Wanita Hamil Dan COVID-19

Pengarang:

Azidah Abdul Kadir

Jabatan Perubatan Keluarga, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, 16150, Kelantan

Pengarang Koresponden:

Azidah Abdul Kadir,

Pakar Perubatan Keluarga

Jabatan Perubatan Keluarga

Pusat Pengajian Sains Perubatan

Universti Sains Malaysia,

Kubang Kerian, 16150, Kelantan

Email address: azidahkb@usm.my

Pengenalan

‘Siti Sarah Pergi Jua...’ Itulah tajuk berita yang mengemparkan seluruh negara berkenaan seorang penyanyi bernama Siti Sarah Raisuddin yang meninggal dunia semasa hamil anak yang keempat akibat penyakit COVID-19. Kematian Siti Sarah telah membuka mata ramai orang mengenai kesan penyakit COVID-19 ke atas wanita yang hamil.

Umum mengetahui bahawa mereka yang mempunyai penyakit kronik seperti hipertensi, diabetes, sakit jantung dan strok berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi akibat penyakit COVID-19. Namun, masih ramai yang tidak mengetahui tentang kesan COVID-19 ke atas wanita yang hamil. Terdapat banyak informasi yang disebarkan dalam media massa menyebabkan masyarakat menjadi keliru dan tidak pasti tentang kesan jangkitan yang ditakuti ini. Malah, keadaan ini diburukkan lagi dengan dakyah tentang kesan vaksin COVID-19 ke atas wanita hamil atau mereka yang menyusukan anak.

Kehamilan menyebabkan wanita lebih berisiko untuk mendapat sebarang bentuk jangkitan kuman dan tidak menghairankan bahawa jangkitan virus boleh memberi kesan kepada kehamilan. Kajian telah menunjukkan bahawa pneumonia atau jangkitan kuman diparu-paru boleh menyebabkan risiko komplikasi yang tinggi kepada ibu dan juga bayi dalam kandungan. Sebagai contoh, virus influenza H1N1 atau virus Zika menunjukkan bahawa penyakit berjangkit boleh meningkatkan komplikasi dan bahkan boleh membawa maut pada wanita hamil. Kehamilan dianggap sebagai penyebab kepada status imuniti yang rendah dalam beberapa aspek, kerana imuniti ibu diubah untuk boleh bertoleransi dengan sel-sel asing iaitu janin dalam kandungan. Oleh itu, kehamilan mungkin menyebabkan wanita lebih mudah dijangkiti kuman termasuk bakteria dan virus.

Bagaimanakah kesan COVID 19 ke atas wanita hamil?

Kajian terkini menunjukkan bahawa wanita hamil mempunyai risiko yang sama seperti orang ramai untuk mendapat jangkitan COVID-19. Dalam erti kata lain, mereka mempunyai risiko yang sama untuk mendapat jangkitan ini, namun mereka lebih berisiko untuk mendapat komplikasi akibat jangkitan tersebut. Komplikasi ini dikategorikan sebagai risiko sederhana berbanding penyakit kronik seperti darah tinggi, diabetes, strok dan obesiti. Namun, harus diingatkan sekiranya mereka hamil dan mempunyai penyakit kronik, maka risiko itu akan meningkat.

Hampir 2/3 daripada wanita hamil yang mengidapi COVID-19 tidak mempunyai gejala ataupun mempunyai gejala ringan seperti demam selsema biasa. Ini adalah kerana, golongan ini melibatkan mereka yang berumur lebih muda berbanding keseluruhan populasi yang dijangkiti penyakit ini. Malah prevalens penyakit hipertensi dan diabetes juga rendah dalam kalangan golongan ini berbanding populasi biasa. Walau bagaimanapun, sebilangan kecil wanita hamil boleh mendapat komplikasi teruk akibat COVID-19 berbanding wanita yang tidak hamil. Risko ini meningkat terutama pada trimester ketiga.

COVID-19 adalah sejenis virus yang mempunyai potensi untuk berubah atau bermutasi serta melahirkan virus COVID-19 yang mempunyai ciri-ciri yang agak berbeza yang dipanggil sebagai varian atau strain. Perkara ini bukan sesuatu yang baru dan biasa terjadi apabila virus ini merebak dari satu perumah ke perumah yang lain. Sejak hujung tahun 2020, para saintis mendapati terdapat beberapa varian baru COVID-19 yang telah wujud. Diantara varian yang telah dikenalpasti kini adalah Alfa, Beta, Gamma dan Delta. Varian-varian ini memberikan kesan yang berbeza daripada segi keupayaan merebak, gejala jangkitan dan juga komplikasi akibat jangkitan. Varian-varian tersebut telah dikenali sebagai 'variant of Concern' (VOC), dan mereka biasanya dengan cepat menggantikan keturunan virus sebelumnya dalam populasi. Varian Delta virus ini nampaknya dikaitkan dengan penyakit yang lebih teruk bagi wanita hamil dan mereka lebih berisiko untuk dimasukkan ke unit rawatan rapi. (Zi Yi et al. 2020)

Apakah komplikasi jangkitan COVID-19 kepada wanita hamil?

Sebahagian kecil wanita hamil yang dijangkiti COVID-19 mempunyai risiko tinggi untuk dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi. Risiko ini lebih tinggi kepada mereka yang berumur lebih 35 tahun, mempunyai hipertensi, diabetes atau obesiti. Walaubagaimanapun, kajian menunjukkan kebanyakkan mereka dapat diselamatkan. Kajian terkini menunjukkan etnik memainkan peranan. Mereka yang berketurunan Asia dan berkulit hitam mempunyai risiko lebih tinggi untuk dimasukkan ke hospital. (Zi Yi et al. 2020)

Dibawah ini menunjukkan hasil kajian sistematik daripada 162 kajian seluruh dunia. (Zi Yi et al. 2020) Data ini melibatkan lebih 64000 wanita hamil yang dijangkiti COVID-19. Berikut adalah komplikasi yang berlaku kepada golongan wanita hamil yang mendapat COVID-19:

Komplikasi kepada ibu yang hamil adalah sama seperti yang dialami oleh golongan dewasa yang lain. Antara komplikasi tersebut adalah radang paru-paru, kesan pada jantung, kegagalan buah pinggang, penyakit tromboembolik (masalah pembekuan darah), neurologi (sakit kepala, sawan, lemah tubuh badan, kehilangan deria rasa dan bau, strok), masalah gastro usus dan hati serta masalah mental (kemurungan, stres dan keresahan). (Zi Yi et al. 2020) Komplikasi ini lebih tinggi sekiranya mereka mendapat jangkitan dalam usia kandungan yang melebihi 20 atau 26 minggu.

Walaupun kebanyakkan wanita hamil tidak mempunyai gejala sekiranya dijangkiti COVID-19, namun apa yang ketara adalah risiko kepada kandungan itu sendiri. Banyak data menunjukkan risiko meningkat bagi kelahiran pra-matang dan pembedahan Caesarian. Peningkatan risiko ini nampaknya lebih tinggi kepada pesakit dengan penyakit yang teruk atau kritikal, dan mempunyai masalah kesihatan lain. Demam dan kekurangan oksigen boleh meningkatkan risiko untuk kelahiran pra-matang, pecah air ketuban awal sebelum bersalin, dan corak degupan jantung janin yang tidak normal. Namun, komplikasi ini boleh juga berlaku kepada mereka yang mempunyai gejala ringan. Satu lagi komplikasi yang meningkat adalah risiko untuk mendapat darah tinggi semasa hamil yang dipanggil pre eklamsia ataupun sawan akibat darah tinggi semasa hamil yang dipanggil eklampsia.

Apakah komplikasi jangkitan COVID-19 kepada kandungan?

Data terkini menunjukkan bahawa jangkitan virus ini kemungkinan besar tidak mempengaruhi perkembangan janin dalam kandungan ataupun menyebabkan kecacatan. Tiada bukti juga yang menunjukkan bahawa jangkitan ini menyebabkan keguguran. Malah data tentang kematian janin dalam kandungan juga menunjukkan bahawa risiko itu sama seperti mereka yang tidak dijangkiti. Namun, isu kematian bayi semasa bersalin yang tinggi semasa pandemik ini yang dilihat di beberapa negara seperti India adalah disebabkan gangguan kepada perkhimatan jagaan kesihatan ibu dan anak.

Lebih daripada 95 peratus bayi yang baru lahir dengan positif ujian COVID-19 berada dalam keadaan baik. Sebilangan bayi yang baru lahir dari ibu yang dijangkiti telah mengalami gejala jangkitan ringan (iaitu, tidak memerlukan sokongan pernafasan), dan kebanyakan kes ini disebabkan oleh penularan daripada titisan pernafasan selepas kelahiran daripada ibu atau pengasuh lain dengan COVID-19.

Risiko penularan COVID-19 dari seorang wanita ke bayinya semasa hamil masih samar. Ada kajian yang menunjukkan bahawa wanita hamil boleh menjangkiti janin dengan COVID-19. Kemungkinan jangkitan kongenital yang telah dilaporkan berlaku sekiranya wanita tersebut berada dalam trimester ketiga atau dibuktikan mendapat jangkitan COVID-19 dalam tempoh 14 hari selepas kelahiran. Prevalens yang dilaporkan bagi jangkitan kongenital ini adalah sekitar kira-kira 2 peratus daripada jangkitan ibu. Kajian masih diperlukan untuk mengetahui sama ada bayi yang baru lahir mendapat COVID-19 dipengaruhi oleh cara kelahiran, kaedah penyusuan atau sama ada ibu dan bayi tinggal bersama. Penting untuk ditegaskan bahawa dalam kebanyakan kes bayi baru lahir yang dilaporkan mengalami COVID-19 sejurus selepas kelahiran, bayi tersebut tetap sihat.

Apakah kesan vaksin kepada wanita hamil atau menyusukan anak?

Meskipun ramai wanita yang sedar tentang keperluan vaksin untuk wanita hamil atau menyusukan anak, masih terdapat segelintir golongan yang masih ragu-ragu. Wanita hamil atau menyusukan anak disarankan agar menerima vaksin COVID-19. Data daripada United States America menunjukkan bahawa lebih daripada 148.000 wanita hamil telah menerima vaksin COVID-19 terutamanya vaksin mRNA, seperti Pfizer-BioNTech dan Moderna, dan mereka tidak mempunyai masalah kesan sampingan yang teruk. (Anna Franca et al. 2020)

Kesan sampingan vaksin ini juga adalah sama seperti orang biasa. Kesan sampingan yang pernah dilaporkan seperti sindrom trombosis dan trombositopenia yang dilaporkan selepas vaksin Oxford-AstraZeneca dan Janssen amat jarang berlaku.

Malah, jenis vaksin COVID-19 yang mengandungi virus hidup COVID-19 juga didapati tidak menyebabkan mereka yang menerima vaksin ini dijangkiti COVID-19. Kajian terbaru dari Israel menunjukkan bahawa wanita hamil yang menerima vaksin jenis mRNA COVID-19 mempunyai risiko yang lebih rendah untuk mendapat jangkitan ini berbanding mereka yang tidak menerima vaksin ini. (Royal College of Obstetrician & Gynaecologist 2021)

Apabila wanita hamil menerima vaksin mRNA COVID-19, badan mereka membina antibodi terhadap COVID-19. Kajian menunjukkan bahawa antibodi ini didapati dalam darah tali pusat bayi yang baru lahir. Ini mungkin menunjukkan bahawa vaksinasi COVID-19 semasa kehamilan dapat membantu melindungi bayi daripada COVID-19. Walaupun begitu, lebih banyak kajian diperlukan lagi untuk menentukan samada antibodi ini dapat memberikan perlindungan kepada bayi. Vaksin COVID-19 boleh diberikan kepada wanita hamil disemua peringkat kehamilan dan disyorkan supaya diberikan antara 14 – 33 minggu tempoh kehamilan (Kementerian Kesihatan Malaysia 2021). Bagi mereka yang hamil melebihi 34 minggu, mereka dinasihatkan untuk mendapatkan konsultasi doktor sebelum menjalani vaksinasi COVID-19. Jenis vaksin yang disarankan adalah jenis Pfizer-BioNTech, Sinoc atau Astra Zeneca. Buat masa ini vaksin campuran dan penggalak adalah tidak digalakkan bagi wanita hamil (Kementerian Kesihatan Malaysia 2021)

Kesimpulan

Wanita hamil disarankan untuk mengambil vaksin COVID-19 kerana mereka berisiko untuk mendapat komplikasi tinggi akibat COVID-19. Buat masa ini terdapat banyak bukti mengenai keselamatan dan keberkesanan vaksinasi COVID-19 semasa kehamilan telah ditemui. Bukti ini menunjukkan bahawa faedah menerima vaksin COVID-19 melebihi risiko vaksinasi.

Rujukan

Anna Franca Cavaliere, Alis Iuliana Carabaneanu, Federica Perelli, Daniela Matarrese, Tamara Brunelli, Patrizia Casprini, Pier Luigi Vasarri. (2020) Universal screening for SARS-CoV-2 in pregnant women admitted for delivery: how to manage antibody testing?. The Journal of Maternal-Fetal & Neonatal Medicine 0:0, pages 1-2.

Coronavirus (COVID-19) Infection in Pregnancy. Royal College of Obstetrician & Gynaecologist, 25 Ogos 2021 https://www.rcog.org.uk/globalassets/documents/guidelines/2021-08-25-

coronavirus-covid-19-infection-in-pregnancy-v14.pdf

Panduan Vaksinasi Untuk Ibu Mengandung dan Ibu Menyusukan Bayi. Kementerian Kesihatan Malaysia. 2021

https://covid-19.moh.gov.my/vaksin-covid-19/panduan/panduan-vaksinasi-untuk-ibu-mengandung-dan-ibu-menyusukan-bayi (Tarikh capaian: 20 Oktober 2021)

Ziyi Yang, Min Wang, Ziyu Zhu & Yi Liu (2020) Coronavirus disease 2019 (COVID-19) and pregnancy: a systematic review, The Journal of Maternal-Fetal & Neonatal Medicine, DOI: 10.1080/14767058.2020.1759541

Cetak