Serangan Covid-19, tindak balas imun dalam tubuh dan cara untuk meningkatkannya

Pengarang:

Norhanani Mohd Redzwan1, Noor Suryani Mohd Ashari1, Nurul Khaiza Yahya1

1Jabatan Imunologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan, 16150 Kubang Kerian, Kelantan

Pengarang Koresponden:

Dr. Norhanani Mohd Redzwan

Jabatan Imunologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan, 16150 Kubang Kerian, Kelantan

Emel: hanani.redzwan@usm.my

Pengenalan

Dunia telah mengalami serangan virus corona buat pertama kali pada tahun 2002 - 2003, iaitu SARS-CoV dan pada tahun 2011 iaitu MERS-CoV. Sehingga Oktober 2021, sebanyak 239,437,517 kes yang disahkan positif Covid-19 termasuk 4,879,235 kematian di seluruh dunia. Ejen penyebab untuk   kedua-dua kes (SARS-CoV dan MERS-CoV) adalah virus corona spesis baru yang terkandung dalam genus Beta coronavirus.

Wabak SARS-CoV (Covid-19) muncul buat kali pertama di Wuhan, China pada penghujung 2019. Penularan jangkitan berlaku akibat daripada hubungan rapat dari satu individu ke individu yang lain. Antara gejala serius yang dialami oleh individu yang dijangkiti adalah masalah pernafasan yang teruk. Individu yang lebih berusia dan mempunyai pelbagai komplikasi kesihatan adalah lebih terdedah kepada bahaya virus ini. Walaupun tiada rawatan khusus untuk merawat penyakit ini, namun terdapat ubat tertentu yang telah digunakan sekurang-kurangnya bagi merawat gejala pada pesakit Covid-19.

Sistem imun dalam tubuh manusia 

Tubuh manusia mempunyai dua sistem peredaran iaitu sistem peredaran darah dan sistem peredaran limfatik (dipanggil juga sebagai sistem imun tubuh). Kedua-dua sistem ini merupakan suatu kurniaan Tuhan yang amat menakjubkan. Sistem peredaran darah berfungsi untuk mengalirkan darah yang membawa oksigen, nutrien, hormon dan pelbagai komponen penting ke seluruh tubuh bagi menjamin kelangsungan hidup seorang manusia. Manakala sistem limfatik berfungsi untuk melindungi tubuh manusia bagi melawan sesuatu jangkitan samada jangkitan bakteria, fungi, parasit atau virus.  Sebagaimana sistem peredaran darah, sistem limfatik ini juga bekerja tanpa kita sedari. Namun, tahukah anda betapa pentingnya sistem ini? Artikel ini akan mengupas lebih lanjut tentang mekanisme imun dalam tubuh manusia melalui sistem limfatik di dalam memerangi pelbagai jangkitan, khususnya jangkitan virus Covid-19.

Secara umumnya, sistem peredaran limfatik terdiri daripada organ-organ imun seperti sumsum tulang, limpa, tonsil, timus, nodus limfa dan cecair limfatik serta sel-sel imun seperti sel pembunuh semulajadi (natural killer cell), limfosit, basofil, neutrofil, eusinofil dan monosit. Organ-organ dan sel-sel ini ibarat jentera dan askar-askar pertahanan dalam tubuh kita yang saling bekerjasama bagi memastikan tahap kesihatan seseorang individu sentiasa berada dalam keadaan baik. Sel-sel imun bergerak melalui sistem peredaran limfatik ini. Cecair limfa mempunyai komposisi yang menyerupai plasma dan cecair interstitial. Ia berfungsi untuk mengangkut partikel asing seperti bakteria dan virus untuk dimusnahkan oleh sel-sel imun.

Di dalam sistem peredaran limfatik juga, bakteria atau virus yang masuk ke dalam tubuh akan bergerak melalui peredaran darah dalam arteri yang kemudiannya memasuki kapilari darah. Daripada kapilari darah, bakteria atau virus tersebut bergerak masuk pula ke cecair interstitial, kapilari limfa, salur limfa dan seterusnya ke nodus limfa untuk dimusnahkan oleh sel-sel imun secara fagositosis. Fagositosis bermaksud memakan dan memusnahkan bakteria atau virus. Begitulah mekanisme yang berlaku dalam tubuh manusia, di mana sel-sel imun akan sentiasa bergerak melalui salur limfa dan salur darah di keseluruhan bahagian tubuh untuk mencari dan membunuh bakteria atau virus yang masuk. Gambarajah 1 menunjukkan anatomi sistem  limfatik dalam tubuh manusia.rajah-1.jpg

Gambarajah 1. Gambarajah menunjukkan jaringan saluran dalam sistem peredaran limfatik yang terdapat di seluruh tubuh manusia. Cecair limfa bergerak secara perlahan di keseluruhan bahagian tubuh melalui jaringan ini di mana kapilari limfa berinteraksi dengan kapilari darah dalam ruang interstisial dalam tisu. Cecair interstitial dalam tisu memasuki kapilari limfa dan bakteria atau virus di dalamnya akan  di proses oleh sel-sel imun tubuh di dalam nodus limfa.  (Adaptasi daripada https://courses.lumenlearning.com/microbiology/chapter/anatomy-of-the-circulatory-and-lymphatic-systems).

Sistem imun tubuh boleh dibahagikan kepada dua kategori tindak balas, iaitu tindak balas bawaan (innate immune response) dan tindak balas adaptif (adaptive immune response). Di dalam tindak balas bawaan, terdapat sejenis sel yang dipanggil sebagai sel pembunuh semulajadi (NK killer cells) yang berfungsi untuk mengesan kewujudan sel perumah yang telah dijangkiti bakteria atau virus. Sel pembunuh semulajadi ini akan melakukan aktiviti sitotoksik ke atas  sel perumah tersebut. Aktiviti sitotoksik bermaksud aktiviti memusnahkan sel perumah yang dijangkiti bakteria atau virus. Hasil daripada aktiviti ini, sitokin interferon gamma (IFN- γ) dikeluarkan dalam kuantiti yang banyak bagi menghapuskan sel-sel perumah lain yang juga telah dijangkiti.

Berbeza dengan tindak balas adaptif, terdapat dua jenis sel utama yang lebih spesifik dan bertanggungjawab untuk melindungi tubuh iaitu sel T dan sel B. Sel T yang matang akan membahagi pula kepada dua jenis sel iaitu sel T pembantu (helper T cell, CD4+) dan sel T sitotoksik (cytotoxic T cell, CD8+). Sel T CD8+ akan menghapuskan sel perumah yang telah dijangkiti virus secara serta merta dengan menghasilkan sitokin tumor necrosis factor-alpha (TNF-α) dan sitokin IFN-γ. Manakala sel T CD4+ pula akan membantu limfosit B bagi menghasilkan antibodi untuk membunuh dengan cara meneutralkan virus atau sel-sel perumah yang telah dijangkiti virus (Gambarajah 2).

rajah2.png

Gambarajah 2. Tindak balas imun terhadap virus. (A) Tindak balas bawaan: Sel pembunuh semulajadi (NK cells) mengenali sel yang dijangkiti melalui antigen virus, melakukan aktiviti sitotoksik ke atas sel tersebut dan menghasilkan sitokin IFN-γ untuk memusnahkan sel-sel lain yang juga telah dijangkiti. (B) Tindak balas adaptif: Penghasilan antibodi       yang spesifik terhadap antigen virus dangan bantuan sel T CD4+. Manakala sel T CD8+ akan memusnahkan sel yang dijangkiti virus secara serta merta.

 

Mekanisme serangan Covid-19 ke atas tubuh manusia 

Covid-19 adalah virus RNA yang berbentuk seperti mahkota dengan diameter antara 60−140 nm. Di salah satu sisinya terdapat satu permukaan yang boleh menghubungkannya dengan reseptor angiotensin-converting enzyme 2 (ACE2). Tuhan telah menciptakan ACE2 ini pada sel dalam tubuh manusia seperti sel paru-paru, sel jantung, sel pakreas, sel hati, sel buah pinggang, sel otak dan sel usus. Dalam serangan Covid-19, ACE2 adalah reseptor utama yang akan bergabung dengan virus jahat ini.

Secara ringkasnya, apabila virus ini memasuki sistem pernafasan melalui titisan cecair samada dari aktiviti pernafasan, percakapan, batuk atau bersin, pepaku protein (protein spike) virus Covid-19 akan mengikat ACE2 yang terdapat pada permukaan sel perumah, sehinggalah ia akhirnya berjaya memasuki sel perumah. Beberapa proteinase transmembran, seperti transmembrane protease serine 2 (TMPRSS2) dan domain metallopeptidase disintegrin 17 (ADAM17) juga turut serta dalam proses ini. Sebagai contoh, SARS-CoV-2 menggunakan TMPRSS2 untuk memproses protein pada dinding sel perumah. Sel-sel perumah yang telah dijangkiti dan sel-sel inflamasi yang dirangsang oleh antigen virus seterusnya menghasilkan sitokin pro-inflamasi (PIC) dan kemokin. PIC dan kemokin ini pula berfungsi untuk mengaktifkan lagi tindak balas imun tubuh bagi memerangi virus. Malangnya, sel-sel  yang telah dijangkiti virus Covid-19 ini akan tersebar dengan cepat ke seluruh tubuh melalui sistem peredaran darah. Keadaan inilah yang menjadikan virus Covid-19 boleh menjangkiti organ-organ lain yang juga mempunyai ACE2 di permukaan sel- selnya (Gambarajah 3).

Jika sistem imun tubuh seseorang adalah lemah, antibodi tidak dapat dihasilkan secara optimum dan apabila lambat menerima rawatan, ia akan menyebabkan kegagalan fungsi organ-organ penting dalam tubuh yang boleh  membawa kepada kematian.

rajah3.jpg
Gambarajah 3. Mekanisme serangan virus Covid-19 di dalam tubuh manusia.Virus SARS-CoV-2 memasuki sel paru-paru melalui reseptor ACE2. Apabila  berlakunya kemasukan ini, PIC akan mengaktifkan proses  fagositosis terhadap sel-sel perumah yang dijangkiti. Sel-sel yang dijangkiti ini kemudiannya bergerak ke dalam sistem peredaran dan di bawa ke seluruh bahagian dalam tubuh.  Seterusnya, virus dalam sel yang dijangkiti ini menjangkiti ACE2 di sel-sel lain pula yang akhirnya menyebabkan kerosakan pelbagai organ (Adapatasi daripada https://ccforum.biomedcentral.com/articles/10.1186/s13054-020-03120-0)

Oleh kerana masih belum ada ubat khusus untuk merawat pesakit COVID-19, maka sistem imun tubuh yang kuat merupakan kaedah terbaik untuk melawan penyakit ini. Selagi sistem imun tubuh seseorang individu itu berada dalam keadaan baik, ia akan dapat mengawal jangkitan virus Covid-19. Individu tersebut tidak akan mempunyai gejala dan merasakan tubuh berada dalam keadaan sihat. Walaubagaimanapun, perlu diingatkan, individu sihat yang telah dijangkiti ini masih boleh menjadi pembawa virus Covid-19 dan berupaya menjangkiti individu lain disekelilingnya.

 

Cara untuk menguatkan sistem imun tubuh terhadap jangkitan virus. 

1. Vaksinasi

Sehingga Oktober 2021, sebanyak 6,262,445,422 dos vaksin telah diberikan. Sejarah vaksinasi bermula sejak kurun ke 16 di China diikuti dengan penghasilan vaksin cacar pada tahun 1796 oleh Doktor Edward Jenner. Semenjak itu, lebih daripada 20 penyakit yang mengancam nyawa telah dapat dibendung dengan vaksin. Vaksinasi atau imunisasi pada masa ini telah berjaya mencegah 2-3 juta kematian setiap tahun akibat penyakit seperti difteria, tetanus, pertusis, influenza dan campak.

Sewaktu jangkitan, sel limfosit T memori dan limfosit B memori dihasilkan bagi memberikan imun serta merta jika terdapat jangkitan sama di masa akan datang. Namun begitu jangkitan sebegini boleh mendatangkan gejala penyakit, malah ada yang membawa maut. Vaksin membantu meningkatkan imun semula jadi tubuh dengan cara seolah-olah meniru jangkitan sebenar. Walau bagaimanapun jangkitan ini tidak akan menyebabkan penyakit tetapi menyebabkan sistem imun menghasilkan sel limfosit T dan antibodi oleh limfosit B, dengan lebih efektif. Namun ada ketikanya berlaku gejala ringan seperti demam selepas vaksinasi dan ini merupakan tindak balas normal tubuh manusia.

Setelah jangkitan tiruan ini hilang, tubuh ditinggalkan dengan bekalan sel limfosit T memori dan sel limfosit B memori yang banyak yang akan mengingati bagaimana hendak melawan penyakit itu pada masa akan datang. Namun proses penghasilan sel limfosit T dan sel limfosit B ini mengambil masa beberapa minggu selepas vaksinasi. Oleh itu, ada kemungkinan seseorang yang mendapat jangkitan sebelum atau sejurus selepas vaksinasi boleh mengalami gejala penyakit kerana vaksin belum dapat memberikan perlindungan sepenuhnya.

Penyelidik di seluruh dunia kini sedang dan telah pun menghasilkan vaksin yang dapat mengenali dan menyekat virus yang menyebabkan COVID-19 secara selamat dan berkesan menjelang 2021. Bagi menghasilkan  vaksin yang selamat dan berkesan, ianya melalui suatu rangkaian proses kajian yang sangat terperinci dan menyeluruh (Gambarajah 4).

Jenis-jenis vaksin yang berpotensi untuk melawan Covid-19 samada telah dihasilkan atau pun masih dalam kajian:

 rajah4.jpg

Gambarajah 4. Penghasilan vaksin yang melibatkan beberapa peringkat penting.

Sehingga kini terdapat 52 vaksin dalam ujian klinikal yang dilakukan ke atas manusia, dan sekurang-kurangnya 86 vaksin praklinikal sedang dalam penyelidikan aktif ke atas haiwan.   Terdapat juga  vaksin-vaksin yang telah pun  digunakan secara meluas dan vaksin-vaksin ini terbukti selamat dan  mendapat kelulusan daripada pihak berwajib seperti The Food and Drug Administration (FDA) dan National Pharmaceutical Regulatory Agency (NPRA).

2. Gaya hidup sihat

Oleh kerana sistem imun adalah yang utama dalam mencegah jangkitan masuk ke dalam badan, beberapa langkah perlindungan asas terhadap COVID-19 seperti berikut boleh diambil.

a) Makanan seimbang

Amalkan memakan empat makanan seimbang yang merangkumi protein, karbohidrat, lemak baik dan serat mengikut piramid makanan. Protein adalah penting untuk mendorong antibodi melawan jangkitan. Jika tidak dapat memenuhi keperluan protein melalui makanan seperti susu, ikan, telur atau ayam, adalah disarankan untuk memilih suplemen protein yang dapat dicerna seperti protein kacang soya.

b) Lemon dan bawang putih

Pengambilan lemon dan bawang putih boleh meningkatkan sistem imun tubuh sekali gus mengurangkan risiko dijangkiti Covid-19. Ini kerana dua bahan semula jadi ini antara makanan unggul yang memiliki banyak khasiat dan amat baik untuk kesihatan tubuh dalam merawat penyakit tertentu. Penggunaan dan pengambilan bawang putih sudah lama diamalkan iaitu sejak ribuan tahun lalu ketika tamadun Mesir, Mesapotamia dan China untuk mengelakkan selsema disebabkan virus. Bawang putih tidak dapat mengelakkan seseorang daripada dijangkiti Covid-19, tetapi boleh mengurangkan risiko dijangkiti. Jumlah vitamin C yang diperlukan setiap orang adalah antara 60 hingga 90 miligram (mg) sehari. Sebiji lemon mengandungi 30mg vitamin C. Vitamin C menyokong sistem imun yang  sempurna. Apabila sistem ini berfungsi secara optimun, tubuh kurang terdedah  kepada sebarang jangkitan virus termasuk Covid-19.

c) Coklat

Koko mengandungi sebilangan besar polifenol antioksidan yang kuat. Mengikut kajian, koko terbukti mempunyai kesan terhadap tindak balas antibodi sel dan sistem antibodi. Pakar mengesyorkan makan coklat gelap dengan sekurang- kurangnya 70% pepejal koko. Tetapi lakukan secara sederhana kerana coklat juga mengandungi sejumlah besar lemak tepu dan gula.

d) Tingkatkan Microbioma

Saluran pencernaan mengandungi 10 hingga 100 trilion organisma yang dikenali sebagai mikrobioma iaitu bakteria, kulat, dan protozoa. Kajian menunjukkan, pada asasnya, selagi mikrobioma usus lengkap dan pelbagai, sistem imun tubuh akan berfungsi secara optimum. Makan makanan yang sihat seperti diet mediterranean, makanan super (superfood) dan minum probiotik.

e) Tidur yang cukup

Sistem ketahanan badan menjadi aktif semasa tidur. Semasa tidur, tubuh yang dalam keadaan rehat akan menghasilkan unsur-unsur tenaga dan tekanan oksidatif untuk meneutralkan radikal bebas yang boleh merosakkan sel dan membersihkan sistem imun.

f) Latihan fizikal

Latihan fizikal juga dapat meningkatkan sistem imun tubuh. Semasa latihan intensiti sederhana dilakukan, tubuh akan melepaskan sel-sel imun seperti monosit, neutrofil dan sel pembunuh semula jadi (natural killer cells) serta dapat menggerakkan sel-sel ini untuk   bergerak dangan lebih cepat. Senaman juga mengaktifkan penghasilan antibodi, mengesan dan meneutralkan serangan luaran. Dalam satu kajian pada tahun 2012, sekumpulan orang yang berolahraga didapati mempunyai tindak balas antibodi yang lebih besar terhadap vaksin pneumokokus daripada kumpulan kawalan.

g) Berenang di dalam air sejuk

Berenang dengan kerap di dalam air sejuk meningkatkan sistem imun. Penurunan suhu badan mengakibatkan peningkatan ketara dalam limfosit T dan sel pembunuh semula jadi dalam darah. Dalam satu kajian, berenang di didalam air sejuk menyebabkan peningkatan tahap molekul yang melawan keradangan. Kajian juga telah menunjukkan berenang di air sejuk secara berkala mungkin memiliki efek anti-tumor.

h) Berhenti merokok

Sama ada secara langsung atau tidak, asap tembakau memberi kesan besar kepada sistem imun. Merokok mempunyai kesan penuaan, meningkatkan jumlah sel proradang, dan meningkatkan risiko mengalami alergi dan asma. Perokok juga mempunyai tahap limfosit B pengatur (B regs) yang lebih rendah, yang sangat penting dalam tindak balas imun tubuh. Merokok terbukti mengakibatkan pelbagai jenis penyakit serta boleh melemahkan sistem imuniti manusia. Keadaan itu sekali gus meningkatkan risiko jangkitan bakteria dan virus termasuk wabak Covid-19. Penelitian dan analisa awal berkaitan sejarah   merokok dan faktor risiko penyakit berjangkit yang telah dijalankan ke atas 86 daripada jumlah pesakit Covid-19 yang telah meninggal dunia di Malaysia, didapati 19.8% (17 orang) adalah terdiri daripada golongan perokok. Bagi kes kematian Covid-19 yang tidak mempunyai sejarah penyakit kronik tetapi merokok, jumlah kematiannya adalah lebih tinggi berbanding kes kematian Covid-19 yang bukan perokok atau 17.6% berbanding 12.1%. Pada 27 Mei 2020 WHO mengeluarkan kenyataan yang golongan perokok berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi yang lebih teruk jika dijangkiti virus Covid-19. Ini juga disokong oleh beberapa kajian-kajian lain yang dijalankan di luar negara.

i) Kurangkan stres

Apabila berlaku stres, badan melepaskan hormon yang boleh merosakkan sistem imun tubuh. Meditasi dan mendengar muzik yang menenangkan adalah baik untuk menguruskan stres. Hubungan sosial juga sangat penting. Penjarakan fizikal tidak semestinya penjarakan emosi. Sentiasa menghubungi rakan dan keluarga melalui Facetime, Skype atau Zoom adalah disarankan.

Kesimpulan

Sistem imun tubuh manusia mempunyai mekanisma yang sistematik dan unik bagi menghalang jangkitan Covid-19. Semua sel-sel imun di dalam tubuh akan saling berinteraksi di antara satu sama lain bagi melawan jangkitan ini. Namun, tubuh  yang lemah tidak akan dapat bertahan. Oleh kerana belum ada ubat khusus bagi jangkitan Covid-19, meningkatkan sistem imun tubuh adalah kaedah terbaik iaitu dengan cara mengambil vaksinasi dan mengamalkan gaya hidup yang sihat. Sesungguhnya, kita perlu menggunakan semua sumber yang ada untuk memastikan tubuh sentiasa sihat dan terlindung dari penyakit berbahaya ini. Adalah penting juga untuk setiap individu menjaga diri dengan baik dan sentiasa ikuti panduan SOP yang telah ditetapkan oleh kementerian kesihatan. Mencegah lebih baik daripada merawat.

Rujukan

  1. Abdul K Abbas, Andrew H. Lichtman, Shiv Pillai. Strategies for vaccine Cellular and Molecular Immunology 7th Edition.
  1. Covid-19: Human Coronavirus Types. Centers for Disease Control and Prevention (CDC). (cited 15 Feb 2020). Available from: https://www.cdc.gov/coronavirus/types.html
  1. Douglas College. Douglas College Human Anatomy and Physiology 1 (1st ). Douglas College Publisher. 2017.
  1. Jonathan Corum, Sui-Lee Wee and Carl Zimmer. Coronavirus Vaccine New York Times. 2020 Nov 9.
  1. Jose Luis Munoz Carrillo, et al. Physiology and Pathology of Innate Immune Response Against IntechOpen Book Siries. 2017.
  1. Josephine Ma. Coronavirus: China’s first confirmed Covid-19 case traced back to November 17. South China Morning Post (scmp.com). 2020 Mac China.
  1. Laura Santambrogio. Immunology of the Lymphatic System. Springer 2013.
  1. Mary Lowth. Coronavirus: What are moderate, severe and critical COVID-19? Patient (cited 1 April 2020).
  1. National Institute or Allergy and Infectious Diseases. Understanding How Vaccines National Institute or Allergy and Infectious Diseases. (cited 25 Oct 2021). Available from: https://www.niaid.nih.gov/research/vaccines
  1. Roitt M., et al. Immunology 5th Edition. Morsby Publisher. 1998.
  1. Vaccine and Immunization. World Health Organization (cited 25 Oct 2021). Available from: https://www.who.int/health-topics/vaccines-and- immunization#tab=tab
  1. Wentou Ni, et al. Role of angiotensin-converting enzyme 2 (ACE2) in COVID-19. Critical 2020.
  1. WHO Coronavirus (COVID-19) Dashboard with Vaccination Data. World Health Organization (WHO). (cited 25 Oct 2021). Available from: https://covid19.who.int/
  1. Boost the Immune University of Maryland Medical System (cited on 25 Oct 2021).        Available  from: https://www.umms.org/coronavirus/what-to-know/managing-medical- conditions/healthy-habits/boost-immune-

system? cf_chl_jschl_tk =pmd_mX8b2sdp8L6.Ldl9eU2XLNjLXHao 8Ur8niLTEoRtb0k-1635133352-0-gqNtZGzNArujcnBszQil

  1. Mahmoud Alagawany, al. The Strategy of Boosting the Immune System Under the COVID-19 Pandemic. Frontiers in Veterinary Science. 2021, Vol.7: 1-17.
Cetak