PEPERIKSAAN KLINIKAL DALAM NORMA BAHARU

Pengarang:

Che Ismail Che Lah1, Sakinah Mohamad1, Irfan Mohamad1,2

1Jabatan Otorinolaringologi-Surgeri Kepala & Leher, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia Kampus Kesihatan, 16150 Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

2Pejabat Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah & Latihan Ikhtisas), Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia Kampus Kesihatan, 16150 Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Pengarang Koresponden:

Profesor Dr Irfan Mohamad

Pejabat Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah & Latihan Ikhtisas),

Pusat Pengajian Sains Perubatan,

Universiti Sains Malaysia Kampus Kesihatan,

16150 Kota Bharu,

Kelantan, Malaysia.

Emel: irfankb@usm.my

Tel: 09-7676006

Sejarah Mengajar Kita

Pada bulan Mac 2020, negara telah mengalami gelombang kedua pandemik COVID-19 selepas ia baru saja menunjukkan tanda reda pada bulan-bulan sebelumnya. Kehadiran episod kali ini agak mendebarkan kerana peperiksaan klinikal sarjana perubatan yang saban tahun diadakan pada bulan April dan Mei kian menghampiri. Dengan pengalaman yang terhad, Majlis Dekan-dekan Fakulti Perubatan Malaysia telah mengambil keputusan setelah mendapatkan pandangan daripada banyak pihak termasuklah Kemeterian Kesihatan Malaysia (KKM) yang merupakan pemegang taruh yang besar dalam program sarjana perubatan, untuk mengangguhkan peperiksaan klinikal program sarjana perubatan pada Mei 2020. Ia bagi membolehkan para petugas kesihatan menumpukan perhatian dan tenaga kepada proses menghadapi ancaman gelombang kedua itu dengan lebih efektif, di samping mengurangkan pergerakan calon-calon, pemeriksa luar dan pesakit pada masa Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenakan sekatan perjalanan bagi mengekang penularan wabak selaras usaha memutuskan jangkitan wabak.

Sesungguhnya episod penangguhan peperiksaan pada Mei 2020 telah banyak mengajar pihak pengurusan Universiti Sains Malaysia (USM) dalam menangani isu-isu yang timbul termasuk mengambil keputusan tentang peperiksaan demi menjaga kualiti peperiksaan walaupun dalam keadaan norma baharu.

Rentetan sejarah itu, pelbagai prosedur operasi standard (SOP) telah dirangka untuk diimplemenkan dalam kerangka bersiap sedia untuk menjalankan peperiksaan ini pada masa akan datang jika gelombang ini masih menunjukkan tanda belum mahu reda.

Menepati Ramalan

Seperti dijangka, setahun selepas itu, jumlah kes baharu harian COVID-19, selain penggunaan katil di wad rawatan intensif hospital yang terlibat dengan perawatan kes COVID-19, serta peratus penggunaan pusat rawatan COVID-19 berisiko rendah (PKRC) masih menunjukkan angka-angka yang menggusarkan. Justeru Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) USM telah menggunakan SOP peperiksaan klinikal sarjana yang telah dirangka dan telah dicubaguna pada November 2020 bagi meneruskan kesinambungan usaha melahirkan pakar-pakar baharu tanpa tergendala lagi. Usaha ini amat penting untuk diteruskan memandangkan implikasi yang besar akan timbul jika peperiksaan ditunda lagi. Pelajar tahun akhir akan tertunda peperiksaan mereka yang akan mendatangkan kesan bukan sahaja dari segi logistik penempatan pakar KKM, bahkan hal-hal berkaitan pengurusan latihan seperti biasiswa dan kalendar akademik juga akan turut terkesan (1).

Desentralisai Kurangkan Transmisi

Salah satu langkah utama yang dilaksanakan ialah desentralisasi pusat-pusat peperiksaan (2). Sebelum ini, peperiksaan dijalankan di satu pusat sahaja iaitu semua calon dalam jumlah yang ramai daripada universiti yang mengambil bahagian, berkumpul di universiti penganjur yang biasanya ditetapkan secara penggiliran. Semua pemeriksa juga akan digerakkan ke pusat yang sama bagi membantu mengekalkan proses dan standard peperiksaan. Dengan adanya kaedah disentralisasi ini, pergerakan pelajar dan pemeriksa akan dapat dihadkan. Selain itu, peperiksaan juga dapat dilakukan dalam kumpulan pelajar, pemeriksa dan pesakit yang lebih kecil, kerana dua poin ini amat penting dalam mengurangkan kadar transimisi atau penularan perebakan, iaitu kurangkan pergerakan dan mengelakkan berada dalam kumpulan yang besar dalam ruang yang tertutup seperti suasana di wad atau klinik.

Pewujudan beberapa pusat peperiksaan ekoran desentralisasi ini diamalkan oleh hampir semua bidang kepakaran dan ia juga telah dipersetujui secara bersama untuk turut diamalkan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) lain, memandangkan setiap kepakaran klinikal ini dijalankan secara serentak bagi mengekalkan kualiti. Pada masa yang sama mematuhi SOP yang dikeluarkan oleh MKN. Kertas teori juga diduduki secara serentak di universiti masing-masing, dengan skrip jawapan turut dikumpulkan dan diperiksa secara bersama setelah dibahagi-bahagikan antara pemeriksa semua universiti dan pemeriksa KKM.

Kualiti Pesakit Terjaga

Peperiksaan klinikal sarjana perubatan merupakan proses yang melibatkan pesakit. Ini ialah kerana antara komponen penting peperiksaan ini ialah bahagian klinikal, yang merangkumi kes panjang dan kes pendek. Justeru antara cabaran untuk menjalankan peperiksaan klinikal pada musim pandemic ialah memastikan kuantiti dan kualiti pesakit yang digunakan semasa peperiksaan tidak terkompromi. Mendapatkan pesakit dari hospital luar USM merupakan suatu tradisi yang telah diamalkan sebelum ini, yang harus dikekalkan dan ia dilihat bukanlah suatu masalah.

Peperiksaan di PPSP sepertimana biasanya turut menggunakan pesakit dari Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Hospital Tanah Merah, Hospital Kuala Krai dan juga pesakit-pesakit yang dirujuk dari hospital luar Kelantan. Melihatkan kepada kehadiran pesakit dalam peperiksaan kali ini menampakkan seolah-olah ia berlaku seperti bukan dalam keadaan pandemik, selain yang nampak berbeza ialah perlukan pesakit memakai pelitup separuh muka, sama juga seperti khalayak luar sana, dan para doktor dan staf mengenakan PPE bagi mengurangkan risiko kepada semua pihak. Pesakit telah memberikan kerjasama yang memberangsangkan, dan tiada proses tambahan yang dikenakan memandangkan kehadiran pesakit di klinik pesakit luar pada hari-hari bukan peperiksaan juga menggunakan SOP yang sama iaitu saringan suhu badan, pengisian borang deklarasi kesihatan untuk menyemak mereka yang mungkin bergejala atau datang dari kawasan yang berisiko seperti kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), atau mempunyai sejarah kontak dan pergerakan ke kawasan panas atau ‘COVID-19 hotspot’. Jumlah pesakit yang mengambil bahagian dalam proses peperiksaan kali ini membuktikan keyakinan mereka terhadap proses yang dijalankan dan langkah-langkah proaktif yang telah diambil agar rambut yang ditarik dari tepung tidak putus dan tepung tidak pula berselerak.

Dalam sesetengah bidang kepakaran yang memerlukan pemeriksaan pesakit dalam jarak dekat seperti Otorinolaringologi (yang memerlukan pemeriksaan di dalam rongga saluran pernafasan atas di rongga mulut, hidung dan tekak) (3), dan Oftalmologi (calon dan pesakit berada dalam jarak yang dekat untuk pemeriksaan bahagian dalam mata), selain pemakaian PPE dan pematuhan SOP yang ketat, pesakit juga perlu menjalani ujian calitan (swab test) Antigen Rapid Test Kit (RTK-Ag) sebagai salah satu kaedah saringan dan semua keputusan ujian yang dijalankan adalah negatif.

Pengoptimaan Pemeriksa Berdekatan

Salah satu komponen penting dalam memastikan kesamarataan dan mengurang bias ialah dengan menjemput pemeriksa dari luar institusi. Dalam hal ini PPSP contohnya telah mendapatkan pemeriksa luar dari kawasan yang berhampiran iaitu dari HRPZII, Hospital Sultanah Nur Zahirah, Hospital Tengku Ampuan Afzan dan juga pemeriksa dari Fakulti Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Indera Mahkota di Kuantan.

Para pemeriksa dari negeri yang sama atau negeri berjiran boleh hadir secara fizikal ini adalah disebabkan mereka berada di zon yang sama pada waktu tersebut. Tambahan pula, semua pemeriksa sama juga dengan calon pada peperiksaan kali ini telah pun melengkapkan dos vaksin mereka yang kedua, lantas risiko untuk menyebarkan jangkitan akan turut dapat diminimakan walau itu tidak sekali-kali akan menafikan kepentingan SOP ketat yang telah dilaksanakan.

Pemeriksa Hadir Secara Maya

Selain menerapkan elemen norma baharu dalam pengajaran dan pembelajaran, kaedah peperiksaan juga telah menggunakan segala bentuk kemudahan prasarana teknologi dalam talian untuk mendapatkan pemeriksa dari luar USM secara maya dari Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Hal ini dimungkin dengan persediaan rapi yang dilakukan sebelum peperiksaan klinikal berlangsung, dengan sokongan staf teknikal yang sentiasa bersiapsedia pada bila-bila masa sepanjang peperiksaan yang didasari dengan prasarana teknologi maklumat yang baik di USM. Kombinasi faktor ini telah membuatkan perjalanan peperiksaan yang dijalankan dengan lancar sekali. Bukan sahaja sesi soal jawab (viva) dapat dijalankan dengan baik, bahkan sesi klinikal untuk pemeriksaan kes panjang dan kes pendek juga dapat dijalankan seolah-olah seperti pemeriksa maya ini berada bersama di ruangn klinik yang sama dengan pemeriksa yang hadir secara bersemuka yang terhad bilangannya. Maklum balas yang sangat positif diperoleh dari pemeriksa luar yang terlibat.

Masa Hadapan

Sekiranya ditakdirkan kita masih perlu berada lama dengannya COVID-19 dan segala limitasi yang terkait dengannya, kita tidak harus lagi menoleh ke belakang melihat sejarah menunda peperiksaan sebagai satu alternatif bahkan inovasi yang lebih baik dapat dizahirkan dari masa ke masa kerana teguh kita menang bersama.

Sesi viva klinikal yang dijalankan turut disertai oleh pemeriksa luar dalam talian secara siding video.

Pemeriksaan pesakit klinikal dapat dijalankan dengan pematuhan SOP yang ketat.

Rujukan

  1. http://www.kck.usm.my/index.php/news-media/1302-kualiti-peperiksaan-sarjana-klinikal-terjaga-walau-dalam-norma-baharu-hapus-kegusaran-pelajar
  1. Baharudin Abdullah, Aneeza Khairiyah, Irfan Mohamad. Challenges in Conducting Post Graduate Otorhinolarygology-Head and Neck Surgery Specialty Examination in the Time of Pandemic. Accepted in Medical Journal of Malaysia.
  2. Sekar R, Alexander A, Ganesan S. Challenges Faced by an Otolaryngology Resident During COVID-19 Pandemic: An Indian Perspective. Indian J Otolaryngol Head Neck Surg2021;73, 107–110.
Cetak