UJIAN COVID-19: CALITAN TANPA KESAKITAN

Pengarang:

Sakinah Mohamad1, Mohd Shaiful Nizam Mamat Nasir2, Haris Abadi Abdul Rahim3, Irfan Mohamad1,4, Mohamad Hamzah5

1Jabatan Otorinolaringologi-Surgeri Kepala & Leher, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia Kampus Kesihatan, Kota Bharu, Kelantan, Malaysia

2Jabatan Otorinolaringologi-Surgeri Kepala & Leher, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh, Pahang, Malaysia

3Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan, Universiti Malaysia Kelantan, Kota Bharu, Kelantan, Malaysia

4Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, 16150 Kota Bharu, Kelantan, Malaysia

5Klinik Pakar Otorinolaringologi, Hospital Pakar Perdana KPJ, Kota Bharu, Kelantan, Malaysia

Pengarang Koresponden:

Professor Dr. Irfan Mohamad

Jabatan Otorinolarongologi-Surgeri Kepala & Leher, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia Kampus Kesihatan, Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

irfankb@usm.my

PENGENALAN:

Setelah hampir satu tahun pandemik COVID-19 melanda dunia amnya dan Malaysia khasnya, selama itulah juga istilah-istilah perubatan serta pemahaman mengenainya telah mula dimasyarakatkan. Frasa-frasa yang lazimnya digunakan oleh mereka dalam bidang perubatan kesihatan awam seperti kuarantin, kontak rapat, pelitup separuh muka, penjarakan fizikal dan pelbagai nama yang digunakan untuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti PKP Diperketatkan (PKPD), PKP Bersyarat (PKPB), dan PKP Pemulihan (PKPP) telah mula menjadi bualan harian pada era norma baharu ini. Istilah-istilah ini telah dekat di hati orang awam kerana mereka telah, sedang dan akan menghadapinya.

Cuma ada satu lagi keperluan untuk diagnosis COVID-19 yang telah lama diperkenalkan, semenjak pandemik ini atau sebenarnya sebelum penyakit ini menjadi pandemik lagi iaitu ujian calitan nasofarinks (nasopharyngeal swab). Ujian ini walaupun namanya telah lama didengari, namun ramai yang masih belum mampu atau mahu tampil menjalaninya walaupun dikehendaki berbuat demikian oleh pihak berwajib.

MENGENALI NASOFARINKS

Secara anatominya, kedudukan nasofarinks atau pangkal hidung adalah di bahagian belakang (Rajah 1).

rajah1

Ia merupakan ruang paling atas pada bahagian farinks, terletak di antara lantai tulang tengkorak (skull base) dan lelangit lembut (soft palate). Diameter nasofarinks adalah lebih kurang 2 cm and tingginya adalah 4 cm. Ini bermakna ia bukan terletak di bahagian depan, atas atau tepi lubang hidung. Bahkan bahagian nasofarinks ini kedudukannya adalah selari dengan lantai hidung jauh di belakang sana.

Selain berfungsi sebagai saluran pernafasan bahagian atas, nasofarinks juga berfungsi untuk menapis dan melembabkan udara yang disedut memasuki hidung serta memerangkap zarah-zarah debu dan kuman yang disedut masuk ke dalam rongga hidung dan mengalirkannya melalui mekanisma pergerakan mukosiliari (mucocilary clearance) menuju ke arah belakang, iaitu menuju ke kawasan nasofarinks.

Sebab itulah calitan untuk menguji kehadiran virus COVID-19 diambil di bahagian nasofarinks kerana beban virus (virus load) yang banyak terperangkap di sini untuk memberikan keputusan yang tepat. Tambahan pula, ia merupakan lokasi yang boleh dicapai dan keputusannya boleh diterimapakai untuk sesuatu ujian saringan.

INSTRUMEN YANG DIGUNAKAN

Instrumen atau alat yang digunakan untuk membuat calitan adalah pencalit poliester kecil yang mempunyai batang halus yang panjang. Boleh diimaginasikan ia seperti penyedut minuman kecil atau putik kapas yang dipanjangkan bahagian rod plastiknya. Petugas kesihatan akan memasukkan pencalit nasofarinks ini menerusi dua bahagian, iaitu melalui dalam mulut dan hidung. Melalui rongga mulut, sampel di bahagian orofarinks (tekak) akan diperolehi, manakala kemasukan melalui rongga hidung ialah untuk mendapatkan sampel pada bahagian yang dikenali sebagai nasofarinks. Kedalamannya adalah beberapa inci, kira-kira jarak yang sama dari mulut atau hidung, ke telinga.

KAEDAH CALITAN

Sebelum melakukan apa-apa calitan, petugas kesihatan hendaklah bertanya sedikit sebanyak tentang riwayat kesihatan yang ringkas samada pesakit mempunyai masalah hidung tersumbat atau berdarah. Cuba elakkan belah hidung yang mempunyai masalah. Selain itu, adalah penting untuk petugas kesihatan benar-benar faham anatomi dan kejanggalan anatomi yang mungkin berlaku di nasofarinks dan rongga hidung seperti hipertrofi turbinat hidung (inferior turbinate hypertrophy), septum hidung yang bengkok atau senget, ketumbuhan contohnya polip hidung dan sebagainya. Manakala untuk kanak-kanak, adalah lebih baik sekiranya saiz diameter pencalit yang lebih kecil digunakan berbanding  alatan untuk dewasa.

Petugas kesihatan juga boleh menggunakan kaedah ‘Cold Spatula Test’ (CST) di mana pesakit diminta menutup mulut, kemudian batang spatula besi diletakkan pada bahagian depan lubang hidung dan pesakit diminta menghembuskan nafas perlahan-lahan seperti di dalam Rajah 2 (A). Corak pengewapan atau kondensasi pada batang spatula akan diperiksa sebelum memilih belah hidung yang akan dilakukan calitan tersebut (Rajah 2 (B-D)). Kawasan yang kurang atau tidak mempunyai kondensasi adalah akibat daripada hidung yang bermasalah tersumbat. Cuba elakkan mengambil apa-apa calitan nasofarinks pada belah hidung tersebut.

Rajah 2. Kondensasi dapat dilihat pada batang spatula besi setelah pesakit menghembus perlahan-lahan pada batang spatula besi (A): Kondensasi yang Normal (B); Tidak normal apabila sebelah hidung kurang kondensasi (C); dan kedua-dua hidung tiada kondensasi (D).

rajah2

Teknik calitan yang betul sepatutnya tidak mengakibatkan kesakitan yang melampau atau kecederaan sehingga berlaku pendarahan hidung. Oleh itu, ketika memasukkan pencalit nasofarinks, batang calitan mestilah dipegang seperti memegang pen, kemudian diarahkan biar selari dengan lantai hidung (atau sama paras dengan tragus telinga pesakit) dan terus ke belakang sehingga menyentuh bahagian nasofarinks (atau sehingga suatu rintangan dirasai) seperti di dalam Rajah 3 (A). Seterusnya batang calitan hendaklah diputar sekurang-kurangnya 4 kali mengikut/melawan arah jam selama sekurang-kurangnya 15 saat di dalam hidung sebelum dikeluarkan [2]. Adalah penting bagi petugas kesihatan untuk mematuhi prosedur operasi standard (Standard Operating Procedure, SOP) contohnya memakai ‘Personal Protective Equipment’ (PPE) dengan betul seperti yang telah ditetapkan oleh institusi terbabit sebelum memulakan prosedur calitan nasofarinks ini. Kepala pesakit hendaklah didongak sedikit sebelum memulakan calitan bagi memudahkan pengambilan sampel.

Rajah 3. Kaedah yang betul (A) dimana batang pencalit dipegang seperti memegang pen dan diarahkan selari dengan lantai hidung; dan kaedah yang salah (B) bagi calitan pada nasofarinks dimana batang pencalit dipegang tidak seperti memegang pen dan juga arah calitan tidak selari dengan lantai hidung.

rajah3

Manakala teknik calitan yang TIDAK BETUL adalah apabila calitan hanya dilakukan di depan hidung dan tidak kena pada bahagian nasofarinks, kecuali ia sememangnya henadka mengambil sampel dari lubang hidung. Arah calitan yang tidak selari dengan lantai hidung seperti di dalam Rajah 3 (B) dan tidak mengenai bahagian nasofarinks, tetapi mengenai bahagian pangkal otak, kawasan deria bau dan bahagian ‘turbinat tengah’ akan memberikan komplikasi akibat calitan kepada pesakit.

Antara komplikasi yang boleh berlaku jika teknik yang dilakukan tidak betul adalah seperti sakit atau ketidakselesaan yang melampau terutama jika pesakit ada masalah hidung. Selain itu, kecedaraan boleh berlaku pada kawasan deria bau menyebabkan pesakit menjadi kurang atau hilang deria bau, walaupun kemungkinan ini adalah rendah. Teknik yang tidak betul juga boleh menyebabkan kecederaan pada struktur dalam hidung sehingga menyebabkan pendarahan hidung.

PAUTAN VIDEO

Pautan https://www.youtube.com/watch?v=mbXareJU5kQ menunjukkan demonstrasi kaedah yang betul bagi calitan pada nasofarinks. Calitan untuk mendapatkan sampel ujian COVID-19 boleh diambil dari nasofarinks, lubang hidung atau orofarinks (rongga tekak). Mengambil sampel dari lubang hidung atau rongga tekak selalunya tidak menyebabkan kesakitan atau menakutkan pesakit tetapi pengambilan sampel dari nasofarinks menakutkan ramai orang dan kerap juga menimbulkan kesakitan atau pendarahan. Oleh itu cara yang terbaik untuk melakukan calitan nasofarinks perlu dipelajari oleh semua kakitangan kesihatan yang akan melakukannya.
Perkara ini akan dapat dilakukan jika petugas itu memahami dengan baik anatomi lubang hidung dan nasofarinks, penyakit dan kejanggalan anatomi yang mungkin ada seperti septum bengkok serta memahami teknik yang betul dalam melakukan calitan tersebut.

KESIMPULAN

Dengan kaedah dan teknik yang betul sepatutnya calitan ujian COVID-19 terutamanya di bahagian nasofarinks adalah tidak menyakitkan dan dapat mengelakkan komplikasi yang tidak diingini. Pengetahuan tentang struktur anatomi nasofarinks dan juga orofarinks kepada petugas kesihatan yang melakukan calitan amatlah penting bagi menghasilkan teknik calitan yang berkesan seterusnya mendapatkan sampel yang jitu untuk memberi keputusan yang tepat. Selain itu, saiz pencalit nasofarinks juga hendaklah disesuaikan mengikut peringkat umur.

RUJUKAN:

  1. Mukherji SK, Castillo M. Normal cross-sectional anatomy of the nasopharynx, oropharynx, and oral cavity. Neuroimaging Clin N Am. 1998 Feb;8(1):211-8.
  1. Centers for Disease Control and Prevention (CDC). Interim Guidelines for Collecting, Handling, and Testing Clinical Specimens for COVID-19 [Internet]. CDC; 2021 [cited 2021 Feb 16]. Available from: https://www.cdc.gov/coronavirus/2019-ncov/lab/guidelines-clinical-specimens.html
Cetak