dan kadar penyembuhan yang minimal. Meskipun begitu, bagi pesakit kanser payudara khususnya, akan mengalami tindakbalas yang berbeza.  Hal ini kerana kanser dan rawatannya telah memberi kesan kepada sistem imuniti tubuh pesakit dan membuatkan pesakit lebih rentan terhadap jangkitan penyakit lain termasuk COVID-19.

Antara rawatan kepada pesakit kanser payudara yang melemahkan system imuniti pesakit adalah seperti:

  1. Rawatan kemoterapi seperti Taxol, Taxotere, Cytoxan dan carboplatin.
  2. Terapi yang disasarkan seperti Ibrance, Kisqali, Verzenio dan Piqray,
  3. Imunoterapi, dan terapi radiasi.

 Bahkan pesakit yang tidak menerima rawatan kanser dalam tempoh yang panjang juga perlu berhati-hati kerana kesan terapi sebelumnya biasanya bertahan lama dan sistem imun masih diparas lemah. Fasa penyembuhan adalah pelbagai dan bergantung kepada beberapa faktor. Mereka yang pernah menerima rawatan tidak semestinya tidak mempunyai risiko yang tinggi bagi komplikasi  dari COVID-19.

Bagi pesakit kanser yang telah disahkan menghidap kanser jenis metastasis akan mengalami risiko pernafasan yang teruk sekiranya dijangkiti COVID-19. Hal ini kerana paru-paru pesakit kanser berada dalam keadaan lemah. Bagi pesakit kanser yang mempunyai sakit sampingan seperti penyakit paru-paru obstruktif kronik, keadaan jantung yang serius, penyakit buah pinggang yang kronik, diabetes jenis 2, penyakit sel sabit dan obes adalah berkemungkinan mengalami komplikasi serious sekiranya dijangkiti COVID-19. Golongan ini dijangka akan mengalami sakit yang lebih teruk berbanding pesakit biasa.

Meskipun semua pihak akur dengan prosedur operasi standard yang telah ditetapkan, namun disebabkan hospital merupakan tempat tumpuan ramai, maka, sama ada pesakit atau pelawat masih terdedah kepada insiden jangkitan silang. Memandangkan penyakit kanser payudara adalah penyakit kronik yang kebiasaannya tidak mengancam nyawa untuk jangka masa yang pendek, maka rawatan pesakit kanser payudara ditangguhkan seketika terutama untuk di kawasan yang mengalami peningkatan kes COVID-19.

Pihak hospital juga mengambil langkah untuk menangguhkan sebarang rawatan, pembedahan elektif, khidmat saringan dan prosedur yang dikira tidak diperlukan dengan kadar yang segera bagi mengelak risiko jangkitan COVID-19. Keputusan ini diambil bagi meminimakan pertemuan bersemuka sesama masyarakat demi menjaga kepentingan kedua-dua pihak, iaitu mengelakkan pesakit atau orang awam dari terdedah kepada jangkitan virus di hospital dan melindungi tenaga pekerja kesihatan. Sebaliknya, sebarang khidmat tenaga pekerja dan sumber rawatan akan didahulukan buat mereka yang dijangkiti wabak pandemik ini.

Justeru, semua pihak perlu cakna dengan mengambil tahu siapakah golongan yang berisiko untuk dijangkiti COVID-19. Sekiranya terdapat pesakit kanser bersama kita misalnya, kita perlulah mengetahui langkah-langkah pencegahan dan mempraktikkannya bagi mengurangkan risiko jangkitan.

Langkah keselamatan untuk pesakit kanser payudara

Memandangkan perkhidmatan perubatan sedikit tertangguh berikutan penularan wabak, keadaan ini boleh meyebabkan pesakit dan ahli keluarga mengalami tekanan. Namun, hal ini boleh ditangani sebaik mungkin dengan syarat pesakit perlu peka dengan keadaan dirinya serta sekeliling  di samping bekerjasama dengan pihak hospital dalam mendapatkan rawatan susulan. Terdapat beberapa langkah keselamatan yang perlu diambil berat oleh pesakit kanser payudara semasa pendamik COVID-19, antaranya ialah:

  1. Pastikan stok bekalan ubat boleh bertahan selama beberapa minggu atau bulan.
  2. Pesakit kanser payudara dan golongan yang berhadapan dengan pesakit, perlu ketatkan proses isolasi diri seperti kuarantin diri dirumah bagi mengelakkan jangkitan virus.
  3. Sekiranya anda telah dijadualkan untuk menjalani khidmat saringan, pembedahan atau rawatan spesifik serta ujian darah, tetapkan penjadualan semula anda dengan pihak doktor.
  4. Jika anda perlu melakukan kemoterapi secara fizikal di sepanjang tempoh kuarantin, adalah dinasihatkan untuk mengambil kimoterapi oral (jika terdapat) sebagai alternatif bagi mengurangkan kehadiran ke hospital buat sementara waktu.
  5. Implementasikan perkhidmatan teleperubatan secara dalam talian (online), seperti pertemuan menggunakan aplikasi yang sedia ada.
  6. Pastikan sistem sokongan di rumah pesakit seperti sokongan moral adalah kukuh dan kebolehaksesan teknologi secara dalam talian dalam keadaan yang baik untuk sebarang konsultasi secara maya.
  7. Sekiranya kanser berada pada tahap yang memerlukan pembedahan, adalah dinasihatkan pengambilan rawatan sistemik terlebih dahulu seperti kemoterapi.
  8. Jika pesakit yang telah mengalami rawatan pembedahan dan masih menunggu rawatan radioterapi, pesakit boleh melakukan penjadualan semula tarikh radioterapi.
  9. Untuk ujian saringan atau mammogram, anda boleh menangguhkan ujian sehingga 3 bulan kehadapan.
  10. Jika pesakit yang mempunyai ketulan pada payudara yang memerlukan rawatan segera, pesakit boleh terus berjumpa dengan doktor tetapi mengurangkan bilangan peneman dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti memakai pelitup muka, pencuci tangan dan menjaga jarak.

Penutup

Langkah penjagaan tambahan adalah perlu bagi pesakit kanser payudara bagi mencegah jangkitan COVID-19 memandangkan masih tiada vaksin yang mampu melawan penularan wabak ini. Sebarang bentuk pelaksanaan yang melibatkan rawatan pesakit akan sentiasa mengalami perubahan yang relevan dengan keadaan semasa. Walau bagaimanapun, pesakit disarankan sentiasa menjaga kesihatan dengan mengambil ubatan yang telah diberikan, mengamalkan gaya hidup sihat dan mematuhi prosedur standard dengan mengamalkan penjarakan fizikal di mana sahaja berada demi kemaslahatan bersama.

Rujukan.

  1. Breast Cancer News. Information About COVID-19 for Breast Cancer Patients. (2020). Retrieved from https://breastcancer-news.com/information-about-covid-19-for-breast-cancer-patients/
  2. ESMO Management and Treatment Adapted Recommendations in the Covid-19 Era: Breast Cancer. (n.d). Retrieved from https://www.esmo.org/guidelines/cancer-patient-management-during-the-covid-19-pandemic/breast-cancer-in-the-covid-19-era
  3. Esserman, L. (2020, March). Breast Care in the Time of Coronavirus (COVID-19). Retrieved from https://www.ucsfhealth.org/education/breast-care-in-the-time-of-covid-19
  4. Shaw, M.L. (2020, May 20). Patients with Breast Cancer, COVID-19 Fared Well in Recent Study. Retrieved from https://www.ajmc.com/newsroom/patients-with-breast-cancer-covid19-fared-well-in-recent-study
  5. Special Report: COVID-19’s Impact on Breast Cancer Care (September 30,2020). Retrieved from https://www.breastcancer.org/treatment/covid-19-and-breast-cancer-care#unique
  6. The Impact of COVID-19 on Breast Cancer Management. (2020). Retrieved from https://www.merit.com/articles/the-impact-of-covid-19-on-breast-cancer-management/
  7. Villines, Z. (2020, April 15). Medical News Today; How Does Breast Cancer Affect COVID-19 Risks?. Retrieved from https://www.medicalnewstoday.com/articles/breast-cancer-and-covid-19#handling-delays
  8. Wojciechowaki, B. (2020, July 30) Coronavirus (COVID-19): What people with breast cancer need to know. Retrieved from https://www.breastcancer.org/about_us/press_room/news/coronavirus
Cetak