Vitamin C Untuk Pencegahan dan Rawatan COVID-19: Adakah Berkesan?

Pengarang:
Azidah Abdul Kadir
Jabatan Perubatan Keluarga, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia,Kampus Keshatan, 16150 Kubang Kerian, Kelantan
Pengarang Koresponden:
Profesor Dr Azidah Abdul Kadir
Pakar Kesihatan Keluarga, Jabatan Perubatan Keluarga, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia, Kampus Keshatan, 16150 Kubang Kerian, Kelantan
Email: azidahkb@usm.my

Pada penghujung tahun 2019, muncul satu wabak radang paru-paru baharu yang bermula dari Wuhan China yang dikenali sebagai 2019-coronavirus (COVID 19). Dalam tempoh 30 hari, wabak ini telah tersebar ke seluruh dunia dan diiktiraf sebagai satu pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 11 Mac 2020. Pada tanggal 7 Jun 2020, penyakit ini telah menjangkiti seramai 6,983,732 orang dan menyebabkan 402,283 kematian di seluruh dunia.

Buat masa ini, tiada rawatan khusus untuk jangkitan ini ataupun vaksin yang dapat mencegah daripada terkena jangkitan. Dalam kekalutan, penyelidik, pakar perubatan termasuk orang ramai telah mencari cara untuk melindungi diri daripada virus atau mengurangkan komplikasi sekiranya dijangkiti. Salah satu rawatan yang tular di internet atau media massa pada masa ini ialah vitamin C.

Vitamin C atau dipanggil juga sebagai asid askorbik ialah nutrien yang mempunyai peranan sebagai antioksida yang menghalang radikal bebas daripada membuat kerosakan pada sel badan. Vitamin C dianggap berperanan dalam meningkatkan daya tahan badan terhadap penyakit berjangkit seperti selesema atau influenza, oleh itu suplemen vitamin C mungkin penting dalam mencegah dan merawat radang paru-paru. Pada masa ini, tiada bukti saintifik yang menunjukkan bahawa terdapat suplemen atau diet yang dapat mencegah atau merawat jangkitan COVID-19.  Artikel ini akan mengupas cara vitamin C digunakan dalam rawatan COVID-19 dan adakah supplemen vitamin C berkesan untuk pencegahan COVID-19.

Keperluan harian untuk vitamin C adalah sebanyak 90 mg sehari, tetapi wanita yang menyusukan anak memerlukan 120 mg sehari. Kebanyakan orang dapat memenuhi keperluan ini dengan diet harian sekiranya mengamalkan pemakanan yang mempunyai sayur-sayuran dan buah-buahan. Sebagai contoh, sebiji oren dapat membekalkan sekitar 53 mg vitamin C dan 1 cawan brokoli yang dimasak memberikan 160 sebanyak mg vitamin C.

Vitamin C mempunyai pelbagai kebaikan untuk badan. Selain fungsi antioksida, yang mempercepatkan penyembuhan luka, mencantikkan kulit dengan meningkatkan pengeluaran kolagen dan meningkatkan imuniti. Dalam kajian kegunaannya untuk selesema biasa, vitamin C tidak dapat mencegah jangkitan selesema tetapi mungkin dapat mempercepatkan kadar penyembuhan selesema tersebut. Bukti saintifik untuk rawatan selsema adalah tidak kukuh. Manakala, bukti saintifik terhadap peranan vitamin C untuk mencegah atau merawat radang paru-paru juga masih belum kukuh. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa kajian yang menunjukkan bahawa rawatan intravena vitamin C dengan dos yang tinggi dapat mengurangkan tempoh unit rawatan rapi yang diterima pesakit radang paru-paru sebanyak 8% dan mengurangkan tempoh pesakit menerima alat bantuan pernafasan sebanyak 18.2%.

Berdasarkan informasi ini, vitamin C telah digunakan dalam rawatan COVID-19 untuk pesakit yang mempunyai komplikasi radang paru-paru dan kajian telah dijalankan untuk melihat keberkesanan vitamin C untuk perkara yang sama. Terdapat sebuah artikel yang diterbitkan oleh Chinese Journal of Infection Diseases, the Shanghai Medical Association yang memperakukan kegunaan intravena vitamin C untuk pesakit COVID-19 yang memerlukan rawatan di hospital.

Pada masa ini, terdapat satu kajian klinikal yang baru didaftar untuk mengkaji keberkesanan intravena vitamin C untuk merawat pesakit COVID 19. Hal ini adalah kajian klinikal yang pertama untuk menilai keberkesanan vitamin C dengan dos sebanyak 2400mg sehari untuk rawatan selama tujuh hari untuk pesakit COVID-19. Dalam kajian ini, mereka akan menilai daripada segi tempoh rawatan rapi yang diberikan, kegunaan alat bantuan pernafasan, kadar kematian, kadar kerosakan organ dalaman serta kegunaan ubat kritikal. Kajian ini dijangka akan siap pada bulan September 2020.

Penting diingatkan bahawa rawatan vitamin C bukan satu rawatan standard yang diiktiraf untuk COVID-19 buat masa ini. Walaupun dos tinggi vitamin C intravena saat ini sedang diuji untuk mengetahui sama ada dapat meningkatkan fungsi paru-paru pesakit COVID-19, tidak ada bukti yang menunjukkan bahawa suplemen vitamin C oral dan menggunakan dos yang tinggi dapat membantu mencegah daripada terkena penyakit ini.

Sekiranya anda berniat untuk mengambil vitamin C sebagai suplemen, pastikan anda mengambil dalam dos yang betul dan suplemen yang berkualiti. Dos yang boleh diambil ialah sekitar 250 – 2000 mg sehari. Diingatkan bahawa dos yang tinggi boleh memberikan kesan sampingan seperti cirit birit dan juga batu karang dalam beberapa kes.  Pengambilan vitamin C juga boleh mempengaruhi beberapa jenis ubat lain seperti kemoterapi, zat besi atau ubat kolesterol.

Rujukan

  1. Carr AC. A new clinical trial to test high-dose vitamin C in patients with COVID-19. Critical Care. 2020;24(1):133.
  2. Cheng RZ. Can early and high intravenous dose of vitamin C prevent and treat coronavirus disease 2019 (COVID-19)? Med Drug Discov. 2020;5:100028-.
  3. Kakodkar P, Kaka N, Baig MN. A Comprehensive Literature Review on the Clinical Presentation, and Management of the Pandemic Coronavirus Disease 2019 (COVID-19). Cureus. 2020;12(4):e7560-e.
  4. Karina Lichtenstein. Can Vit C prevent and treat corona virus. [Internet]. MedicineNet Health News. [cited 2020 Jun 6]. Available from: https://www.medicinenet.com/script/main/art.asp?articlekey=228745
  5. Li J. Evidence is stronger than you think: a meta-analysis of vitamin C use in patients with sepsis. Critical Care. 2018;22(1):258.
  6. Padhani ZA, Moazzam Z, Ashraf A, Bilal H, Salam RA, Das JK, et al. Vitamin C supplementation for prevention and treatment of pneumonia. Cochrane Database of Systematic Reviews. 2020(4).
  7. Savanna Shoemaker. Can Vitamin C Protect You from COVID-19? [Internet]. Healthline. [cited 2020 Jun 6]. Available from: https://www.healthline.com/nutrition/vitamin-c-coronavirus#vitamin-c-immunity
Cetak